Nur

Hukum Menyusu Badan Melebihi 2 Tahun. Ini Penjelasan Mufti WP

67
SHARES

Hukum Menyusu Melebihi 2 Tahun

Setiap ibu amat digalakkan untuk melengkapkan penyusuan ekslusif selama 6 bulan selepas bayi lahir.

Selepas 6 bulan bayi boleh diberi makan dan tempoh penyusuan boleh dilengkapkan sehingga 2 tahun seperti saranan KKM.

Dalam Islam juga, tempoh penyusuan dinyatakan adalah sehingga 2 tahun.

Tapi, bukan senang nak hentikan anak kecil daripada menyusu badan kan?

Ada yang dah hampir berumur 3 tahun pun masih belum dapat bercerai susu badan dengan ibu, terutamanya penyusuan waktu malam.

Jadi, apa hukum menyusu melebihi 2 tahun?

Di sini kami kongsikan penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan.

Hukum Menyusu Melebihi 2 Tahun

Soalan:

Adakah boleh anak yang berumur 3 – 4 tahun menyusu badan lagi?

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalil Menyusu Bayi Sehingga 2 Tahun

Firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.

(Surah al-Baqarah, 2:233)

Firman Allah Taala:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).

Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik.

Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

(Surah al-Talaq, 65:6)

Ayat di atas merupakan dalil bahawa penyusuan anak sehingga 2 tahun genap adalah hak bagi ibu dan bukan kewajipannya.

Wajib bagi si bapa untuk memberikan upah kepada isterinya, atau bekas isterinya yang melahirkan anaknya, bagi penyusuan tersebut jika dia meminta.

Kepentingan Kolostrum

Menurut Mufti WP lagi, walaupun menyusu hingga 2 tahun adalah hak ibu, namun wajib ke atas ibu untuk menyusukan anaknya dengan al-liba’, yakni susu yang turun pada awal-awal kelahiran (kolostrum).

Ini kerana anak itu kebiasaannya tidak hidup tanpanya, dan bahan lain tidak mampu menggantikannya.

Bahan lain juga tidak menguatkan anak dan memberikan kekuatan pada perkembangan bayi.

*Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/290) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kolostrum adalah susu awal ibu. Ia dihasilkan dari bulan ke-7 kehamilan sehingga beberapa hari yang pertama selepas kelahiran bayi.

  • Warnanya kekuningan, pekat, melekit dan dihasilkan dalam kuantiti yang sangat sedikit bersesuaian dengan saiz perut bayi yang kecil.
  • Kolostrum adalah makanan pertama bayi yang sempurna dan bertindak sebagai imunisasi pertama yang melindungi bayi daripada jangkitan penyakit.
  • Ia mengandungi pelbagai nutrien yang mencukupi dengan kuantiti protein yang lebih tinggi. Kandungan protein adalah terdiri daripada antibodi, faktor pertumbuhan dan sel bioaktif yang diperlukan oleh bayi.
  • Selain itu, ia juga bertindak sebagai ‘laxative’ atau pelawas yang membantu bayi mengeluarkan meconium melalui najis bagi mengelakkan jaundis.

Hukum Menyusu Bayi Melebihi 2 Tahun

Berbalik kepada persoalan tentang hukum menyusu badan lebih 2 tahun, berkata Imam al-Qurtubi Rahimahullah:

“Dan penambahan atas kadar dua tahun atau berkurangnya adalah dibolehkan dengan syarat tanpa kemudaratan kepada bayi dan berlaku dengan keredhaan kedua ibu bapa.”

*Rujuk Tafsir al-Qurtubi (3/162)

Manakala menurut Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah:

“Dan harus bagi ibu untuk meneruskan penyusuan selepas dua tahun sehingga separuh tahun ketiga atau lebih daripada itu.”

*Rujuk Tuhfah al-Maudud (hal. 235)

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahulah menyebut dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (10/7288):

“Jika berterusan penyusuan selepas dua tahun kerana lemahnya bayi maka tiada halangan untuk itu kerana keperluan. Akan tetapi tidak sabit lagi hukum mahram kerana penyusuan atau tidak boleh lagi bagi ibunya yang ditalak meminta upah.”

Kesimpulan

Kesimpulannya, Mufti WP berpendapat bahawa hukum menyusu badan melebihi 2 tahun adalah harus dengan syarat:

  • tidak memudaratkan anak tersebut,
  • tidak mengkhususkan dengan susu badan sahaja sebaliknya ditambah makanan yang memiliki gizi seimbang untuk tumbesaran yang sihat,
  • dilakukan atas hajat keperluan.

Sebaiknya dirujuk kepada pakar pediatrik untuk nasihat mereka tentang kesan kesihatan akibat penyusuan selepas 2 tahun.

Wallahua’lam.

 

*Sumber: Al-Kafi #630 – Hukum Penyusuan Badan Selepas 2 Tahun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×