Bukan calang-calang cabaran yang ditempuh seorang warga emas apabila sanggup mengayuh basikal sejauh 100 kilometer (km) sebelum menyertai larian ultra trail sejauh 30km. Lebih mengejutkan, peserta berusia lebih 60 tahun itu meneruskan larian berkaki ayam selepas kasut getah yang dipakainya pada awal perlumbaan terbenam dalam laluan yang dilalui.
Lelaki bernama Ariffin Abdul Manan atau Pak Cik Ariffin, telah mencuri perhatian selepas berjaya menamatkan acara Malaysia Taman Negara Ultra (MTNU) 2026 di Kuala Tahan, Pahang, dalam masa tujuh jam 32 minit 36 saat.
Baca juga: Dah Bersara Tapi Masih Sibuk? Pembantu Dedah Ini ‘Kerja’ Yang Tun M Buat Setiap Hari Di Pejabat!
PAK CIK ARIFFIN TAMATKAN LARIAN ULTRA TRAIL 30KM DENGAN BERKAKI AYAM!

Tangkap layar IG @malaysiatamannegaraultra
Kayuh basikal 100km sebelum sertai larian ultra trail
Menerusi perkongsian di Instagram @mohc_official dan @malaysiatamannegaraultra, Pak Cik Ariffin terlebih dahulu mengayuh basikal kira-kira 100km dari Ulu Cheka, Damak ke Taman Negara bagi menyertai acara berkenaan.
Selepas tiba di lokasi, beliau menyahut cabaran larian sejauh 30km yang memerlukan peserta meredah denai hutan, laluan berlumpur dan bukit yang mencabar.
Menurut perkongsian pengguna Facebook, Mohd Razali, laluan perlumbaan itu bukan seperti trek larian biasa kerana peserta perlu berdepan keadaan muka bumi yang sukar, terutama selepas hujan.
Malah, Pak Cik Ariffin dilaporkan pada awalnya turut menghadapi kesukaran mencari lokasi pelepasan perlumbaan sebelum memulakan cabaran tersebut.
Kasut getah terbenam, teruskan larian berkaki ayam
Antara perkara yang paling menarik perhatian ialah kelengkapan ringkas yang digunakan Pak Cik Ariffin sepanjang perlumbaan.
Beliau hanya membawa peralatan asas seperti ves larian biasa dan bekas air jenis soft flask. Kasut getah yang dipakainya pada awal perlumbaan pula dikatakan terbenam dalam laluan, menyebabkan beliau meneruskan perjalanan tanpa kasut.
Walaupun perlu menempuh denai hutan yang berlumpur dan berbukit, Pak Cik Ariffin tetap meneruskan larian sehingga ke garisan penamat.
Lebih mengagumkan, beliau berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa tujuh jam 32 minit 36 saat, sekali gus menduduki tempat ke-72 daripada 326 peserta. Beliau turut berada di kedudukan ke-13 dalam kategori Men Veteran 40 tahun ke atas, menurut laporan Sinar Harian.
Tak bergantung pada jam GPS, hanya ikut penanda laluan

Tangkap layar FB Mohd Razali.
Selain kelengkapan yang sederhana, Pak Cik Ariffin juga tidak menggunakan jam sukan dengan fungsi peta dan navigasi seperti yang lazim digunakan peserta acara larian ultra trail.
Sebaliknya, beliau bergantung pada penanda laluan yang disediakan pihak penganjur untuk menentukan arah sepanjang perlumbaan.
Mohd Razali turut berkongsi bahawa Pak Cik Ariffin dikatakan sentiasa mengukir senyuman dan melayan dengan baik sesiapa sahaja yang menegurnya sepanjang perjalanan.
Menurut perkongsian itu, warga emas ini juga mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam acara maraton, duathlon dan triathlon.
Pengalaman tersebut pastinya menjadi antara bekalan penting untuk menghadapi cabaran ketahanan fizikal dan mental dalam perlumbaan berkenaan.
Semangat Pak Cik Ariffin jadi inspirasi
Kisah Pak Cik Ariffin membuktikan bahawa usia bukan semestinya penghalang untuk terus aktif dan mencabar kemampuan diri.
Namun, larian tanpa kasut di laluan hutan tetap mempunyai risiko kecederaan akibat permukaan tidak rata, objek tajam dan keadaan trek yang licin. Oleh itu, keselamatan serta kelengkapan yang sesuai perlu menjadi keutamaan bagi sesiapa yang ingin mencuba aktiviti seumpamanya.
Bagi Pak Cik Ariffin, kejayaan menamatkan larian 30km selepas berbasikal sejauh 100km bukan sekadar pencapaian sukan, malah kisah tentang ketabahan, pengalaman dan semangat untuk terus melangkah.
Lihat siaran ini di Instagram
Sumber: Instagram @mohc_official, @malaysiatamannegaraultra / Sinar Harian / Facebook Mohd Razali (1) (2) (3)
