Murid sekolah rendah bakal berpeluang belajar asas AI menerusi mata pelajaran Teknologi dan Digital apabila Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan Kurikulum Persekolahan 2027.
Pendedahan awal ini bertujuan membantu murid memahami penggunaan kecerdasan buatan (AI) dengan selamat, beretika dan bijak menilai maklumat yang diperoleh.
Baca juga: Isi Rumah Berpendapatan RM750 Hingga RM5000 Layak Mohon Rumah Mesra Rakyat, Jangan Terlambat!
BELAJAR ASAS AI BERMULA DI SEKOLAH RENDAH TAHUN 2027

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pendedahan asas AI akan dimasukkan dalam mata pelajaran Teknologi dan Digital di peringkat sekolah rendah, manakala pembelajarannya akan diperkukuh menerusi mata pelajaran berkaitan di sekolah menengah.
Menurutnya, pendedahan tersebut bukan sekadar membolehkan murid menggunakan teknologi AI, malah membantu mereka membina kemahiran berfikir secara kritis ketika berhadapan dengan maklumat yang dijana teknologi berkenaan.
Menerusi penggunaan AI, murid akan dididik untuk menyemak kesahihan fakta, mempersoalkan jawapan yang meragukan serta membuat pertimbangan sewajarnya sebelum menerima sesuatu maklumat.
“KPM sedang menggerakkan usaha melalui kurikulum, latihan guru, kemudahan digital dan pembangunan bakat murid.
“Anak-anak diberikan pendedahan awal tentang AI ini, tetapi mesti dipandu dan diberikan pedoman dalam konteks bahawa menggunakan AI itu dengan selamat dan juga beretika,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Merbok, Mohd. Nazri Abu Hassan (PN) mengenai perancangan KPM untuk menerapkan literasi AI dalam silibus persekolahan menerusi Panduan Literasi AI.
Lebih 329,000 guru sudah menerima latihan berkaitan AI

Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan bahawa pelaksanaan penggunaan AI dalam sistem pendidikan perlu disokong dengan persediaan menyeluruh, termasuk dari aspek latihan tenaga pengajar dan kemudahan digital.
Jelasnya, usaha mengintegrasikan teknologi berkenaan akan dilaksanakan secara tersusun dengan mengambil kira Panduan Literasi AI KPM, Rancangan Pendidikan Malaysia serta pelaksanaan kurikulum baharu.
Beliau turut memaklumkan seramai 329,414 guru telah selesai mengikuti latihan, manakala jumlah murid yang menerima pendedahan berkaitan AI sudah mencecah 1.5 juta orang.
“Guru juga kita tidak boleh dibiarkan menghadapi perubahan ini tanpa persediaan. Jadi ketika ini, kita sudah pun selesai dalam konteks memastikan bahawa latihan diberikan kepada mereka, telah melibatkan 329,414 guru, manakala murid telah mencecah 1.5 juta.
“Ini penting kerana anak-anak diberikan pendedahan melalui pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pengaturcaraan, robotik dan juga inovasi digital,” katanya.
Usaha berkenaan turut merangkumi pendedahan menerusi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pengaturcaraan, robotik serta inovasi digital bagi membangunkan bakat murid dalam bidang teknologi.
Baca juga: “Ini Sahih”- Buku Teks Digunakan Daiyan Trisha Ketika Tingkatan 5 Viral, Warganet Kongsi Reaksi Lucu
Sumber: Kosmo
