Famili

Kes Penyelia Maut Ketika Bertugas, Pramugara Didakwa Pandu Bawah Pengaruh Alkohol Mengaku Tak Bersalah

pengaruh alkohol

Seorang pramugara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang mengakibatkan seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera.

Baca juga: Baru 4 Bulan Bergelar Suami, Penyelia Maut Ketika Bertugas Dirempuh Pemandu Dipercayai Mabuk

PRAMUGARA DIDAKWA MEMANDU BAWAH PENGARUH ALKOHOL MENGAKU TAK BERSALAH

pengaruh alkohol

Gambar Amir Khalid (Kosmo!): Mohd. Iman Nafiz Fong ketika dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini.

Kandungan alkohol dalam darah melebihi had ditetapkan

Tertuduh, Mohd Iman Nafiz Fong Mohd Sabirin, 26, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.

Pertuduhan pertama mendakwa tertuduh memandu kereta jenis Ford Focus Sport dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 64 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml). Jumlah itu melebihi had yang ditetapkan, iaitu 50mg/100ml, sehingga menyebabkan kematian Faris Irfan Fazli, 29.

Kejadian berkenaan didakwa berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen, Kuala Lumpur, pada jam 4.09 pagi, 24 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).

Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara minimum 10 tahun hingga maksimum 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000. Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan.

Seorang lagi pekerja cedera, berdepan pertuduhan kedua

Selain menyebabkan kematian, tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua kerana didakwa memandu kereta sama di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan kepada Ahmad Zakiyamani Zakaria @ Yusuff, 49.

Pertuduhan itu melibatkan lokasi, masa dan tarikh kejadian yang sama serta dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000.

Dia juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan.

Mahkamah benarkan jaminan RM35,000 bagi kedua-dua pertuduhan

pengaruh alkohol

Gambar Sinar Harian: Kenderaan yang dipercayai merempuh sekumpulan pekerja penyelenggaraan pada Sabtu.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM25,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan turut memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Permohonan itu dibuat dengan mengambil kira pekerjaan tertuduh sebagai pramugara yang membolehkannya melakukan perjalanan ke luar negara, sekali gus menimbulkan risiko melarikan diri.

Bagaimanapun, peguam Mohd Anif Rafih yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Pihak pembelaan tidak membantah permohonan penggantungan lesen memandu, tetapi membantah syarat penyerahan pasport kerana dokumen itu diperlukan untuk menjalankan tugas sebagai pramugara.

Peguam berkenaan turut memaklumkan bahawa tertuduh masih bujang dan menanggung keluarga, termasuk bapanya yang menghidap penyakit jantung serta memerlukan rawatan susulan di hospital.

“Anak guam saya memerlukan pasport bagi menjalankan pekerjaan hakiki sebagai pramugara syarikat penerbangan. Selain itu, anak guam masih bujang dan menanggung keluarga, termasuk bapanya yang menghidap penyakit jantung serta memerlukan rawatan susulan di hospital.

“Pihak pembelaan menawarkan supaya tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di balai polis sebagai pengganti kepada penyerahan pasport,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Majistret turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 30 November depan untuk sebutan kes.

Sumber: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×