Famili

Bagai Syurga Dunia, Pengalaman Bercuti Ke Kepulauan Flores Selama 3 Hari Ini Gamit Memori Indah!

13
SHARES

Jika disebut tentang filem sekuel Hollywood Pirate of the Carribean, pasti ramai membayangkan kelicikan Jack Sparrow yang menggunakan kepakaran ‘gila-gila’ dirinya untuk memanipulasi pihak lawan sehingga dikenali sebagai lanun terulung. Mahir dengan selok belok pelayaran, lautan Seven Seas ibarat ‘rumah’ Jack Sparrow!

Itu cerita tentang Jack Sparrow, bagaimana pula jika orang kebiasaan seperti kita diberi peluang belayar selama beberapa hari menaiki kapal besar persis Black Pearl? Pasti teruja bukan kepalang. Itu yang kami rasai sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kapal mewah Sea Safari Cruise, antara kapal pelayaran mewah terbesar di Labuan Bajo.

Labuan Bajo

Labuan Bajo terletak di bahagian barat kepulauan Flores, Nusa Tenggara Timur, Indonesia. Tidak seperti destinasi percutian popular lain yang terkenal di Indonesia seperti Bali, Bandung, Jakarta dan Jogjakarta, nama Labuan Bajo mungkin sedikit asing bagi rakyat Malaysia.

Manakan tidak, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan Indonesia, pelancong Malaysia tidak tersenarai di dalam senarai 10 negara pelancong yang bercuti ke Labuan Bajo bagi tahun 2019 (sehingga Julai). Pelancong dari negara Tembok Besar Cina dan Eropah mendominasi senarai pelancong yang paling ramai tiba ke daerah ini bagi menikmati keindahan kepulauan Flores.

Buat masa ini belum ada penerbangan terus ke Labuan Bajo dari Malaysia namun ia mampu ditujui menerusi penerbangan AirAsia Indonesia melalui bandaraya Bali yang mengambil masa lebih kurang satu jam. Laluan baru ke Labuan Bajo ini mula diperkenalkan oleh AirAsia sekitar Ogos yang lalu. Difahamkan, selain AirAsia, beberapa syarikat penerbangan tempatan juga mempunyai perjalanan ke Labuan Bajo menerusi bandaraya Jakarta.

Sea Safari Cruise

Baru-baru ini kami berkesempatan mengikuti trip media ke Labuan Bajo. Airasia menerusi kerjasama Kementerian Pelancongan Indonesia telah mengundang media dari Malaysia, Indonesia dan Australia untuk turut sama menerokai keindahan Flores. Seramai 10 orang personaliti media sosial Indonesia yang terdiri daripada penyampai radio, penyanyi turut menyertai trip selama 5 hari ini.

Sebaik menerima tentatif serta maklumat lengkap tentang perjalanan kami ke Labuan Bajo, perasaan teruja bercampur runsing. Runsing memikirkan bagaimana kami mahu berkomunikasi dan berhubung dengan ‘dunia luar’ jika selama 3 hari tinggal di atas kapal di tengah lautan! Ada line ke tak? Nak buat apa je atas kapal?

Namun kerisauan kami itu mula hilang sejurus menjejakkan kaki ke kapal mewah Sea Safari Cruise. Kapal yang mampu memuatkan 28 orang penumpang pada satu masa itu lengkap dengan bilik berhawa dingin, wifi, jakuzi, set karaoke, mini restoran dan ruang santai. Memang luar biasa!

Usai kapal bergerak, dari jauh kelihatan kesibukan pelabuhan Labuan Bajo penuh dengan bot-bot yang digunakan oleh penduduk tempatan bagi tujuan pelancongan. Difahamkan jumlah pelancong asing ke Labuan Bajo meningkat hampir 100% pada tahun 2018 iaitu sebanyak 121,411 orang berbanding 76,612 orang pada tahun 2017. Peningkatan kehadiran pelancong asing ke sini didorong oleh usaha keras kerajaan Indonesia yang giat melaksanakan pelbagai pembangunan seiring dengan harapan mereka mahu menjadikan Labuan Bajo sebagai antara tarikan utama pelancongan Indonesia. Kami tinggalkan Labuan Bajo menuju ke Kepulauan Komodo.

Pulau Padar & Pink Beach

 

Seawal 4.30 pagi, kami sudah memulakan perjalanan ke Pudar Padar menaiki bot kecil kerana kapal Sea Safari Cruise tidak mungkin dapat ke jeti pulau tersebut dek kerana kawasannya yang cetek. Pulau Padar antara pulau yang terletak di Taman Negara Komodo dan berhampiran Pulau Rinca. Kunjungan ke Labuan Bajo tidak akan lengkap sekiranya anda tidak singgah di pulau ini. Pemandangan yang cantik dari atas bukit pasti memukau siapa sahaja yang menjejakkan kaki ke sini buat pertama kali.

