Nur

Amalan ‘Istikharah Al-Quran’ Adalah Dilarang, Tiada Dalam Syarak- JAKIM

53
SHARES

Berpegang dan mempercayai Al-Quran merupakan rukum iman dalam Islam dan wajib diamalkan oleh orang Muslim. Namun, kita masih berdepan dengan beberapa fahaman lain yang mungkin akan ‘menggoyahkan’ kepercayaan asas kita. Salah satunya adalah tentang amalan Istikharah Al Quran. Amalan ini seolah-olah mengajak kita menilik melalui maksud ayat Al-Quran, seolah-olah Allah SWT sedang memberitahu kita sesuatu. Ternyata amalan ini adalah dilarang sama sekali!

LARANGAN AMALAN “ISTIKHARAH AL-QURAN”

Terdapat dalam kalangan individu yang beristikharah dengan cara mengambil Al-Qur’an lalu membukanya secara tanpa dirancang. Kemudian dia melihat baris pertama di halaman pertama yang dibuka. Terdapat juga sebahagian daripada mereka mengira halaman ketujuh, kemudian baris ketujuh, diikuti perkataan ketujuh dan kemudian membacanya.

Jika terdapat ayat yang memerintahkan untuk melakukan sesuatu perbuatan, maka dia akan melakukan perbuatan tersebut. Manakala jika terdapat ayat yang melarang melakukan sesuatu perbuatan, maka dia akan meninggalkannya. Kaedah istikharah ini tiada dalam syarak dan tidak dipetik dari mana-mana imam atau ulama.

Sumber : Syeikh Dr Mustafa al-Bugha di dalam Kitab Al-Wadhih Fi Ulum Al-Quran (1998)

6 BAHAYA METODE GARPU TALA

Metode Garpu Tala ini menyatakan ia adalah kaedah dapatkan jawapan daripada Allah, seolah-olah kita berbicara secara terus dengan Allah. Tengoklah ritual Garpu Tala ini daripada salah seorang pengamalnya dalam tangkap layar di bawah. Nampak seronok? Boleh dapat jawapan secara pantas? Nanti dulu…

Mari kita renungi bahayanya Metode Garpu Tala ini..

1 – Kaifiyyat Garpu Tala ini semua adalah sesuatu yang direka-reka dan andaian sahaja. Tiada dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah, bahawa itu cara berhubung dan dapatkan jawapan daripada Allah secara terus.

2 – Pendustaan ke atas Allah. Siapa jamin bahawa halaman yang kita buka dan ayat yang kita lihat pertama kali adalah ayat yang Allah kehendaki untuk jawab persoalan kita? Bukan disebabkan bias? Adakah wahyu ataupun ilham sehingga kita berani kata dengan yakin, oh itulah ayat yang Allah mahu kita tengok?

3 – Kaedah memahami Al-Quran yang menyalahi disiplin. Membataskan kepada halaman tertentu dan ayat tertentu sahaja. Sedangkan memahami Al-Quran ada disiplin tafsir yang perlu diikuti seperti merujuk ayat Al-Quran yang sesuai, merujuk hadis dan huraian para ahli tafsir. Dalam Al-Quran bukan semua ayat muhkamat dan jelas ada yang mutasyabihat ataupun samar-samar.

4 – Mengakibatkan manusia akan meninggalkan disiplin belajar ilmu Al-Quran yang sebenar, kerana sudah ada cara berpegang dengan Al-Quran dengan mudah, iaitu Metode Garpu Tala.

5 – Membuka pintu kerosakan dengan sesiapa sahaja bebas untuk mentafsir ayat Al-Quran dengan cara masing-masing. Akhirnya, kita akan melihat pelbagai tafsiran baru dan ajaran baru yang menyimpang dalam masyarakat.

6 – Merendah darjat Al-Quran seperti bermain dadu ataupun alat tilik nasib. Pernah melihat orang menilik nasib? Mereka letakkan alat didepan mata, digoncang, kemudian batang yang terjatuh secara rawak, maka itulah jawapan masalah mereka. Apa perbezaan kaedah tilik tersebut dengan Metode Garpu Tala? Jelas kaedahnya adalah sama.

Berdoa dengan Metode Garpu Tala ini melanggar adab berdoa kepada Allah. Tanpa sedar, kita ‘memaksa’ Allah beri jawapan segera dan beri jawapan ikut cara kita.

Kesimpulannya, jauhilah Metode Garpu Tala ini. Ia bukanlah kaedah berpegang kepada Al-Quran yang sebenar. Jangan mudah terpedaya dengan kaedah-kaedah popular dan menjanjikan solusi pantas, tanpa memikirkan kesahihan sesuatu amalan.
Sekiranya ada masalah, berdoalah kepada Allah dan bersabarlah, berbincang dengan orang yang arif dalam bidang, tambah ilmu berkaitan, berusaha dan bertawakal kepada Allah…

Mahu berpegang kepada Al-Quran dengan cara yang betul? Hadirkan diri dengan kelas-kelas Tafsir Al-Quran yang mengajarkan tafsir yang dipercayai daripada karya para ulama.

Sumber: Suhili Nain, JAKIM

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×