Sejak-sejak ini kes bayi tersedak susu sering diperkatakan sehingga menyebabkan kerisauan ibu bapa sehingga ragu untuk meninggalkan bayi pada mana-mana pusat penjagaan. Sebenarnya, tersedak susu ini bukan sahaja berpunca daripada pengasuh yang cuai, namun terdapat banyak faktor yang perlu ibu dan ayah fahamkan.
7 Perkara Ibu Ayah Perlu Tahu Tentang Tersedak Susu
1. Bagaimana Bayi Boleh Tersedak Susu
Punca utama bayi boleh tersedak susu ialah disebabkan oleh teknik pemberian susu yang salah. Menyusu juga sebenarnya memerlukan kemahiran bayi untuk menghisap, mengumpul, mengunyah dan menelan susu dengan baik.
Kes tersedak susu ini terjadi apabila susu yang dimuntahkan oleh bayi ditelan semula dan termasuk ke dalam saluran pernafasan hingga menyebabkan bayi tersedak. Dalam kes membahayakan, susu tersebut boleh membuatkan bayi lemas kerana susu boleh masuk ke paru-paru dan menyebabkan jangkitan.
2. Jangan Biarkan Bayi Menyusu Sendiri
Walaupun bayi sudah pandai memegang botol susu sendiri seawal 6 bulan, namun itu bukan tiket untuk kita lepaskan perhatian kita kepada anak. Ada yang menggunakan cara menyendal kain di bawah botol susu dan membiarkan bayi tidur terlentang tanpa pengawasan. Cara ini sangat merbahaya dan tak patut dilakukan, apatah lagi apabila bayi ditinggalkan sendirian.
Selain itu, satu lagi kesilapan adalah membiarkan bayi tidur sambil menghisap botol susu. Keadaan ini merbahaya kerana susu yang terus mengalir boleh menyebabkan bayi tersedak.
3. Posisi Yang Betul Untuk Mengelakkan Tersedak Susu
Elak susukan anak dengan keadaan terbaring terlentang. Letakkan bantal atau pangkukan supaya kepala anak condong 45 darjah.
Perkara ini mungkin nampak kecil tetapi ibu perlu mengambil tahu cara penyusuan yang betul supaya bayi dapat menyusu dengan lancar. Posisi bayi dan pelekapan bayi pada puting susu dengan betul adalah penting .
Posisikan bayi dengan membaringkannya dengan kepala condong 45 darjah. Condongkan juga botol susu supaya susu penuh pada bahagian depan botol bagi mengelakkan bayi tertelan banyak udara semasa menyusu. Posisi penyusuan yang baik dapat mengelakkan bayi termuntah semasa tidur.
4. Pilih Botol Susu & Puting Yang Sesuai
Setiap bayi mempunyai keupayaan yang berbeza dan sentiasa berkembang seiring dengan usianya. Pilih botol susu dan puting yang sesuai bagi memudahkan bayi menyusu dengan baik dan selesa.
Pilih lubang puting yang tidak terlalu besar supaya aliran susu nanti tidak terlalu laju.
5. Elak Ayunkan Bayi Semasa Menyusu
Jangan ayunkan bayi semasa menyusu. Cukuplah sekadar menepuk-nepuk badannya dengan lembut supaya lebih selesa.
Angin dan perut kembung bayi juga dapat dielakkan dengan sendawakan bayi di antara dan selepas menyusukannya.
6. Tersedak Susu Jarang Berlaku Pada Penyusuan Badan
Kes tersedak susu amat jarang berlaku pada bayi yang menyusu badan. Namun, langkah-langkah keselamatan perlu dipraktikkan terutamanya semasa bayi baru belajar menyusu. Pastikan mulutnya terbuka luas sehingga merangkumi areola, bibirnya melengkung keluar serta dagunya mencecah payudara.
Aliran susu yang terlalu laju dapat membuatkan anak tidak dapat mengawal saluran pernafasannya. Perkara ini dapat dicegah dengan perahkan sedikit susu dahulu sebelum mula menyusukan anak.
7. Bayi Yang Batuk & Selsema Lebih Berisiko
Terdapat beberapa keadaan yang menyukarkan bayi untuk menyusu dengan baik dan boleh tersedak susu. Contohnya bayi yang dalam keadaan batuk atau selsema. Jadi, jangan pandang mudah sekiranya anda sedang memberi susu kepada bayi yang kurang sihat.
Selain itu, bayi yang mempunyai masalah pada saluran penelanan dan mulut contohnya masalah pada injap di saluran pemakanan, klef bibir atau lelangit, bayi yang ada masalah perkembangan, serta bayi yang mempunyai masalah kesihatan kompleks seperti sakit jantung atau bayi yang sedang sakit.
Ketahui Tanda Bahaya
Ibu bapa perlu mengambil tahu tentang cara mencegah bayi tersedak susu dan rawatan kecemasan yang perlu dilakukan untuk dijadikan persiapan apabila sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Antara tanda-tanda bayi tersedak susu adalah badan bayi menjadi sejuk, bertukar kebiruan, nafasnya tercungap-cungap laju atau terhenti.
Tindakan kecemasan perlu dilakukan serta-merta dengan memangku bayi di lengan dengan menghalakan kepalanya ke bawah. Tepuk di antara tulang belikat dengan kekuatan sederhana sehingga bahan yang menyebabkan bayi tercekik terkeluar.
Jika bayi tidak sedarkan diri, mulakan CPR sekiranya anda tahu atau terus hubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan serta-merta.