“Alamak, terlewat bangunlah. Sahur pun sempat minum air je ni. Mandi wajib pun belum lagi. Boleh ke puasa ni?”
Mungkin ada antara kita yang masih keliru sama ada kita boleh berpuasa dalam keadaan berhadas besar atau berjunub.
Yalah, kadang-kadang terlewat bangun dan tak sempat mandi wajib sebab sibuk sediakan sahur.
Ada juga wanita yang di hujung haid dan tak pasti sama ada dah suci keesokan paginya.
Berikut adalah penjelasan daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan dan JAKIM yang dapat menjelaskan kemusykilan kita berkaitan hal ini.
Hukum Mandi Junub Selepas Terbit Fajar Dalam Bulan Ramadhan
Soalan
Apakah hukum mandi junub selepas terbit fajar dalam bulan ramadhan?
Jawapan
Kami bahagikan di sini pandangan ulama berkenaan hukum mandi dan status puasa bagi orang yang berjunub sehingga terbit fajar.
Hukum mandi junub selepas terbit fajar pada bulan Ramadhan disebabkan persetubuhan pada malam hari atau sebelum waktu fajar adalah diharuskan dan ianya tidak membatalkan puasa.
Dan tidak ada halangan untuk orang yang berjunub untuk melewatkan mandi junub sehingga terbitnya fajar.
Ini berdasarkan dalil hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
كَانَ يُدْرِكُهُ الفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW pernah mendapati fajar telah terbit dan ketika itu beliau dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudian beliau mandi dan berpuasa.”
Riwayat al-Bukhari (1927) dan Muslim (1106). Hadis ini ialah hadis Muttafaq ‘alaih.
Dan hadis Abdurrahman bertanya kepada Aisyah dan Ummu Salamah berkenaan dengan mandi junud selepas waktu fajar, maka Aisyah dan Ummu Salamah berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ غَيْرِ حُلُمٍ، ثُمَّ يَصُومُ
Maksudnya: “Adalah Nabi SAW dalam keadaan berjunub disebabkan selain dari mimpi, kemudian baginda meneruskan puasanya.”
Riwayat al-Bukhari (1825) dan Muslim (1109)
Mantan Syeikhul Azhar, almarhum Syeikh Dr Abdul Halim Mahmud menyebut dalam kitab Fatwa Abdul Halim Mahmud menyebut:
“Sesungguhnya mandi junub pada siang hari ramadhan adalah harus dan tidak ada halangan padanya, akan tetapi boleh menjadi wajib jika sekiranya ianya membawa kepada melewatkan solat subuh dan luputnya waktu solat.”
Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut:
“Sesiapa yang berjunub pada malam hari, kemudian dia berpuasa, maka puasanya sah, dan tidak ada qadha puasa ke atasnya. Inilah pendapat yang jumhur.
Ini berdasarkan hadis Aisyah dan Ummu Salamah tersebut.
Imam al-Syaukani berkata:
“Inilah pandangan jumhur, dan Imam Nawawi menetapkan bahawa perkara ini telah diputuskan secara ijma’.
Dan Imam Ibn Daqiq al-‘Id berkata:
“Perkara ini (iaitu sahnya puasa orang yang berjunub pada malam hari) telah menjadi ijma’ atau seperti ijma’.”
– Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (28/63).
Dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafiemenyebut:
“Sekiranya bersetubuh sebelum fajar, maka mengeluarkan (berhenti setubuh) bersamaan dengan waktu terbitnya fajar, dan keluar mani, tidak membatalkan puasanya.”
– Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/184).
Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini dalam Syarh Sahih Muslim menyebut:
“Yang afdhal adalah melakukan mandi junub sebelum fajar.”
– Lihat Syarh Sahih Muslim(3/165).
Jelaslah daripada hadis di atas bahawa sahlah puasanya dan tidak batal puasanya kerana berpuasa dalam keadaan berjunub mahupun kerana mandi wajib selepas subuh.
Ini pendapat majoriti ulama.
Berdasarkan nas-nas dan dalil-dalil serta padangan ulama, maka hukum mandi junub selepas terbit fajar adalah harus di sisi mazhab Syafie dan jumhur ulama.
Begitu juga hendaklah diteruskan berpuasa kerana ianya sama sekali tidak membatalkan puasa sepertimana yang dinaskan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka.
Semoga dengan pencerahan ini kita akan dikurniakan oleh Allah SWT kefahaman dan pengamalan agama yang sempurna dan menepati ajaran agama.
Amiin.
*Sumber: Laman Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Hukum Mandi Wajib Selepas Subuh Bagi Wanita Yang Haid & Nifas
Menurut penjelasan dalam laman web JAKIM, mandi hadas tidak termasuk dalam syarat sah puasa.
Sebagai makluman, di bawah ini adalah syarat sah puasa;
i) Islam
ii) Baligh
iii) Suci daripada haid dan nifas
iv) Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.
Justeru itu, bagi perempuan yang datang haid atau nifas, maka tidak sah puasa mereka pada hari datangnya haid atau nifas.
Sekiranya haid atau nifas datang pada waktu siang hari, maka batallah puasanya pada hari itu.
Namun jika dia bersih daripada haid atau nifas di malam hari, wajib ke atasnya berpuasa keesokannya, sekalipun dia belum sempat mandi hadas (mandi wajib).
Kesimpulannya sah puasa walaupun mandi wajib dilakukan selepas waktu subuh.
Wallahua’lam
*Sumber: JAKIM
Jadi dah faham kan? Masih sah puasa sekalipun kita tak sempat mandi wajib sebelum masuk waktu Subuh. Tapi janganlah sampai melewatkan solat ya!