Cuma saranan kami, pastikan anda betul-betul ‘fit’ sebelum mendaki. Walaupun laluannya tidaklah begitu mencabar tapi sesekali adrelin kami memuncak tatkala melalui lereng-lereng bukit yang curam. Terdapat beberapa ‘pit stop’ sepanjang pendakian ke puncak bukit, peluang ini digunakan oleh para pelancong untuk bergambar dan berehat sebelum memulakan semula perjalanan. Selepas lebih kurang 30 minit mendaki, akhirnya kami semua sampai ke puncak!

Masing-masing tidak melepaskan peluang bergambar di beberapa ‘spot’ berlatarbelakangkan pemandangan yang sungguh memukau. Macam-macam pose! Tak kurang juga ada yang membawa beberapa jenis props seperti bendera dan komputer riba untuk digunakan semasa bergambar. Waktu yang paling sesuai ke pulau ini ialah sekitar April – Jun kerana pada waktu ini anda dapat lihat kehijauan bukit-bukit di sini. Selain pemandangan yang indah dari puncak, Pulau Padar juga terkenal dengan kecantikan pasir pantainya.

Seterusnya kami menuju ke Pink Beach, kawasan pantai unik di Pulau Komodo yang mempunyai pasir berwarna merah jambu! Difahamkan pasir pantai ini bertukar merah jambu kerana kehadiran terumbu karang berwarna merah yang terdapat di sekitar kepulauan itu.

Air jernih pikat hati

Selain menikmati pemandangan indah dari puncak bukit di Pulau Padar, snorkeling juga merupakan aktiviti wajib anda lakukan. Sepanjang 3 hari di sini, kami dibawa ke beberapa lokasi tumpuan aktiviti snorkeling antaranya di Pulau Kanawa. Istimewanya di Pulau Kanawa ini, lokasi snorkeling hanya lah berdekatan sekitar jeti.

Tak perlu berjalan jauh hingga ke pesisir pantai, penggemar aktiviti snorkeling cuma perlu ‘terjun’ di sekitar jeti untuk melihat sendiri keindahan terumbu karang dan kepelbagaian hidupan laut yang ada. Dek kerana kejernihan air laut, sekali sekala anda dapat melihat aksi ikan ikan kecil berenang di sekitar jeti. Jika anda tidak pandai berenang atau masih amatur, pastikan pakai jaket keselamatan. Awas, nampak seperti cetek tapi sebenarnya tidak!

Petang itu saat matahari mulai terbenam, kami bersantai di ruang atas Sea Safari Cruise sambil melihat ribuan kelawar terbang keluar dari Pulau Kalong untuk mencari makanan. Walaupun ukuran kelawar di sini agak besar namun ianya tidak menyerang atau membahayakan pelancong.

Pulau Komodo

Sekitar April yang lalu, kerajaan Nusa Tenggara Timur mengumumkan untuk menutup Pulau Komodo bagi memulihara biawak Komodo. Negara itu digemparkan dengan berita penyeludupan sebanyak 41 Komodo yang dijual pada harga RM143,000 seekor!

Pengumuman ini bagaimanapun dibantah penduduk tempatan kerana bakal mengganggu sumber pendapatan mereka. Setelah mendengar rungutan dan cadangan pelbagai pihak, Pulau Komodo akan terus dibuka. Untuk rekod, terdapat sekitar 5,000 ekor biawak Komodo yang menghuni pulau di Nusa Tenggara.

Sepanjang lawatan ke pulau ini, kami dapat melihat dengan lebih dekat beberapa ekor biawak Komodo. Walaupun biawak Komodo berjalan perlahan, pelancong diingatkan agar sentiasa peka dan tidak berada terlalu dekat dengan binatang tersebut. Kebiasaannya renjer bertugas akan mengiringi pelancong yang berjalan di sekitar pulau.

Hari terakhir di Labuan Bajo kami dibawa ke Gua Batu Cermin. Dinding gua yang memantulkan cahaya matahari seperti cermin digelar ‘Batu Cermin’. Untuk sampai ke gua ini, anda perlu berjalan lebih kurang 15 minit dari pintu masuk. Menurut sejarah, gua ini ditemukan oleh seorang arkeologi, Theodore Verhoven pada tahun 1951. Verhoven berpendapat Pulau Flores dulunya merupakan dasar laut berdasarkan pertemuan fosil yang ketara di sekitar dinding gua.

Sejujurnya selama beberapa hari berada di sini, segala masalah yang berada di dalam fikiran sebelum ini seolah ‘hilang’ buat seketika, yang ada hanyalah keterujaan menyaksikan keindahan kepulauan Flores. Dari riak wajah mereka yang mengikuti trip ini terpancar 1001 kegembiraan dan kepuasan!

Flores dan pulau sekitarnya di Nusa Tenggara Timur memang destinasi wajib kunjung jika anda gemar melakuan aktiviti pendakian, menyelam dan menghayati keindahan alam. Terima kasih AirAsia. Terima kasih Kementerian Pelancongan Indonesia!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×