GEJALA LEPAS BERSALIN
Melahirkan anak dengan selamat adalah perkara paling menggembirakan dan momen tidak dapat dilupakan oleh seorang ibu. Selepas penat bertarung nyawa melahirkan anak, si ibu perlu berpantang selama beberapa hari untuk menjaga kesihatan diri supaya perkara yang tidak diingini berlaku sehingga menganggu mental dan fizikal ibu.
Menerusi perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad di laman Facebook, beliau menasihatkan para ibu agar tidak memandang ringan 18 gejala selepas bersalin di bawah kerana boleh mengancam nyawa ibu. Jangan ambil mudah!
INI 18 GEJALA LEPAS BERSALIN TAK BOLEH PANDANG RINGAN
Tanda paling bahaya:
1. Kehilangan banyak darah dengan tiba-tiba atau berterusan, termasuk darah beku
2. Sakit kepala yang teruk atau berpanjangan, mungkin kesan sampingan suntikan epidura, terutamanya duduk atau berdiri.
3. Tekanan darah tinggi bersama sakit kepala, penglihatan kabur atau berasa loya.
4. Sakit di bahagian atas abdomen mungkin mengalami sindrom HELLP (berlaku jika melahirkan kira-kira 48 jam lalu) bersama tanda-tanda berasa amat penat, muntah, dan berasa loya.
5. Nafas pendek selepas selepas mendaki bukit. Dibimbangi mengalami masalah darah beku tersekat pada salah satu saluran darah di paru-paru (embolisme pulmonari).
6. Sakit dada sama ada akibat jangkitan kuman pada paru-paru atau ketegangan otot akibat meneran semasa bersalin. Ia juga mungkin tanda embolisme pulmonari.
7. Sakit pada bahagian betis, mungkin akibat trombosis vena dalam (deep vein thrombosis – DVT). Ia adalah pembekuan darah pada vena dalam otot dan boleh membawa maut. Terutama jika ada tanda merah di pelipat, dan rasa panas di bahagian tersebut.
8. Berkelakuan pelik seperti mudah rasa gelisah. Kekacauan pemikiran, terlalu mudah rasa gelisah, kekeliruan dan delusi boleh jadi permulaan sejenis keadaan kesihatan yang jarang berlaku, dikenali sebagai psikosis pospartum.
9. Demam yang sangat panas (38 darjah C), sama ada disertai dengan menggigil atau tidak. Ia adalah satu tanda jangkitan kuman terutama pada ruang antara vagina dah rektum (perineum), luka pembedahan caesar, saluran kencing atau di uterus (rahim) anda.
10. Tidak dapat membuang air kecil dalam enam jam pertama selepas bersalin akibat kesan suntikan epidural.
11. Lendiran faraj yang berbau busuk, akibat jangkitan pada rahim atau faraj.
12. Sakit perut yang luar biasa terutama pada sekeliling jahitan pembedahan caesarean.
13. Buasir yang teruk atau bengkak pada lubang dubur selepas bersalin.
14. Rasa letih, tidak bersemangat, tidak menguruskan diri dan tidak berminat untuk berjumpa orang selepas beberapa hari bersalin. Ia tanda kemurungan selepas bersalin (meroyan).
15. Terlintas untuk membunuh diri.
16. Sakit yang teruk pada perineum, mungkin bersama air kencing yang memedihkan dan/atau berbau busuk, mungkin akibat jangkitan pada jahitan atau jangkitan saluran kencing
17. Tidak dapat mengawal buang air besar. Najis keluar dengan sendiri dan tidak dapat dikawal dengan baik. Mungkin disebabkan oleh koyakan atau darah beku (haematoma) pada lubang dubur.
18. Sembelit selepas beberapa hari melahirkan anak.
Kebiasaannya orang Melayu akan melakukan beberapa pantang dan pengambilan herba untuk mengembalikan tenaga dan mempercepatkan kesembuhan. Antaranya Ekstrak Kacip Fatimah, Kunyit dan Madu selama tempuh ini. Minum air secukupnya dan makan makanan seimbang.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad