Dapur

Cara Kurangkan Pedas Cili Kering Supaya Senang Nak Masak Untuk Anak

1.5K
SHARES

“Lupa pulak cili kering yang beli hari tu memang pedas. Patutnya bubuh sikit je tadi. Kesian pulak budak-budak tu nak makan nanti.”

Dalam makanan orang Malaysia, memang antara bahan wajibnya adalah sambal. Nak membuat sambal ni dah tentulah gunakan cili kering. Biasanya kalau nak pilih yang kurang pedas, ambil yang kerinting. Tapi kadang-kadang tak perasan dah terbeli atau tak ada pilihan lain.

Bila nak masak, kita pun bubuhlah cili macam biasa. Kalau sikit sangat, warna sambal pun kurang menariklah kan? Sekali dia punya pedas, boleh berdesing telinga!

Untuk mengelakkan cili kering yang terlampau pedas, jom kita ikuti tips yang dikongsikan oleh saudari Eyna Zakaria. Menurutnya, tips ini dipelajari daripada seorang tukang masak kenduri kahwin. Memang mudah dan sangat berguna, terutamanya bagi mak-mak yang nak masak untuk anak yang tak tahan pedas.

Jom ikuti perkongsian beliau selengkapnya di bawah ini.

Cara Kurangkan Pedas Cili Kering Tanpa Jejaskan Warna Sambal

Kalau perasan, cili kering zaman sekarang ni tak kiralah yang kerinting atau yang licin memang pedas yang amat! Jadi, di sini saya nak share cara untuk kurangkan pedas pada cili kering ni.

Mari saya terangkan langkahnya satu persatu.

1. Gunting Cili Kering & Buang Biji

Mula-mula sekali, guntingkan cili kering macam biasa. Tak kisah nak gunting serong atau gunting menegak di tengah, asalkan bijinya dapat dibuang dengan mudah.

cara kurangkan pedas cili

2. Rendam Dalam Air Kapur

Lepas dah buang biji cili kering tu sebanyak yang boleh, rendamkan pula dalam air kapur.

Untuk cili banyak macam dalam gambar di bawah ni, saya bubuh lebih kurang 4 sudu air kapur. Kemudian saya isi setengah cawan air paip. Biarkan dalam 20-30 minit, bergantung pada kuantiti cili kering tu.

3. Rebuskan Cili

Lepas 20 minit, bolehlah dibuang air kapur tadi. Rendaman air kapur akan bertukar macam dalam gambar di bawah ini.

Sekarang dah bolehlah rebuskan cili kering macam biasa menggunakan air paip.

4. Kisar & Masak!

Akhir sekali, kisarkan cili dan bolehlah digunakan untuk memasak. Yang lebih boleh simpan.

Nampak merah menyala sambal sotong saya ni kan? Tapi alhamdulillah tak pedas sangat, sedap-sedap makan aja. Barulah anak-anak boleh makan sama.

Senang Nak Masak Untuk Anak-anak

Walaupun kita suka pedas, bukan satu keluarga boleh makan pedas, lagi-lagi pula kalau masak untuk tetamu. Jadi, lain kali tak perlu risau lagi kalau terbeli cili kering yang pedas. Bolehlah guna petua yang dikongsikan ini. Nak masak sambal boleh, buat goreng-goreng boleh, nak buat lauk pun senang. Yang best tu, warna masakan tetap merah menyala. Baru naik selera!

Selamat mencuba.

*Petua kurangkan pedas cili kering ini dikongsikan oleh saudari Eyna Zakaria menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×