Famili

Baru 4 Bulan Bergelar Suami, Penyelia Maut Ketika Bertugas Dirempuh Pemandu Dipercayai Mabuk

pengaruh alkohol

Hasrat seorang lelaki untuk pulang dan memasak buat keluarga tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh sebuah kereta ketika bekerja di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur. Lebih memilukan, Faris Irfan, 28, baru empat bulan berkahwin, manakala nahas itu melibatkan pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Baca juga: “Kesiannya Anak Sulung”- Anak Buah Darjah 2 Tulis Nota Kecil, Wanita Ini Ingatkan Ibu Bapa Jaga Hati Anak-Anak

PENYELIA MAUT DIREMPUH PEMANDU DIPERCAYAI DI BAWAH PENGARUH ALKOHOL

pengaruh alkohol

Gambar Sinar Harian: Allahyarham Faris Irfan, 28, baru berkahwin pada 13 Jun lepas.

Baru empat bulan berkahwin, hasrat Faris pulang ke rumah tak kesampaian

Bapa mangsa, Fazli Buyong, 56, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu mendirikan rumah tangga pada 13 Jun lalu.

Menurutnya, Faris sepatutnya pulang ke rumah keluarganya pada tengah hari Sabtu selepas selesai bekerja dan berehat seketika. Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam nahas berkenaan.

“Dia beritahu hari ini (Sabtu) lepas habis kerja dan tidur sekejap, tengah hari tu dia nak datang (rumah) dan nak masak untuk kami… tetapi malangnya perkara itu tidak kesampaian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Lebih memilukan, isteri Allahyarham turut berada di lokasi kejadian kerana menemani suaminya bekerja sejak jam 10 malam. Bagaimanapun, wanita itu menunggu di dalam kereta ketika nahas berlaku.

Fazli menerima berita kematian anaknya menerusi panggilan telefon daripada menantunya kira-kira jam 4.20 pagi.

Dia yang reda dengan pemergian anaknya turut menggesa supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu yang menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh alkohol.

Selain meminta, undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah dikaji semula serta diperketatkan.

Jenazah Faris yang menetap di Setiawangsa disembahyangkan di Masjid Mu’adz Bin Jabal sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh, Batu Caves selepas Asar pada Sabtu.

Baca juga: Murid Tahun Satu Meninggal Dunia Di Sekolah Dipercayai Tercekik Makanan, Bapa Sempat Cuba CPR!

Pemandu kereta didapati mempunyai bacaan alkohol melebihi had

pengaruh alkohol

Gambar Sinar Harian: Kenderaan yang dipercayai merempuh sekumpulan pekerja penyelenggaraan pada Sabtu.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 5.08 pagi.

Siasatan awal mendapati lima pekerja, terdiri daripada seorang penyelia, seorang pemandu lori dan tiga warga Bangladesh, sedang menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kerja penyelenggaraan tersebut bermula pada jam 11 malam Jumaat hingga 4 pagi Sabtu. Ketika kejadian, Faris bersama rakan setugas sedang mengemas peralatan untuk pulang, dengan hanya kon keselamatan belum diangkat sebelum kereta berkenaan merempuh mereka.

“Akibat kemalangan itu, seorang penyelia lelaki berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Seorang lagi mangsa, pemandu lori berusia 49 tahun, mengalami kecederaan di kepala dan tangan kanan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, pemandu kereta berusia 26 tahun berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil ujian saringan pernafasan alkohol terhadap pemandu mendapati bacaan sebanyak 64 miligram bagi setiap 100 mililiter (mg/100 ml).

“Pemandu berkenaan ditahan dan direman selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) dan Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian (1) (2)

FT Image: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×