Nur

5 Perkara Hebat Tentang Fatimah Az-Zahra RA, Puteri Rasulullah SAW

271
SHARES

Kelahiran Saidatina Fatimah dan peranannya dalam hidup Rasulullah ini ibarat bunga yang mekar dengan begitu indahnya. Sebagai seorang tokoh yang begitu signifikan dalam sejarah Islam, eloklah jika kita mengetahui beberapa perkara tentang puteri Rasulullah yang terkenal dengan gelaran Az-Zahra ini.

5 Perkara Hebat Tentang Fatimah Az-Zahra, Puteri Rasulullah

1. Kelahiran

Fatimah dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadilakhir tahun 605 Masihi. Fatimah adalah puteri bongsu Rasulullah SAW hasil perkahwinannya dengan Khadijah, isteri yang amat dicintai Baginda. Tahun tersebut adalah tahun ke-5 Rasulullah SAW diutus menjadi Nabi, bertepatan dengan tiga tahun setelah peristiwa Israk dan Mikraj.

Seperti yang kita tahu, Nabi Muhammad SAW memiliki 7 orang cahaya mata sepanjang hayatnya. Namun, kesemua mereka wafat pada usia muda kecuali Fatimah.

Menurut sumber, ketika Saidatina Fatimah dilahirkan, masyarakat Quraisy sedang memperbaiki dan membangun kembali Kaabah yang mengalami kerosakan.

Foto Kredit: pinterest.com

2. Gelaran ‘Ibu Ayahnya’

Sejak awal usianya, Fatimah hidup dalam penentangan kafir Quraisy terhadap bapanya. Bahkan ketika berusia 6 tahun, ibunya pula wafat. Disebabkan itu, Fatimah sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya sehingga beliau digelar ‘Ummu Abeeha’, yang bermaksud ‘ibu bagi ayahnya’ kerana kasih sayang yang dicurahkan kepada Baginda.

Selain itu, Fatimah juga mendapat gelaran as-Siddiqah (wanita terpercaya); at-Tahirah (wanita suci), al-Mubarakah (yang diberkati Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Az-Zahra (yang cemerlang).

3. Sangat Menyerupai Rasulullah

Banyak riwayat yang mengisahkan bahawa Fatimah menyerupai ayahnya dari aspek rupa fizikal mahupun keteguhan akhlaknya. Aishah pernah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya.

Sekalipun zaman kanak-kanaknya begitu sukar, namun Allah telah mengurniakan Fatimah dengan sifat lemah-lembut, cerdas dan berani yang luarbiasa. Segala cabaran dan dugaan itu mampu difahami oleh Fatimah pada usia yang muda dan berkat bimbingan Rasulullah, ia juga telah mendewasakan pemikiran Fatimah sehingga menjadi tokoh Islam yang amat dihormati dan disayangi.

4. Perkahwinan Dengan Ali

Pada tahun ke-2 hijrah, iaitu setelah Perang Badar, Saidina Ali bin Abi Talib menikahi puteri kesayangan Baginda ini. Fatimah rela dinikahi oleh Saidina Ali meskipun hidup miskin. Namun, Ali adalah pemuda bertuah kerana dikisahkan Rasulullah pernah menolak pinangan beberapa orang pemuda yang ingin menikahi Fatimah, termasuklah Saidina Abu Bakar.

Selepas bernikah, hidup mereka berdua serba sederhana tetapi cukup bahagia. Daripada Fatimah jugalah lahirnya 2 orang cucu kesayangan Rasulullah iaitu Hassan dan Hussain.

Walaupun hidup susah, Fatimah dan Ali sangat pemurah. Bahkan Fatimah tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan.

5. Zikir Fatimah

Sebagai ibu rumah tangga yang hidup dalam serba kekurangan, Fatimah juga melalui pelbagai kepayahan dan keletihan dalam melakukan kerja harian dan menguruskan anak-anak. Bayangkanlah, tanpa teknologi pada zaman dahulu, sudah tentu kerja-kerja menggiling gandum dan membuat roti tidak semudah hari ini.

Walaupun berasa amat malu, Fatimah cuba menyuarakan hasratnya kepada ayahandanya untuk memiliki seorang pembantu kerana begitu kepenatan. Sebaliknya, Rasulullah tidak menunaikan permintaan tersebut dan mengajarkan sebuah zikir yang dikenali sebagai Zikir Fatimah.

Rasulullah SAW bersabda: “Takutlah akan Allah, hai Fatimah. Bertaqwalah dan teruslah melakukan tugasmu terhadap Allah dan kerja-kerja rumahtanggamu. Sewaktu hendak tidur, ucapkanlah Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akbar 34 kali.

Dengan ini akan engkau dapati lebih berguna dari seorang pembantu.”

Lalu, zikir ini terus menemani hayat Fatimah dan suaminya hingga terus hidup zuhud dan sangat sederhana.

Foto Kredit : rd.nl

Wanita Penghulu Syurga

Ketika saat-saat akhir kehidupan Rasulullah SAW, Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah RA yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.

Apa yang membuat Fatimah menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kewafatannya yang semakin dekat. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa’, gembiralah hatinya.

Wanita agung ini wafat 6 bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi’, Madinah. Semoga kisah hebat tentang beliau ini dapat menjadi suntikan semangat dan inspirasi buat kita. Insha Allah.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×