Belum pun menamatkan pengajian di universiti, seorang penuntut sudah mampu meraih pendapatan bersih sehingga RM3,000 sebulan menerusi perkhidmatan penyaman udara yang diusahakannya sekitar Lembah Klang.
Lebih menarik, usaha mencari duit poket itu bukan sahaja membolehkannya menampung keperluan sendiri, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakan sekampus yang turut membantu memenuhi permintaan pelanggan.
TAK MAHU BERGANTUNG ELAUN PINJAMAN, PENUNTUT RAIH 3K SEBULAN HASIL SERVIS PENYAMAN UDARA

Gambar Hazreen Mohamad: Aizad membuat kerja sambilan servis penghawa dingin ketika masih menuntut di dalam Kuliah.
Pemuda berkenaan, Aizad Haikal Marzukee, 24, merupakan pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Sistem Penyejukbekuan dan Penyaman Udara Industri) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysia France Institute (MFI).
Menurut Aizad, dia mula menawarkan khidmat pemasangan, pembersihan dan pembaikan penyaman udara sejak awal Mei lalu bagi memanfaatkan ilmu yang dipelajari, selain tidak mahu terlalu bergantung pada elaun pinjaman pembiayaan.
Hantaran media sosial tiba-tiba tular, pelanggan mula membanjiri
Pada awalnya, Aizad menguruskan semua tempahan seorang diri. Namun, jumlah pelanggan yang semakin meningkat menyebabkan dia terpaksa mendapatkan bantuan rakan sekampus yang mempunyai kelapangan untuk bekerja bersama.
Walaupun sudah lima bulan menjalankan perkhidmatan itu, sambutan yang diterima pada awalnya tidak begitu memberangsangkan.
Namun, satu hantaran di media sosial yang dibuat sebagai usaha mencari pelanggan mengubah keadaan apabila perkongsian tersebut mendapat sambutan di luar jangkaan.
Malah, Aizad mengakui ketika itu dia hanya mempunyai RM10 di tangan dan berasa berat hati untuk meminta wang daripada ibu bapanya.
“Walaupun sudah lima bulan bermula, baru sekarang dapat sambutan kerana sebelum ini pendapatan tak menentu.
“Saya anggap ini rezeki daripada Allah SWT kerana sebelum berkongsi hantaran di media sosial, duit dalam tangan saya ada RM10 saja. Nak minta emak dan ayah tak sampai hati kerana waktu itu pertengahan bulan.
“Jadi bila emak tanya ada duit atau tidak, saya kata esok ada kerja walaupun tiada tempahan slot pun.
“Malam hari yang sama, saya cuba kongsi hantaran dengan tawarkan servis di media sosial tapi tak sangka perkongsian dimuat naik itu ‘meletup’ hingga ramai berminat mendapatkan perkhidmatan saya,” katanya kepada Harian Metro.
Susun jadual kuliah, hujung minggu fokus cari rezeki
Dalam pada itu, Aizad memastikan kerja sambilan yang dilakukan tidak mengganggu komitmen sebagai pelajar. Dia menyusun jadual mengikut waktu kuliah supaya masih mempunyai masa untuk mengulang kaji dan menyiapkan tugasan.
Keluarganya juga mengetahui usaha tersebut dan memberikan sokongan selagi dia tidak mengabaikan pelajaran.
“Kelas saya setiap Isnin, Selasa dan Khamis manakala Jumaat secara dalam talian.
“Rabu tiada kelas, jadi saya fokus untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan diberikan oleh pensyarah.
“Waktu hujung minggu dikhususkan untuk bekerja. Kebiasaannya servis dengan datang ke rumah pelanggan dan saya bergerak menaiki Proton Wira pemberian emak dan ayah.
“Caj dikenakan pula bergantung dengan jenis servis kerana yang asas bermula RM90 manakala RM330 bagi pemasangan penyaman udara satu hos,” katanya yang juga anak kedua daripada enam beradik.
Baca juga: Tak Pernah Mengalah Meski 8 Kali Gagal, 3 Beradik Kembar Seiras Akhirnya Bergelar Perajurit!
Pernah jual air balang, kini mahu kembangkan perkhidmatan

Aizad Haikal Marzukee.
Bagi Aizad, mencari pendapatan sendiri bukan sesuatu yang asing kerana dia pernah mencuba beberapa pekerjaan sebelum ini, termasuk menjadi ejen dropship produk kosmetik dan menjual air balang di tepi jalan.
Pengalaman tersebut juga membuatkannya lebih yakin untuk meneruskan usaha sendiri, apatah lagi bapanya pernah menggalakkan dia mencuba bidang perniagaan berbanding hanya bergantung pada pekerjaan makan gaji.
“Sebelum ini, saya pernah kerja sebagai ejen ‘drop ship’ produk kosmetik dan menjual air balang di tepi jalan.
“Jadi tak ada masalah, malah keluarga jadi pendorong untuk mencari rezeki kerana ayah pernah beri galakan bekerja sendiri dan keluar daripada ‘makan gaji’.
“Alhamdulillah, Allah SWT buka jalan untuk saya dan rezeki yang ada sekarang satu permulaan untuk terus berusaha.
“Sekurang-kurangnya saya dapat praktikkan apa yang dipelajari di kampus selain menimba pengalaman dan beri kepuasan kepada pelanggan,” katanya yang berhasrat meluaskan lagi perkhidmatannya.
Sumber: Harian Metro
