Famili

Pekerja Pembersihan Maut Digilis Ketika Bertugas Cari Rezeki, Saksi Kongsi Detik Cemas!

pekerja pembersihan

Satu kejadian menyayat hati berlaku di Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah apabila seorang pekerja pembersihan maut digilis lori sampah ketika menjalankan tugas kutipan sisa pepejal pada Selasa.

Mangsa, Mohamad Zaidi Ibrahim, 45, dipercayai terjatuh dari tempatnya berdiri di atas lori berkenaan sebelum digilis ketika kenderaan itu mula bergerak sekitar jam 11 pagi.

Baca juga: Dapat Lesen ‘Pilot’ Ketika Sekolah Menengah, Natalia Juruterbang Muda Berusia 20 Tahun Antara Maut Nahas Pesawat

PEKERJA PEMBERSIHAN MAUT KETIKA BERTUGAS

pekerja pembersihan

Mangsa dipercayai terjatuh sebelum digilis lori dipandu rakan setugas.

Terdengar dentuman kuat sebelum lihat mangsa terbaring

Menurut saksi kejadian, Azizan Ishak, 65, dia baru sahaja pulang daripada beriadah apabila terdengar bunyi dentuman kuat dari kawasan berhampiran rumahnya.

Dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian yang hanya terletak beberapa buah rumah dari kediamannya sebelum mendapati mangsa sudah terbaring di bawah lori.

“Saya baru balik ‘jogging’ tiba-tiba terdengar bunyi kuat…saya pi tengok, sudah terbaring kat situ, nak tarik tak boleh sebab ‘lekat’ jadi saya panggil seorang lagi jiran…kami ajarkan dia mengucap,” katanya.

Difahamkan, lori berkenaan baru selesai mengutip sisa pepejal dari rumah berhampiran sebelum mula bergerak dan mangsa dipercayai terjatuh lalu digilis kenderaan itu.

Baca juga: Nahas MPV Dihempap Lori Ragut Dua Nyawa, Tangisan Iringi Lambaian Dua Beradik Saat Jenazah Ibu Bapa Dibawa Pergi

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian

pekerja pembersihan

Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh sebelum digilis lori terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.18 pagi.

Menurutnya, seramai lima anggota bomba dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sepasukan lima anggota digerakkan ke lokasi, sebaik tiba mendapati seorang lelaki berada di bawah lori sampah berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pembersihan di lokasi selepas mangsa berjaya dikeluarkan sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×