Didik

4 Tahap Pendidikan Seksual Dalam Islam Ikut Peringkat Umur Anak Yang Ibu Bapa Perlu Tahu

95
SHARES

Pengenalan pendidikan seks bukanlah perkara baru yang pernah dibincangkan di Malaysia. Namun, ia masih menjadi satu perbincangan yang ‘taboo’ kerana ramai orang beranggapan ia tidak mendatangkan apa-apa manfaat. Tapi, tahukah anda dalam Islam juga ada tekankan pendidikan seksual ini kerana anak perlu tahu tentang diri mereka. Jadi, ini peringat umur anak yang ibu bapa perlu titik beratkan untuk dedahkan mereka kepada pendidikan seksual.

PENDIDIKAN SEKSUAL DALAM ISLAM

Dr. Nasih Ulwan mengatakan topik pendidikan seksualiti perlu diambil berat oleh ibu bapa dan pendidik, dan anak-anak ini mempunyai empat peringat umur yang perlu diambil tahu.

1.PERINGKAT USIA 2-4 TAHUN

Ibu bapa boleh bermula dengan mengajar penggunaan istilah yang betul dan tepat untuk kemaluan ketika mereka sudah boleh berbicara , faraj bagi perempuan dan zakar bagi lelaki. Jangan berselindung di sebalik panggilan norma dalam masyarakat kita seperti “ burung” dan “karipap”.

Kanak-kanak perlu dididik tentang anggota yang merupakan hak ekslusif mereka, tiada orang lain yang boleh menyentuh melainkan hal kecemasan seperti menjalani rawatan bersama doktor dan ditemani oleh mereka yang dikenali ketika rawatan berlangsung. Payudara, zakar, vagina, punggung, paha dan mulut (bibir) adalah 6 anggota penting yang perlu mereka jaga.

Ibu bapa sentiasa perlu mengingatkan anak kecil supaya mereka berwaspada dengan cara sentiasa bertanya tentang anggota ini.Mereka juga perlu dididik supaya tidak bebas menyentuh alat kemaluan orang lain.Ajari mereka perasaan malu mengikut kefahaman mereka, elakkan mandi berbogel bersama adik beradik dan sepupu supaya mereka memahami apa itu malu.

Persoalan seperti “ Dari mana bayi datang” perlu dijelaskan dengan cara bijak dan sesuai mengikut usia, jangan dimarahi anak jika mereka bertanyakan soalan seperti ini. Ibu bapa perlu menuntut ilmu dan mempelajari teknik komunikasi yang baik. Persoalan ini perlu dijawab dengan fakta yang betul , bukan sekadar penjelasan yang samar-samar.

2.UMUR ANTARA 7-10 TAHUN USIA TAMYIZ

Anak-anak diajar adab-adab meminta izin dan menjaga pandangan. Di dalam Al-Quran, wujud ayat menekankan keperluan mendidik anak-anak untuk menghormati waktu-waktu tertentu dengan meminta izin sebelum memasuki bilik ibu bapa pada tiga waktu ; iaitu sebelum solat Subuh, waktu Zuhur dan selepas solat Isya’ sebagaimana yang dihuraikan dalam Surah An-Nuur, ayat ke-58.

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isya’. (Itulah) tiga ‘aurat bagi kamu.

Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”“Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Anak-anak diajar untuk memisahkan tempat tidur dan cuba menjaga aurat sesama adik beradik dan sanak saudara. (Dari segi perkembangan kognitif, kanak-kanak di usia ini sudah mula boleh membezakan sesuatu yang yang konkrit dan abstrak serta mereka berada di peringkat permulaan memahami sesuatu yang berbentuk konseptual).

Islam menyarankan anak-anak perlu diajarkan mengenai solat seawal mungkin hingga menjelang usia tujuh tahun. Oleh itu, mereka perlu diterangkan tentang wudhu dan mengetahui perkara yang membatalkan wuduk dan solatnya.Ketika itu, mahu tidak mahu,mereka harus diperkenalkan dengan perkataan baru ` haid’, `nifas’ dan `air mani’, yang memerlukan penerangan dari ibu bapa dan guru. Perkara ini jelas menunjukkan mereka boleh diberitahu akan perkara sebegini kerana ia bersesuaian dengan kefahaman mereka.

