Kes rogol melibatkan anak saudara berusia 12 tahun sehingga mangsa melahirkan anak membawa kepada keputusan baharu Mahkamah Rayuan apabila pesalah yang ketika kejadian berusia 14 tahun diperintahkan ditempatkan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun.
Perintah itu dibuat selepas panel tiga hakim membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menggantikan hukuman khidmat masyarakat yang sebelum ini dikenakan terhadap lelaki berkenaan, yang kini berusia 19 tahun.
Baca juga: Ini Senarai Sekolah Pemulihan Akhlak Di Malaysia, Tak Semua Yang Masuk Juvana Terus Ke Penjara
PESALAH REMAJA ROGOL ANAK SAUDARA HINGGAL HAMIL

Mahkamah Rayuan anggap hukuman terdahulu tidak setimpal
Panel yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan.
Hayatul Akmal yang membacakan keputusan berkata, hukuman terdahulu tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Mahkamah Tinggi juga didapati terkhilaf apabila mengekalkan perintah berkenaan.
Sebelum ini, pada 21 Februari 2024, Mahkamah Majistret Kangar memerintahkan responden menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan serta berada di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama dua tahun.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 13 Disember 2024 yang mengekalkan hukuman tersebut.
Mangsa Hamil Lapan Bulan Tanpa Menyedari Dirogol
Menurut fakta kes yang dibacakan di mahkamah, kejadian berlaku ketika mangsa tidur di rumah neneknya di Kuala Perlis, antara jam 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi pada 14 Oktober 2021.
“Mangsa tidak menyedari kejadian itu dan apabila terjaga mendapati terdapat kesan cecair berlendir pada bahagian kakinya.
“Ibu mangsa membawa mangsa ke poliklinik pada 12 Mei 2022 selepas mendapati perutnya kelihatan membesar.
“Pemeriksaan mengesahkan mangsa mengandung lapan bulan ketika itu.
“Mangsa sendiri tidak mengetahui dirinya dirogol, malah tidak menyedari dia sedang mengandung. Siasatan kemudiannya mengenal pasti responden sebagai pelaku, manakala laporan kimia mengesahkan responden adalah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa,” katanya.
Responden yang juga bapa saudara mangsa mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
Baca juga: Buang Bayi Bongkar Perbuatan Sumbang Mahram Di Besut, Adik Lelaki 14 Tahun Dipercayai OKU Lembam!
Mahkamah tekankan keseriusan kesalahan

Gambar hiasan: Gemini AI
Dalam menentukan hukuman yang sesuai, mahkamah berpandangan usia responden ketika kejadian bukan satu-satunya perkara yang perlu dipertimbangkan.
Sebaliknya, usia mangsa, hubungan kekeluargaan antara kedua-duanya serta kesan perbuatan itu turut menjadi faktor penting. Pengakuan salah dan laporan akhlak juga tidak seharusnya mengatasi pertimbangan terhadap fakta serta keseriusan kesalahan.
“Laporan akhlak dikemukakan juga hanya satu daripada faktor yang boleh dipertimbangkan dalam menentukan bentuk perintah terhadap pesalah kanak-kanak.
“Perintah khidmat masyarakat selama 120 jam tidak menggambarkan dengan secukupnya keseriusan kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa prinsip pencegahan dan kepentingan awam perlu diberi perhatian dalam kes yang mempunyai faktor pemberat luar biasa.
“Ini bukan kesalahan jenayah biasa dan hukuman berbentuk pencegahan perlu dikenakan bagi menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat,” katanya.
Mahkamah turut menjelaskan bahawa pihaknya masih mempunyai bidang kuasa untuk mengubah perintah terdahulu walaupun khidmat masyarakat berkenaan sudah selesai dijalani.
Akhirnya, responden diperintahkan ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun, mengikut Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001. Perintah itu berkuat kuasa serta-merta.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Arkib NSTP
