Dapur

Cara Mudah Buat Murtabak Mini Guna Kulit Popia. Sedap, Boleh ‘Frozen’kan

8.1K
SHARES
resepi mini murtabak

“Alahai, teringin pulak nak makan murtabak. Tapi lambat lagi kena tunggu hari pasar malam. Macam mana nak buat murtabak yang paling simple ye?”

Sesekali mesti kita pun pernah teringin nak makan murtabak kan? Tapi tak macam roti canai yang mudah kita cari, murtabak bukanlah selalu dijual di mana-mana kecuali di pasar malam atau gerai makanan tertentu.

Sebenarnya, ada cara mudah untuk buat murtabak sendiri di rumah menggunakan kulit popia. Bahan-bahan yang digunakan pun sebenarnya taklah susah nak dicari.

Dalam artikel kali ini, kami kongsikan resepi murtabak mini hasil air tangan Puan Rosnah Sidek yang sangat lazat dan simple untuk anda cuba.

Resepi Murtabak Mini Guna Kulit Popia

Bahan-bahan Inti

  • 500g daging kisar
  • 1 paket rempah kari daging
  • 6 biji bawang Holland – dipotong dadu
  • 5 ulas bawang putih – ditumbuk
  • 2 inci halia – ditumbuk
  • serbuk lada hitam / lada sulah secukup rasa
  • 3 sudu besar gula
  • 2 sudu teh garam
  • minyak untuk menumis
  • 1 cawan tepung gandum

Nota: Saya lebihkan lada hitam yang dikisar untuk hilangkan rasa lemak daging dan bau daging.

Cara-cara

1. Tumis Bawang & Rempah

Mula-mula panaskan minyak dan tumis bawang putih dan halia. Masukkan rempah kari dan tunggu hingga naik bau.

2. Masukkan Daging Kisar

Seterusnya boleh masukkan pula daging kisar dan bawang Holland.

Bila daging dah agak masak, perasakan dengan gula, garam dan serbuk lada hitam.

Kalau ikut cara saya, daging dimasak dengan sedikit halia sampai kering airnya.

3. Masukkan Tepung

Setelah cukup rasa dan bawang layu, masukkan tepung sambil dikacau rata. Tunggu semua bahan inti masak hingga agak kering. Bila rasanya semua dah ok, tutup api dan tunggu inti sejuk sebentar.

Fungsi tepung adalah supaya inti tak terlalu berair dan nak elakkan kulit popia terkoyak masa digoreng. Barulah kulit popia nampak cantik, kemas dan tak lembik.

resepi murtabak

4. Balut Dengan Kulit Popia

Untuk balutkan inti murtabak tadi, saya gunakan kulit popia yang besar.

Sebelum itu, pecahkan 2 biji telur, pukul dan gaulkan dengan inti yang dah dimasak dan sejukkan tadi.

Buka kulit popia dan letakkan di atas dulang. Ambil inti dan letak di tengah. Lipatkan berbentuk segi empat dari atas, kiri, dan kanan. Terbalikkan bila dah siap dilipat.

5. Siap Untuk Digoreng

Lepas tu bolehlah panaskan kuali leper dan letakkan sedikit minyak. Bakar macam orang buat murtabak tu.

Beginilah hasilnya. Siap!

resepi murtabak

Boleh Buat Stok Frozen Juga

Bagi yang nak simpan dan buat stok frozen, sejukkan dulu pada suhu bilik selepas digoreng. Kemudian baru masukkan ke dalam bekas untuk disejukkan dalam freezer. 

Bila nak makan nanti, keluarkan 15 minit awal dan baru panaskan semula. Nak deep fry pun boleh. Mudah kan?

Bolehlah cuba resepi murtabak mini ini untuk minum petang atau jamuan di pejabat. Nak makan dengan kuah kari, dhal ataupun hirisan bawang, terpulang. Makan begitu saja pun dah cukup sedap.

Saya memang buat stok frozen untuk jualan dengan harga RM1 sekeping. Semoga dapat memberi idea juga bagi anda yang nak memulakan perniagaan.

Selamat mencuba!

 

*Resepi murtabak mini ini telah disumbangkan oleh Puan Rosnah Sidek menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan, boleh rujuk post beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×