Ibu bapa perlu bijak menerangkan tentang hubungan seksual mengikut panduan agama dan ibu bapa boleh membawa kisah yang sesuai seperti Nabi Adam dan Hawa yang diciptakan oleh Allah untuk hidup bersama.Ketika usia ini, ibu bapa perlu dedahkan kepada mereka tentang istilah cabul yang mana perbuatan cabul adalah perbuatan yang menyentuh anggota badan yang sensitif dan juga anggota lain sehingga menimbulkan rasa kurang selesa.

Ibu bapa harus memantau bahan bacaan dan media yang ditonton oleh anak-anak. Anak-anak pasti terdedah dengan adegan romantis dalam media atau adegan yang kurang sesuai memandangkan mereka berasa di zaman dunia tanpa sempadan. Peranan ibu bapa sangat penting dalam mengawal dan memantau apa yang dilihat oleh anak-anak.Meskipun anak tidak lagi mempunyai nafsu untuk melakukan hubungan seks, sifat ingin tahu anak-anak boleh membahayakan dengan meniru apa yang mereka lihat. Ibu bapa harus menekankan bahawa hubungan seks hanya boleh dilakukan selepas akad nikah.

3.UMUR ANTARA 10-14 TAHUN USIA REMAJA

Pada peringkat ini anak-anak perlu dijauhkan daripada segala unsur yang dapat merangsang kemahuan seksual. Anak-anak diajar untuk memisahkan tempat tidur dan cuba menjaga aurat sesama adik beradik dan sanak saudara. Rumah digalakkan ada 3 bilik ( Ibu bapa, adik beradik perempuan, adik beradik lelaki )

Ibu bapa harus mengajar tentang ilmu haid kepada anak perempuan yang kebiasaanya mengalami kedatangan haid diusia ini/ tanda anak lelaki akil baligh ( keluar air mani dan bermimpi ). Mereka juga perlu diajar cara bersuci dari hadas besar ( haid dan keluar air mani ).

Ibu bapa harus menjelaskan kepada anak-anak tentang perubahan fizikal dan emosi yang bakal berlaku setelah akil baligh dan cara menjaga kebersihan diri. Menurut kajian, nafsu seks akan wujud apabila kanak-kanak mencapai usia kematangan, jadi amatlah penting mereka diajar cara untuk mendidik nafsu dengan betul mengikut panduan agama.

Anak-anak perlu dididik tentang penjagaan maruah dan perwatakan diri contohnya tak boleh lihat aurat orang lain, larangan mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah.

4.UMUR 14-16 TAHUN USIA BALIGH

Ketika usia sebegini, anak-anak perlu diajar adab-adab hubungan seks sekiranya mereka sudah bersedia untuk berkahwin menurut Dr Nasih Ulwan. Tetapi Malaysia menetapkan umur 18 tahun bagi lelaki, dan bagi perempuan,16 tahun atau 18 tahun di negeri Sarawak dan Selangor, barulah mereka diizinkan berkahwin menurut undang-undang. Dalam usia ini, keinginan remaja kepada lain jantina akan lebih terserlah dan dirasai dan mempunyai perasaan sayang.

Remaja ketika usia ini perlu ditekankan tentang adab dan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan , jangan berseorangan dengan lain jantina. Elakkan couple. Ibu bapa harus bertindak seperti kawan kepada anak, anak boleh berkongsi cerita.

5.SELEPAS PERINGKAT BALIGH/DEWASA

Peringkat ini dinamakan usia belia dan dewasa, anak-anak diajarkan adab-adab menjaga kehormatan diri sekiranya mereka masih belum mampu berkahwin. Jika mereka mampu berkahwin, didik mereka tentang adab melakukan hubungan sesama suami isteri menurut agama.

Ayuh didik anak dengan ilmu yang betul!

Sumber: Wan Nur Syakira

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×