Dapur

Resepi Mini Brownies Yang Tersangat Mudah. ‘Crunchy’ Di Luar, ‘Moist’ Di Dalam

2.5K
reads

Tengok saja pada gambar dan tajuknya, mesti dah ramai yang terliur. Selain dihidangkan sebagai menu istimewa pencuci mulut di rumah, mini brownies sangat sesuai untuk dijadikan goodies atau buah tangan di mana-mana majlis.

Menariknya, cara membuat brownies biasanya lebih mudah berbanding kek. Tak payah guna mixer, tak perlu blender. Hanya perlu gaulkan bahan-bahan saja. Berikut adalah perkongsian resepi mini brownies coklat istimewa oleh Puan Nurul Amirah Azman.

Resepi Mini Brownies Yang ‘Crunchy’ Di Luar, ‘Moist’ Di Dalam

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan :

Bahan A

  • 110g tepung kek (saya pakai tepung superfine)
  • 3 sudu serbuk dark cocoa

Bahan B

  • 3 biji telur
  • 150g gula perang
  • 1 sudu esen vanila

Bahan C

  • 450g coklat masakan (saya guna coklat Beryl’s)
  • 150g butter (saya pakai Buttercup)

Cara-cara :

1. Ayak Bahan A

Pertama sekali, ayakkan bahan A. Kemudian, ketepikan.

2. Pukul Bahan B

Di dalam bekas lain, pukul bahan B sehingga kembang.

3. Cairkan Bahan C

Seterusnya ambil satu lagi bekas dan cairkan bahan C dengan menggunakan teknik double boil.

4. Campurkan Bahan C dan B

Sekarang, campurkan bahan C ke dalam bahan B dan gaul secara perlahan-lahan.

Tips : Pastikan bahan C masih dalam keadaan panas semasa dicampurkan ke dalam bahan B. Tujuannya adalah untuk menghasilkan kedutan yang cantik.

5. Masukkan Bahan A

Bila bahan B dan C dan sebati, masukkan pula bahan A ke dalam campuran tersebut.

Masukkan sedikit demi sedikit dan gaulkan sampai sebati.

6. Panaskan Oven 

Sementara itu, panaskan oven pada suhu 190 celcius dalam 5 minit sebelum mula membakar.

7. Cara Membakar

Nak bakar mini brownies ini sebenarnya ada caranya. Saya gunakan paper cup yang saiznya lebih kurang sebesar tapak tangan. Bukan saiz kuih raya, tapi kecil sedikit daripada cupcake.

Semasa menuang adunan ke dalam paper cup, jangan penuh sangat. Tinggalkan suku daripada paper cup.

Selepas oven dah panas, masukkan ke dalam oven pada suhu 190 celsius selama 10 minit. Bila dah bunyi ting, turunkan suhu kepada 160 celsius selama 30 minit. Tujuannya adalah untuk menghasilkan kedutan yang cantik dan merekah-rekah.

Bila brownies dah masak, matikan oven dan biarkan dulu brownies duduk dalam oven sekitar 10-15 minit. Biarkan ia ‘berehat’ dan menghasilkan kedut-kedut cantik!

Siap!

Akhir sekali, boleh hiaskan mini brownies anda mengikut kreativiti masing-masing. Terpulanglah nak sapu coklat Nutella, parutan keju, kekacang, sos karamel, atau apa saja. Ini contoh yang saya buat.

Teksturnya di dalamnya memang terbaik – rangup di luar, lembap di dalam. Memang terangkat! Nak makan begitu saja pun dah cukup sedap sebenarnya.

Tak susah kan? Semoga dengan perkongsian dan tips ini, lebih ramai dapat menghasilkan sendiri mini brownies di rumah. Bahan yang diperlukan pun tak banyak. Boleh buat pada hujung minggu. Anak-anak mesti suka!

 

*Resepi mini brownies ini disumbangkan oleh Puan Nurul Amirah Azman. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

Yang Popular

To Top