Kewangan

Selain Mainan, Ibu Bapa Bijak Akan Beli 7 ‘Barang’ Ini Untuk Gembirakan Anak

370
SHARES

“Tak lama lagi hari jadi Haikal. Hmm.. Agaknya apa hadiah untuk anak yang seronok tapi bermanfaat untuk dia ya? Setiap tahun asyik beri mainan saja, bosanlah…”

Setiap kali ulang tahun anak, tentu ibu bapa tak akan lupa mencarikan hadiah untuk anak yang tersayang. Kalau tak sambut harijadi pun, ada juga hari-hari tertentu yang kita rasa perlu ‘reward’ anak dengan sesuatu atau sekadar berkongsi kegembiraan dengan mereka.

Sebenarnya, selain mainan, ada macam-macam kedai dan pilihan barangan menarik untuk dijadikan hadiah. Kalau tak ada idea nak beli apa, jom baca selanjutnya.

Selain Mainan, Ibu Bapa Bijak Akan Beli 7 ‘Barang’ Ini Untuk Gembirakan Anak

1. Alat Tulis / Kelengkapan Sekolah

Ini antara pilihan yang paling selamat untuk dijadikan hadiah, tetapi ia sangat berguna dan praktikal kepada anak-anak. Daripada beg sekolah, bekas pensel, hinggalah set bekal air dan makanan, ia tentunya akan disukai oleh anak.

Malah, anak tentu akan lebih bersemangat untuk membuat kerja dan ke sekolah menggunakan kelengkapan baru ini!

Foto Kredit : newbeginningsadoptions.org

2. Set Kraf

Secara semulajadinya, anak kecil adalah sangat kreatif. Jika diberi kelengkapan kraf seperti cat air, kertas lukisan, kertas warna, glitter, gunting, gam, termasuk beberapa aksesori tambahan seperti googly-eyes, pom-pom, batang aiskrim berwarna-warni, dan sebagainya.

Semuanya ini bukan saja memberi peluang melatih anak anda menghasilkan sebuah artwork atau masterpiece, tetapi ia juga dapat membantu meningkatkan lagi daya kreativiti mereka.

Foto Kredit: tampines1.wordpress.com

3. Buku

Buku adalah hadiah yang tak pernah merugikan. Jika anak anda kurang minat membaca buku cerita, cari bahan bacaan yang berbentuk aktiviti, mewarna, dan lengkap dengan kesan khas seperti audio.

Bahan bacaan ilmiah yang direka khas untuk menarik minat anak tentunya dapat memberi ilmu bermanfaat, masa untuk bonding, dan kisah-kisah teladan dalam meluaskan imaginasi mereka!

ajar anak membaca

Foto Kredit: Sean Gallup / Getty Images

4. Percutian

Tiada kanak-kanak yang tak suka pergi bercuti. Tak kiralah waktu cuti sekolah atau sekadar hujung minggu – asal sebut saja pergi pantai atau hotel, mesti masing-masing dah riuh-rendah. Kalau ada bajet lebih, boleh juga pergi mengunjungi tempat-tempat khusus yang diminati oleh anak contohnya taman air, taman tema, taman rama-rama, zoo, dan sebagainya.

Pengalaman percutian ini pastinya akan menjadi sesuatu yang terpahat dalam ingatan anak. Malah, penelitian saintifik juga menyatakan percutian keluarga adalah satu bentuk pelaburan yang baik untuk perkembangan sosial serta emosi anak. Sebagai bonus, bukan anak seorang saja yang gembira sambut hari jadi, ibu ayah pun dapat sama-sama luangkan masa, hilangkan stres, dan berseronok. Bukan selalu dapat berkumpul satu keluarga, bukan?

5. Perkakas / Peralatan Sesuai Hobi

Setiap anak tentu ada kecenderungan tersendiri – ada yang suka barangan ala doktor, meneroka bak saintis, membuat kek, bercucuk tanam, bermain muzik, dan sebagainya.

Jadi, sekali-sekala, tak salah kalau hadiahkan anak-anak dengan peralatan khas seperti set kanta pembesar dan mikroskop berkualiti bagi yang meminati sains, set alat muzik bagi yang meminati muzik, atau apa-apa yang berkaitan dengan hobi mereka. Barulah mereka dapat merasakan pengalaman menggunakan peralatan sebenar, bukan mainan saja.

Foto Kredit : divafoodies.com

6. Tabung

Untuk mengajar anak menabung, ibu ayah perlulah mendedahkan anak mereka kepada nilai wang sejak kecil lagi. Antara cara paling mudah untuk melakukannya adalah dengan memperkenalkan anak-anak dengan tabung.

Macam-macam jenis tabung ada dijual di pasaran sekarang ini. Ada yang bercorak, berbentuk karakter kartun yang digemari, atau berbunyi dan berfungsi seperti mesin ATM. Di samping itu, ia juga boleh mengajar mereka nilai belas kasihan dengan menggalakkan mereka bersedekah dan menghargai kerja keras ibu bapa.

ajar anak menabung

Foto Kredit: lazada.vn

7. Haiwan Peliharaan & Kelengkapannya

Kebanyakan anak kecil memang sukakan haiwan peliharaan. Selain disebabkan kecomelannya, kajian turut mendapati bahawa haiwan peliharaan dapat membantu anak-anak kecil memupuk sifat kasih sayang, bijak menguruskan emosi serta menghilangkan stres. Anak-anak juga dapat belajar tentang tanggungjawab apabila terbiasa menjaga haiwan peliharaan mereka.

Daripada melihat anak ‘memelihara’ anak kucing atau berinteraksi dengan game di tablet dan gajet, lebih baik nampak mereka membelai dan bercakap dengan kucing! Banyak manfaatnya buat jangka masa panjang walaupun awal-awal anda terasa leceh dan ragu-ragu.

bela kucing

Foto Kredit: catster.com

Selitkan ‘Nilai Tersembunyi’ Dalam Setiap Pemberian

Setiap yang kita berikan kepada anak perlulah ada tujuannya, walaupun matlamat utamanya adalah untuk melihat anak gembira. Jadi, ikut kemampuan sendiri dan pilihlah sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh anak. Jangan lupa juga simpanan masa depan dan keperluan asas seperti pendidikan yang bakal diperlukan untuk anak yang semakin meningkat usia.

Pokok pangkalnya, kasih sayang dan masa anda adalah yang paling berharga dan mengatasi segala apa pun di dunia ini!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×