Famili

Hukum Suami Larang Isteri Berjumpa Keluarga, Ini Jawapan Ustazah Asma

2
SHARES

Seperti yang kita tahu, seorang isteri wajib mentaati dan akur dengan suami dalam segala perkara makruf iaitu baik berlandaskan syarak. Isteri merupakan teman rapat suami dan sebagai seorang suami haruslah sama-sama melengkapi antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, ada juga suami yang memilih untuk mementingkan diri tanpa menghiraukan perasaan isteri tercinta. Seperti contoh tidak membenarkan isteri pulang ke pangkuan keluarga. Apa yang harus dilakukan oleh seorang isteri jika situasi ini berlaku?

Baca juga: Ini Sebab Kenapa Orang Tua Selalu Pesan Balik Rumah Sebelum Maghrib

SUAMI MELARANG ISTERI BERJUMPA KELUARGA? DOSA KE KALAU ISTERI TETAP BERTEMU?

Ustazah Asma Harun ada berkongsi dengan lebih lanjut sekiranya perkara ini berlaku dalam bahtera perkahwinan segelintir individu.

Bagaimanakah jika ini berlaku? Adakah berdosa bagi isteri jika tetap bertemu dengan keluarganya walaupun tidak diizinkan oleh suami?

Tuan Puan, isteri wajib mentaati suami dalam segala perkara yang makruf iaitu baik berdasarkan syarak. Bahkan termasuklah tidak boleh keluar dari rumah tanpa sebab syar’ie melainkan dengan keizinan suami. Islam adalah agama toleransi, mendidik berbuat baik dan tidak mengajar seorang suami menggunakan kuasa ‘veto’ dengan sewenang-wenangnya untuk tidak membenarkan isteri menziarahi keluarga.

Seorang suami yang melarang pasangan daripada menziarahi keluarganya sehingga menyebabkan hubungan silaturahim terputus atau tidak mengizinkannya untuk melunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak, maka sesetengah ulama menyatakan, harus bagi si isteri menziarahi ibu ayah di kampung meskipun tanpa keizinan suami dengan syarat dia mempunyai keperluan yang penting.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan yang kurang mendesak, maka ia adalah tidak diharuskan kerana ketaatan isteri kepada suami adalah lebih besar berbanding kepada kedua-dua ibu bapanya.

Perkara ini turut dibincangkan oleh para alim ulama. Dalam kitab al-Bahr al-Raiq dan al-Taj wa al-Iklil, para ulama mazhab Hanafi dan Maliki menyatakan bahawa dilarang bagi suami menghalang isteri untuk menziarahi ahli keluarganya.

Manakala, berdasarkan kitab Asna al-Matalib di sisi ulama mazhab Syafi’e dan Hanbali, harus hukumnya bagi suami melarang isteri untuk menziarahi keluarganya. Namun begitu, jika memberi kebenaran kepada si isteri, itu adalah lebih baik.
Syeikh Wahbah Zuhaili juga ada menyebutkan dalam kitab al-Fiqh al-Islami:

“Makruh bagi suami (mengikut pendapat mazhab Syafi’e) disebabkan tidak membenarkan si isteri untuk menziarahi ibu bapanya sedangkan mereka dalam keadaan sakit yang tenat dan menghadiri majis pengebumian kedua ibu bapanya ketika mereka meninggal dunia. Hal ini kerana, larangan tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan silaturahim.”

Bahkan, ia boleh membawa kepada haram sekiranya suami melarang isteri untuk menziarahi ahli keluarganya tanpa sebab yang munasabah di sisi syarak. Perkara ini disebutkan di dalam Kitab Mughni al-Muhtaj dan Kasysyaf al-Qina’.

DOA MEMOHON KELUARGA BAHAGIA

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penenang hati (kami) melihatnya, dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Furqan: 74)

Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×