Menakjubkan!
Susu ibu dapat mencegah atau merawat Covid-19, menurut kajian terkini oleh sekumpulan saintis China dari Beijing University of Chemical Technology yang dilaporkan melalui South China Morning Post pada 28 September 2020.
Pasukan penyelidik ini telah menguji kesan susu ibu pada sel yang terdedah kepada virus Sars-CoV-2.
Susu itu dikumpulkan pada tahun 2017, jauh sebelum bermulanya pandemik COVID-19, dan jenis sel yang diuji bervariasi dari sel ginjal haiwan hingga sel paru-paru dan usus manusia muda.
Hasilnya sama, di mana kebanyakan strain virus yang hidup telah ‘dibunuh’ oleh susu ibu.
Bagaimana Susu Ibu ‘Membunuh’ Virus COVID-19
Susu ibu didapati telah menyekat kemasukan virus serta memusnahkan replikasi virus yang berjaya memasuki sel.
Profesor Tong Yigang, ketua penyelidik berkata mereka telah mencampurkan beberapa sel yang sihat dalam susu ibu, kemudian mencucinya dan mendedahkan sel-sel tersebut kepada virus.
Mereka mendapati hampir tidak ada ikatan virus atau kemasukan virus ke sel-sel ini, dan rawatan juga menghentikan replikasi virus pada sel yang sudah dijangkiti.
Mereka menyimpulkan bahawa jangkitan itu dapat dihambat oleh susu ibu yang turut diketahui memiliki efek yang sama terhadap bakteria dan virus seperti HIV.
Wah, hebat kan ‘kuasa’ susu ibu ni?
Selari Dengan Saranan WHO
Hasil kajian ini telah menguatkan lagi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berpendirian bahawa ibu-ibu patut meneruskan penyusuan walaupun mereka telah dijangkiti COVID-19.
Sebelum ini di Wuhan, dilaporkan bahawa ibu-ibu yang dijangkiti COVID-19 telah dipisahkan daripada bayi mereka dan diberi susu formula untuk mengelakkan penularan virus tersebut (menurut laporan media setakat bulan Februari).
The US Centres for Disease Control juga mengeluarkan amaran bahawa bayi yang disusukan oleh ibu yang disyaki atau dijangkiti COVID-19 juga merupakan ‘suspek’ atau pembawa virus tersebut.
Badan kesihatan global juga telah mengesan rekod 46 pesakit Covid-19 yang menyusukan anak mereka di beberapa negara hingga bulan Jun.
Melalui pemerhatian tersebut, gen virus dikesan dalam 3 susu ibu tetapi tiada jangkitan yang dapat dibuktikan. Hanya seorang anak yang diuji positif di mana penularan melalui cara lain juga tidak dapat ditolak.
Kandungan Susu Ibu Yang Amat Menakjubkan!
Kumpulan saintis mengesyaki coronavirus sensitif terhadap beberapa protein antivirus yang terkenal dalam susu ibu, seperti lactoferrin, tetapi mendapati belum menemui protein yang berfungsi seperti yang diharapkan.
Mereka juga mengatakan bahawa bahan yang paling berkemungkinan untuk menghambat virus adalah whey, yang mengandungi beberapa protein yang berbeza.
Whey lembu dan kambing, dapat menekan strain virus yang hidup sehingga sekitar 70 peratus, menurut kajian Tong. Sebagai perbandingan, keberkesanan whey manusia mencapai hampir 100 peratus.
Susu manusia dapat menghilangkan virus dalam jenis sel yang lebih luas, tetapi para penyelidik mengatakan tidak jelas apa yang menyebabkan perbezaannya.
Para penyelidik juga mengatakan bahawa mereka tidak menemui tanda-tanda bahaya yang disebabkan oleh susu ibu, yang “mendorong percambahan sel” ketika membunuh virus.
Walau bagaimanapun, ibu-ibu perlu tahu bahawa memanaskan susu hingga 90 darjah selama 10 minit akan mematikan protein whey, menyebabkan kadar perlindungan terhadap coronavirus akan turun hingga di bawah 20 peratus.
“Hasil kajian ini berpotensi untuk pengembangan ubat antivirus lebih lanjut,” akhiri beliau.
*Sumber: Medical News Today, South China Morning Post