Permintaan terhadap ubat cucuk kurus semakin mendapat perhatian, namun pembelian produk yang dijual tanpa kawalan sah boleh mengundang risiko kepada pengguna.
KKM RAMPAS UBAT CUCUK KURUS HARAM LEBIH RM400,000

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas pelbagai ubat kawalan berat badan dan antidiabetes tidak berdaftar bernilai lebih RM400,000 yang dijual secara haram dalam talian.
Antara produk yang dirampas ialah Retatrutide, iaitu ubat yang masih dalam peringkat percubaan, serta Ozempic yang mengandungi bahan aktif semaglutide.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan peningkatan trend pembekalan dan pembelian ubat kumpulan glucagon-like peptide-1 receptor agonist (GLP-1 RA) tanpa pemantauan klinikal serta kawalan sah pihak berkuasa.
Hampir RM400,000 nilai rampasan Retatrutide dan Ozempic
Menurut Dzulkefly, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM menjalankan beberapa serbuan bagi membanteras penjualan produk berkenaan sepanjang 2025 hingga September 2026.
Bagi Retatrutide, sebanyak 12 serbuan dilaksanakan dengan 697 unit dirampas, melibatkan nilai RM341,000.
“Bagi tempoh 2025 sehingga September 2026, sebanyak 12 serbuan berkaitan Retatrutide telah dilaksanakan secara rampasan 697 unit melibatkan RM341,000. Retatrutide adalah satu yang saya kira belum lagi dalam formulari kami.
“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga mengesan penjualan ubat Ozempic, (mengandungi bahan aktif Semaglutide) secara tidak sah. Bagi tempoh 2025 hingga September 2026, tujuh serbuan berkaitan produk ini dilaksanakan dengan rampasan berjumlah 62 unit melibatkan RM64,170,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai tindakan KKM mengawal penjualan ubat berkenaan dalam talian tanpa kawalan, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
KKM pantau penjualan ubat melalui e-dagang dan media sosial

Gambar BERNAMA: Dzulkefly berkata buat masa ini tiada peruntukan khusus bagi rawatan ubat GLP-1 seperti Ozempic, Tirzepatide dan Mounjaro.
Dzulkefly berkata KKM menerusi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan meneruskan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan ubat tidak sah yang dipromosikan di platform e-dagang dan media sosial.
Katanya, tindakan lebih tegas perlu diambil bagi memastikan pengguna tidak terdedah kepada risiko akibat pembelian ubat tanpa kawalan pihak berkuasa.
“Kita akan terus memantau secara lebih tegas penyalahgunaan e-dagang dan e-platform ini, sebab pada akhirnya yang kita mahu jaga adalah keselamatan dan nyawa rakyat,” katanya.
Pengguna disaran supaya tidak mudah terpengaruh dengan promosi ubat kurus di media sosial, khususnya produk yang dijual tanpa pengesahan status pendaftaran dan tanpa nasihat profesional kesihatan.
Tiada peruntukan khusus GLP-1, permohonan boleh dibuat melalui UKK
Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata tiada peruntukan khusus di bawah Belanjawan 2026 bagi rawatan menggunakan ubat GLP-1 seperti Ozempic, tirzepatide dan Mounjaro buat masa ini.
Bagaimanapun, pesakit yang memerlukan rawatan berkenaan boleh mengemukakan permohonan melalui Unit Ubat Kelulusan Khas (UKK) KKM menggunakan peruntukan sedia ada.
“Untuk rekod, sebanyak 240 permohonan rawatan telah diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2026 melibatkan kos keseluruhan RM2.56 juta,” katanya.
Beliau turut memaklumkan KKM akan terus mengemukakan permohonan peruntukan khusus bagi perolehan ubat GLP-1 pada masa hadapan.
Sumber: BERNAMA
