Hubungan baik antara majikan dan pembantu rumah bukan sekadar terjalin atas dasar pekerjaan, malah boleh menjadi satu ikatan yang penuh dengan kepercayaan dan kasih sayang.
Baru-baru ini, perkongsian seorang wanita menggunakan akaun Threads @dianamohd menarik perhatian ramai apabila berkongsi tindakan pembantunya yang sanggup menggunakan wang gaji sendiri untuk membeli barangan keperluan anak majikan.
Baca juga: Tular Wanita Maut Akibat Renjatan Elektrik Ketika Guna Kerusi Urut, Polis Sahkan Berita PALSU
PEMBANTU RUMAH BELIKAN BARANG UNTUK ANAK MAJIKAN

Menurut wanita itu, pembantunya baru sahaja menerima gaji sebelum satu parcel yang dipesan tiba di rumah. Namun, dia tidak menyangka barang yang dibeli itu sebenarnya merupakan persiapan makanan untuk anaknya yang bakal digunakan bagi tempoh dua bulan.
Menerusi perkongsian tersebut, wanita itu meluahkan rasa terharu apabila mengetahui pembantunya menggunakan wang sendiri untuk membeli barangan berkenaan.
Lebih menyentuh hati, pembantu itu turut memberitahu bahawa dia mahu memberikan sesuatu yang mungkin tidak berpeluang dinikmati oleh anaknya sendiri dahulu.
Malah, pembantu berkenaan bukan sahaja memikirkan keperluan anak majikan, tetapi turut membelikan minyak wangi untuk wanita itu.
Tindakan kecil tersebut membuatkan majikannya tersentuh sehingga tidak dapat menahan sebak mengenangkan keikhlasan pembantunya.
Dalam masa sama, wanita itu turut berkongsi beberapa cadangan kepada ibu bapa yang sedang mencari pembantu untuk menjaga anak kecil selepas tamat tempoh berpantang.
Antara cara yang boleh dipertimbangkan adalah dengan bertanya kepada confinement lady (CL) yang pernah membantu sepanjang tempoh berpantang sama ada mereka berminat untuk meneruskan pekerjaan sebagai pembantu rumah.
Sekiranya tidak berminat, ibu bapa juga boleh bertanyakan jika CL berkenaan mempunyai kenalan yang sedang mencari pekerjaan sebagai helper.
Selain itu, mereka boleh mendapatkan khidmat ejen yang menawarkan perkhidmatan pembantu sementara.
Bagaimanapun, wanita itu menyarankan supaya bakal majikan meminta maklumat terperinci mengenai calon pembantu, termasuk pengalaman menjaga bayi yang baru lahir.
Jika calon berkenaan pernah bekerja sebagai CL, pengalaman tersebut boleh menjadi satu kelebihan. Dia turut mencadangkan supaya bakal majikan mengadakan sesi temu bual atau panggilan terlebih dahulu bagi mengenali calon dan bertanyakan beberapa soalan sebelum membuat keputusan.

Warganet cadang beri bonus
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi positif daripada warganet yang turut tersentuh dengan sikap pembantu berkenaan.
Malah, ada yang mencadangkan supaya wanita itu mempertimbangkan untuk membayar semula harga barangan yang dibeli atau memberikan bonus sebagai tanda penghargaan.
Menurut individu tersebut, kebanyakan pekerja yang datang mencari rezeki di negara orang mempunyai tanggungjawab untuk menyara keluarga di kampung halaman.
Justeru, pemberian wang atau saguhati tambahan mungkin dapat membantu menghargai usaha dan pengorbanan pembantu berkenaan.
Baca juga: [TERKINI] Diskaun Tol 50% Sempena Deepavali 2026 Selama Dua Hari Bermula Tengah Malam Esok!
Sumber: Threads Dianamohd
