Seorang murid lelaki berusia 11 tahun mengalami kecederaan parah selepas dilanggar kereta ketika melintas di laluan pejalan kaki di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah.
Kejadian yang berlaku pada jam 6.10 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan di kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mangsa kini dirawat di Zon Merah, Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.
Baca juga: Bayi 10 Bulan Meninggal Dunia Sebelum Tiba Di Klinik, Pengasuh Ditahan Bantu Siasatan
MURID 11 TAHUN DILANGGAR KERETA DI HADAPAN SEKOLAH

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 69 tahun dari arah pekan Manggatal.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa sedang melintas jalan menggunakan laluan pejalan kaki dari arah kanan ke kiri.
Bagaimanapun, jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu terbabit tidak sempat mengelak sebelum melanggar murid berkenaan di lorong kanan jalan.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Shahrudin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian berkenaan turut tular di media sosial.
Baca juga: Tendang & Jentik Anak Dalam Lif Kerana Berebut Stroller, Rakaman CCTV Cetus Kemarahan Warganet
Sumber: Berita Harian
