Fasa ke-3 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Lembah Klang dipercepatkan dan ia bermula hari ini.
Ujar Menteri Penyelaras PICK, ia berikutan majoriti warga emas dan OKU di Kuala Lumpur dan Selangor sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama atau mendapat janji temu.
Jelas Khairy Jamaluddin, pelaksanaan fasa ke-3 ini memberi keutamaan kepada individu yang sudah mendaftar sejak Februari lalu berasaskan konsep ‘first come, first serve’.
Mana-mana negeri yang sudah melengkapkan hampir 90 peratus fasa ke-2 juga dibenarkan memasuki fasa ke-3.
Kerajaan Kaji Kelonggaran SOP Untuk Individu Lengkap Vaksin
Khairy turut memaklumkan, kerajaan sedang teliti kelonggaran dan kebebasan yang akan diberi kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19.
Antara perkara yang diperhalusi ialah pergerakan rentas negeri dan kebenaran membuka pelitup muka semasa pertemuan antara individu yang sudah mendapat vaksin yang lengkap.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai Pelan Pemulihan Negara – Vaksinasi Kunci Kepada Pemulihan Ekonomi, di sini hari ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata individu yang sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19 juga akan dikenal pasti menerusi aplikasi MySejahtera yang berperanan sebagai pasport vaksin kepada individu tersebut.
“Apabila profil MySejahtera anda berwarna kuning, bermakna vaksinasi anda sudah lengkap dan kita akan guna QR Code tersebut apabila jawatankuasa teknikal mengesyorkan kebebasan kepada mereka yang sudah lengkap vaksinasi diberikan kebenaran melakukan perkara-perkara yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga sedang berunding dengan negara-negara lain untuk mendapatkan pengiktirafan bersama mengenai pasport vaksinasi itu, dan setakat ini Singapura sudah hampir memuktamadkan rundingan tersebut dengan Malaysia.
Beliau bagaimanapun mengulangi ingatan agar rakyat terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan walaupun mereka sudah divaksinasi dan mendapat kebebasan.
“Buat masa ini, vaksinasi bukan pengganti SOP, terutamanya di sektor-sektor yang beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun vaksinasi ini sangat penting untuk kita memulihkan negara tetapi dari sudut SOP kita yang sedia ada seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan lain-lain mesti terus ditegaskan dan dikuat kuasa,” katanya.
*Sumber: BERNAMA