Pernah tak terfikir macam macam mana agaknya kalau kaum bapa dapat cuti bersalin yang panjang dan betul-betul mengambil cuti tersebut untuk menjaga anak dan isteri yang baru bersalin?
Bukan apa, sebab biasanya di Malaysia kan cuti paterniti atau cuti isteri bersalin untuk suami ni lebih kurang seminggu dua je. Bahkan, mungkin kurang lagi daripada tu.
Pengenalan Cuti Paterniti Bergaji Penuh Di Sepanyol
Dalam sebuah laporan oleh Quartz, kajian telah dibuat bagi menilai kesan terhadap pertambahan cuti paterniti di Sepanyol setelah ianya dilaksanakan.
Cuba teka berapa lama agaknya cuti yang diperuntukkan untuk suami di Sepanyol bila isteri mereka bersalin?
Buat pengetahuan, pada tahun 2007, sebuah polisi baru diperkenalkan bagi memberi peluang kepada kaum bapa di Sepanyol mendapat 2 minggu cuti paterniti. Manakala pada tahun 2017, bilangan cuti ini digandakan kepada 4 minggu.
Pada tahun 2018, kaum bapa di Sepanyol diberikan seminggu lagi tambahan menjadikan jumlah cuti paterniti kepada 5 minggu.
Wah, banyak tu!
Lebih Ramai Kaum Bapa ‘Takut’ Nak Dapat Anak Lagi Dalam Masa Terdekat
Penambahan cuti paterniti ini memberi peluang kepada kaum bapa untuk lebih banyak terlibat dalam membantu menguruskan bayi baru serta isteri selepas bersalin.
Di samping itu, ia bertujuan menggalakkan pertumbuhan penduduk memandangkan Sepanyol adalah salah sebuah negara yang tergolong dalam ‘low fertility country’.
Hasil kajian mendapati impak positif di mana kaum bapa yang mengambil cuti paterniti yang panjang ini lebih mesra dengan anak-anak, manakala kebarangkalian kaum ibu untuk kembali bekerja lebih tinggi kerana pasangan mereka terlibat sama dalam membantu kerja-kerja di rumah.
Tapi apa yang mengejutkan (atau mungkin tak mengejutkan), kaum bapa yang mengambil cuti paterniti yang panjang ini dilihat mula cenderung untuk memiliki jumlah anak yang sedikit.
Tak percaya, tengok graf di bawah ni.
Haa… Nampak tak?
Menurut pakar, dahulu sebelum diberi cuti paterniti ni, kebanyakan kaum lelaki di Sepanyol mahukan jumlah anak yang ramai.
Tapi selepas cuti paterniti ini diperkenalkan, ramai kaum bapa dikatakan lebih ‘mementingkan kualiti berbanding kuantiti’ anak.
Mana taknya, bila dah cuti lama dekat rumah tu barulah ramai suami tahu macam mana tinggi rendah langit tu. Selama ni tunggang-terbalik isteri seorang nak jaga anak siang malam mungkin suami tak perasan. Mana nak menyusu setiap sejam, nak tukar lampin, nak tukar pad, nak uruskan diri, nak rehat jangan cakaplah. Kadang tu nak makan pun tak sempat, kan?
Tapi…. Berbeza Pula Dengan Kaum Ibu!
Apa yang menariknya, walaupun kaum bapa dilihat seolah-olah ‘takut’ nak anak lagi, terbalik pula buat kaum ibu.
Nampaknya hasil kajian mendapati kaum ibu lebih terbuka dan tak kisah untuk menambah bilangan cahaya mata kalau si suami mendapat cuti bersalin yang panjang begini.
Maunya tak seronok…! Mestilah seronok sebab ditemani suami sendiri di rumah waktu cuti bersalin.
Kalau di Malaysia, asyik nak harapkan Mak atau mertua je yang jaga isteri lepas bersalin kan tak best tu. Mereka pun dah berumur, kita pun malu nak minta tolong macam-macam kan?
Impak Positif Terhadap Institusi Kekeluargaan & Ekonomi Negara
Menurut The Guardian, kajian yang diterbitkan dalam Journal of Public Economics oleh González and Lídia Farré, profesor dari Universitat Pompeu Fabra dan University of Barcelona ini mungkin bertentangan dengan tujuan asal polisi tersebut diperkenalkan, iaitu bagi menggalakkan pertumbuhan penduduk.
Selain itu, pelbagai faktor lain seperti desakan ekonomi juga memainkan peranan dalam mempengaruhi kaum bapa menentukan bilangan anak yang mereka suka.
Sungguhpun begitu, dari sudut positifnya polisi ini dilihat berjaya kerana:
- Ia dapat mengukuhkan institusi keluarga apabila kaum bapa menjadi lebih rapat dengan anak mereka serta terlibat secara langsung dengan kerja harian di rumah.
- Bukan itu saja, secara tidak langsung pelaksanaannya menyumbang kepada sektor ekonomi kerana kebarangkalian ibu untuk kembali bekerja lebih tinggi.
- Malah, lebih ramai kaum ibu bersedia untuk kembali ke tempat kerja lebih awal berbanding sebelumnya.
Oleh sebab ini, kerajaan mereka tidak menolak kemungkinan untuk menambah lagi cuti paterniti ini dalam masa beberapa tahun lagi.
Untunglah!
Kalau dekat Malaysia dapat cuti paterniti bergaji penuh macam ni, mesti seronok kan? Tapi, boleh ke?
*Sumber: The Guardian, Quartz