Penduduk di beberapa kampung dan kawasan perumahan di daerah Jerantut, Pahang, dilanda kebimbangan susulan kejadian ketukan pintu rumah yang berlaku secara tiba-tiba sejak awal pagi Khamis lalu.
Gangguan yang dilaporkan berulang kali itu dipercayai berlaku sekitar jam 1.30 pagi, membabitkan sekurang-kurangnya 20 rumah di sekitar Kampung Sajang (Simpang Tebing Tinggi) dan Perias.
Baca juga: Khairul Aming Umum Sistem Tempahan Baharu Rembayung! 20,000 Pelanggan Dah ‘Lock’ Untuk Sebulan
MISTERI KETUKAN PINTU RUMAH DI JERANTUT

Seorang penduduk terjejas, Safarudin Yusof, 59, dari Kampung Sajang berkata, kejadian berkenaan berlaku tanpa diduga sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan ahli keluarganya serta penduduk lain.
Lebih menghairankan, perkongsian penduduk di media sosial dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kediaman masing-masing turut menimbulkan persoalan apabila tiada individu kelihatan berada di luar rumah ketika pemeriksaan dilakukan.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada kejadian tidak diingini, kecederaan atau kehilangan harta benda dilaporkan berlaku di kawasan terjejas,” katanya.
Sementara itu, penduduk Taman Temin Utama, Rosmaidi Sulaiman berkata, kejadian ketukan pintu tanpa kehadiran individu yang dikenal pasti bukan sesuatu yang asing.
Menurutnya, insiden seumpama itu pernah dilaporkan berlaku di beberapa daerah di Pahang dan negeri berhampiran sebelum ini.
Katanya, kejadian berkenaan sering mengundang pelbagai andaian, termasuk kemungkinan ia dilakukan oleh individu yang berniat melakukan khianat atau sekadar ingin mengganggu ketenteraman penduduk.

Sekadar gambar hiasan
Polis nasihat penduduk jangan buka pintu
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Noor Azman Yusof menasihatkan penduduk supaya meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan diri serta kediaman masing-masing.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuka pintu rumah tanpa terlebih dahulu memastikan identiti individu yang berada di luar.
Penduduk juga disaran memastikan semua pintu dan tingkap dikunci dengan baik, selain memasang lampu keselamatan di kawasan kediaman.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak keluar bersendirian untuk memeriksa keadaan mencurigakan dan tidak menyebarkan maklumat belum disahkan di media sosial.
Jika berlaku gangguan atau terlihat individu mencurigakan, orang ramai diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut menerusi talian 09-2662222 atau Bilik Gerakan di talian 09-2661999.
Baca juga: Air Dalam Baldi Dah Hitam Selepas Mop Satu Rumah, Masih Dikira Suci Atau Sudah Bernajis?
Sumber: Berita Harian & Threads Yana
