Pantang

Letih Memang Letih, Tapi Ini 6 Sebab Penyusuan Malam Penting Untuk Bayi. Bertabah Ya!

211
SHARES

“Tak laratnya aku asyik nak kena jadi ‘burung hantu’ je malam-malam. Selang 2 jam terjaga nak menyusu… Memang normal ke macam ni?”

Tak dinafikan, minggu-minggu pertama kelahiran bayi adalah begitu memenatkan. Salah satu dugaan terhebat adalah menangani kekurangan tidur malam. Walaupun sebelum ini pernah tidur lewat disebabkan kerja dan sebagainya, ia tak pernah berterusan seperti ini!

Walau betapa penat yang anda rasakan, ketahuilah bahawa menyusukan bayi pada waktu malam adalah begitu bermanfaat buat perkembangannya.

6 Kepentingan Penyusuan Waktu Malam Untuk Bayi

Berikut adalah antara kepentingan penyusuan pada waktu malam bagi bayi anda.

1. Perut Bayi Tidak Dapat Menampung Kuantiti Susu Yang Banyak

Disebabkan perut bayi yang begitu kecil, iaitu dengan kapasiti sekitar 20ml, mereka tidak mampu meminum susu yang banyak dalam satu-satu masa. Tambahan pula, susu ibu begitu cepat dihadamkan, sekitar 1 jam selepas penyusuan.

Maka, bayi perlu menyusu dengan kerap untuk memenuhi nutrisi keperluannya.

Foto Kredit: flipboard.com

2. Ia Membantu Tubuh Memproduksikan Susu Dengan Konsisten

Penyusuan secara kerap pada hari-hari terawal ini membantu ibu merangsang penghasilan susu bersesuaian dengan keperluan bayi.

Jika payudara terlalu penuh dan bayi tidak disusukan sepanjang malam, ibu berisiko mengalami bengkak susu.

menyusu badan

Foto Kredit: realpregnancysigns.com

3. Ia Merangkumi 20% Daripada Jumlah Susu Yang Diminum Dalam 24 Jam

Penyusuan waktu malam menyumbang kepada hampir 20% daripada jumlah susu yang diminum oleh bayi dalam sehari. Banyak juga, bukan?

Disebabkan itulah penyusuan pada waktu malam amat penting dalam membekalkan nutrisi sekaligus memastikan tumbesaran bayi berada pada tahap optimum.

cara tidurkan bayi

Foto Kredit: qsota.com

4. Ia Membantu Mengajar Bayi Mengenal Siang Dan Malam

Menurut kajian, selepas usia 2 bulan bayi akan mula menerima pengaruh hormon daripada ibu. Susu ibu secara semulajadinya mengandungi tryptophan, sejenis asid amino yang menghasilkan melatonin. Melatonin ini membantu bayi terlelap di samping mengatur waktu tidur mereka setiap hari.

Kandungan tryptophan dalam susu ibu dipengaruhi oleh kitaran tidur ibu. Dengan penyusuan waktu malam, secara tidak langsung, bayi dapat belajar mengawal selia waktu tidurnya serta mengenal siang dan malam.

cara tidurkan bayi

Foto Kredit: ebay.com

5. Ia Membantu Mencegah Kehamilan Dengan Lebih Berkesan

Seperti yang kita tahu, penyusuan badan adalah salah satu cara semulajadi tubuh badan kita bertindakbalas untuk mencegah kehamilan.

Dalam kebanyakan penelitian, wanita yang kurang menyusukan bayi pada waktu malam lebih mudah ‘ter’mengandung berbanding mereka yang kerap melakukannya.

Sungguhpun begitu, jika anda terkategori dalam golongan berisiko dan perlu menjarakkan kehamilan, pastikan anda menggunakan alat pencegah kehamilan yang boleh didapati di klinik ya!

Foto Kredit: lifesitenews.com

6. Ia Mengurangkan Risiko SIDS

Akhir sekali, dan mungkin poin yang paling penting, penyusuan waktu malam mampu mengurangkan risiko bayi mati mengejut yang dikenal sebagai Sudden Infant Death Syndrome (SIDS).

Penyusuan waktu malam dipercayai dapat merangsang mekanisme biologikal bayi, di mana bayi yang menyusu badan lebih kerap terjaga untuk menyusu. Data National Health and Medical Research Council Australia menunjukkan bahawa tidak menyusu pada waktu malam mampu meningkatkan risiko SIDS pada bayi sebanyak 56%.

sindrom kematian bayi

Foto Kredit: safebabyreviews.com

Bilakah Ibu Dapat Tidur Dengan Normal Selepas Ini?

Kebanyakan bayi akan belajar untuk tidur sendiri seiring dengan perkembangan usianya, terutamanya jika anda melatihnya berbuat demikian.

Dalam sebuah penyelidikan oleh University of Canterbury New Zealand,

  • Selepas usia 3 bulan, lebih 50% bayi boleh tidur 5 jam tanpa terjaga pada waktu malam.
  • Selepas usia 5 bulan, lebih 60% bayi boleh tidur 8 jam tanpa terjaga pada waktu malam.
  • Selepas usia 12 bulan, lebih 70% bayi boleh tidur 8 jam tanpa terjaga pada waktu malam.

Mungkin ada yang masih tertanya-tanya, “Mengapa bayi saya kerap terjaga dan tak tidur seperti bayi lain?” Jawapannya adalah kerana setiap bayi adalah unik. Memang ramai wanita mengaku mereka tak pernah lagi dapat tidur 8 jam sehari selepas kehadiran cahaya mata. Ada banyak perkara yang boleh mempengaruhi waktu tidur bayi seperti faktor kesihatan, suasana tempat tidur, rutin harian, atau persekitaran.

Selagi bayi anda mempunyai berat badan yang sihat, anda tak perlu risau. Berilah bayi penyusuan pada waktu malam sesuai dengan kehendak mereka. Walaupun meletihkan, ada banyak manfaatnya buat bayi. Bahkan, suatu hari nanti anda pasti akan merindui saat-saat indah ini!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×