Detik yang sepatutnya menjadi kenangan paling membahagiakan buat seorang graduan bertukar menjadi tragedi apabila istiadat konvokesyen yang dinanti-nantikan tidak dapat diraikan bersama insan tersayang.
SUAMI ISTERI MAUT DALAM PERJALANAN MENGHADIRI ISTIADAT KONVOKESYEN ANAK

Husna menunjukkan gambar kenangan kedua ibu bapanya.
Husna Syakira Abd Halim, 23, kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik-Jeli, Perak, ketika pasangan itu dalam perjalanan ke Kelantan untuk menyaksikan kejayaannya menerima ijazah Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Lebih memilukan, ibu bapanya bukan sahaja sudah merancang untuk meraikan hari istimewa itu, malah bapanya turut membawa kamera baharu dengan hasrat merakam detik anak perempuan mereka naik ke pentas.
Sempat video call 20 minit sebelum tragedi
Husna berkata, dia masih teringat panggilan video daripada abangnya, Muhammad Syazwan Hakimi, 28, kira-kira jam 1.20 petang sebelum kemalangan berlaku.
Ketika itu, ibu bapanya sedang berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa. Abangnya menghubungi Husna untuk bertanya sama ada makanan sudah tersedia di atas meja.
“Sebelum kejadian, abang call dalam pukul 1.20 petang, masa tu depa berenti dekat Hentian Rehat dan Rawat Banjaran Titiwangsa tanya makanan dah sedia ka atas meja, saya jawab baru nak pergi beli.
“Dia halakan telefon kepada mak saya dan saya nampak muka mak saya bercahaya dan bersinar… Mereka gelak-gelak, itu last saya hubungi depa,” katanya ketika ditemui di Masjid As Syakirin Singkir Laut selepas selesai pengebumian pada Selasa.
Menurut Husna, dia menerima berita mengenai kemalangan itu daripada kakaknya ketika baru selesai membeli kasut untuk dipakai pada hari konvokesyen.
Kamera ayah rosak, baju baharu mak jadi kenangan
Apa yang menambahkan kesedihan Husna ialah persiapan ibu bapanya yang dilakukan demi meraikan kejayaan tersebut.
Bapanya, Abd Halim Bakar, 64, membawa kamera digital yang baru dibeli untuk merakam detik anaknya menerima ijazah, manakala ibunya, Siti Sarah Abd Rahman, 58, sanggup membelikan pakaian dan kasut baharu untuk dipakai pada hari berkenaan.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila kedua-duanya terkorban dalam kemalangan.
“Saya sewa homestay dan masa tu depa menuju ke homestay la. Semalam, ayah bawak kamera dia baru beli sebab nak record saya masa atas pentas terima ijazah tapi saya tengok kamera digital tu dah rosak dan patah.
“Mak sanggup belikan baju baru, kasut baru untuk tengok saya konvo tapi bila tengok ada kesan darah, saya sedih,” katanya.
Ibu bapa selamat dikebumikan, abang masih dirawat

Jenazah pasangan suami isteri selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang Isnin, kereta pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki tiga beranak itu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Lebuhraya Timur-Barat, selepas R&R Banjaran Titiwangsa menghala ke Gerik.
Abd Halim dan isterinya disahkan maut, manakala anak lelaki mereka, Muhammad Syazwan Hakimi, mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Taiping.
Jenazah pasangan itu selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid As Syakirin pada Selasa, sekitar jam 6 petang.
Husna yang berasal dari Kedah sepatutnya menghadiri Istiadat Konvokesyen UMK Ke-16 di Bachok bagi menerima ijazah dalam bidang keusahawanan, pengkhususan Logistik dan Perdagangan Pengedaran, dengan Kepujian.
UMK hulur bantuan kewangan dan sokongan kebajikan
Sementara itu, UMK menzahirkan ucapan takziah dan dukacita atas tragedi yang menimpa keluarga Husna.
Menerusi Bahagian Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), universiti berkenaan menggerakkan pegawai, wakil Majlis Perwakilan Pelajar serta Pegawai Psikologi ke Hospital Gerik bagi membantu keluarga mangsa.
“Pasukan berkenaan bertujuan memberikan sokongan kebajikan, membantu urusan dokumentasi serta menyelaras keperluan keluarga mangsa.
“UMK turut menyediakan kemudahan van jenazah bagi menguruskan penghantaran pulang jenazah kedua-dua ibu bapa Husna Syakira ke kediaman rasmi keluarga,” menurut kenyataan itu.
Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Mohd Badrul Hisyam Muhammad Alias, turut memaklumkan bahawa bantuan wang tunai sebanyak RM2,000 diperuntukkan kepada Husna bagi meringankan beban keluarga.
UMK juga memberi jaminan akan meneruskan sokongan kebajikan dan memastikan keperluan graduan berkenaan diberikan perhatian susulan tragedi yang menimpa keluarganya.
