Rumah

Bukan Sekadar Pewarna Semulajadi, Ini 5 Khasiat Bunga Telang Yang Dibuktikan Kajian

1.6K
SHARES

“Wah, cantiknya nasi kerabu warna biru ni… Seronok pula rasa nak makan. Agaknya selain bagi warna yang cantik, ada tak khasiat bunga telang untuk kesihatan?”

Bunga telang atau nama saintifiknya Clitoria ternatea L. merupakan sejenis tumbuhan daripada keluarga Fabaceae (Leguminosae) atau kekacang (pea). Di luar negara, ia juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti butterfly-pea, blue-pea, bluebellvine, cordofan pea, Darwin pea atau Asian pigeonwings.

Keunikan bunga telang ini paling terserlah pada warna biru terangnya yang selalu digunakan sebagai pewarna semulajadi dalam masakan atau minuman. Antara makanan yang sinonim dengan bunga telang di Malaysia tentulah nasi kerabu. Selain itu, beberapa jenis kuih seperti kuih nyonya atau kuih pulut tekan (pulut tai-tai) juga menggunakan bunga telang dalam ramuannya.

Foto Kredit: Wikipedia.com

Foto Kredit: nyonyacooking.com

Mungkin tak ramai tahu, sebenarnya bunga telang mengandungi pelbagai manfaat yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik.

Berikut adalah khasiat bunga telang untuk kesihatan.

5 Khasiat Bunga Telang Yang Dibuktikan Kajian

1. Meredakan Stres & Kebimbangan

Perasan tak bila kita tengok warna biru pada bunga telang ni, rasa tenang je kan?

Kalau nak tahu, ada sebuah kajian mendapati bunga telang memiliki kesan positif terhadap sistem saraf tunjang dalam melawan stres, depresi, kebimbangan di samping membantu menambah baik tingkah laku kognitif (psikoterapi).

Kajian yang diterbitkan oleh Journal Pharmacology, Biochemistry and Behavior pada tahun 2003 tersebut menyatakan bahawa penggunaan bunga telang ini menunjukkan kecenderungan untuk mengurangkan intensiti tingkah laku yang dihantarkan melalui serotonin dan asetilkolin.

tanda ocd

Foto Kredit: Medical Daily

2. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung

Dalam satu lagi penemuan kajian tahun 2010, biji bunga telang serta akarnya yang dikombinasikan dengan herba Vigna mungo menunjukkan penurunan kolesterol, trigliserida serta lipoprotein.

Kombinasi ini membantu mengurangkan penyerapan kolesterol dalam diet dan secara tidak langsung mencegah hiperlipidemia, iaitu salah satu faktor risiko terhadap penyakit jantung.

Foto Kredit: csn.org

3. Membantu Menurunkan Demam

Percaya atau tidak, sebuah kajian mendapati ekstrak bunga telang ini mempunyai efek menurunkan demam (antipyretic) yang setanding dengan paracetamol!

Menurut sebuah artikel tahun 2004 yang diterbitkan melalui jurnal Phytomedicine, pengambilan dos 200, 300 dan 400mg per kilogram telah memberi kesan positif dalam menurunkan suhu badan, di mana ia boleh bertahan selama 5 jam selepas diambil.

4. Baik Untuk Kesihatan Rambut

Warna biru indigo pada bunga telang ini juga sebenarnya merupakan petanda bahawa tumbuhan ini mengandungi anthocyanin yang biasa dijumpai di tumbuh-tumbuhan berwarna berpigmen biru dan ungu.

Untuk rambut, anthocyanin mempunyai peranan penting dalam mempromosikan pertumbuhan rambut yang optimum. Kompaun ini juga dikatakan sangat berguna dalam memulihkan kolagen dalam kulit supaya ia sihat dan bersinar.

Foto rKredit: Jenoris Hair Mask

5. Bersifat Anti-Diabetik

Dalam sebuah kajian tahun 2015 yang diterbitkan menerusi Journal of Applied Pharmaceutical Science, ekstrak bunga telang didapati merendahkan tahap glukos serum pada tikus ujikaji yang berpenyakit diabetes.

Kesan anti-diabetik yang didapati dikatakan setanding dengan ubat glibenclamide yang digunakan untuk mengawal penyakit diabetes atau kencing manis.

Pelbagai Kegunaan Pokok Bunga Telang

Bukan saja di Malaysia dan negara Asia Tenggara, tetapi di luar negara termasuklah negara Eropah, bunga telang turut digunakan dalam salad, aiskrim, sup dan dikeringkan untuk membuat teh.

Dalam rendaman / rebusan teh bunga telang yang pertama, warna bunga telang biasanya gelap seakan indigo atau midnight blue. Jika ditambahkan perahan lemon atau limau, ia berubah menjadi warna ungu yang cantik!

Selain digunakan dalam masakan atau minuman, bunga telang ini telah digunakan sejak sekian lama dalam perubatan Ayurveda. Malah, ia bukan saja menggunakan bunga telang, tetapi juga memanfaatkan akar dan daunnya bagi tujuan perubatan.

Jadi, memang tak rugi tanam sepokok bunga telang ni di rumah kan?

 

*Rujukan: Mercola , Dr Heben

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×