Asuh

Kalau Mahu Anak Lelaki Jadi ‘Gentleman’, Peluklah Mereka Selalu

855
reads

“Haikal, mari sini. Kenapa menangis tu? Alahai, sayang dia. Mari peluk Mama ya…”

Ketika anak lelaki masih bayi, ibu bapa menganggap mereka sama saja dengan anak perempuan. Cuma apabila mereka semakin membesar, secara semulajadinya mungkin anak perempuan nampak lebih manja dan suka dipeluk. Tapi sebenarnya, tidak kiralah anak itu perempuan atau lelaki, mereka tetap memerlukan perhatian dan pelukan daripada ibu mahupun bapa.

Bukan itu saja, terdapat beberapa pendapat dan kajian yang mendapati bahawa ada sebab mengapa anak lelaki perlu kerap dipeluk, sekalipun ada antara mereka ‘malu’ apabila ibu bapa berbuat demikian.

5 Sebab Anak Lelaki Kita Perlu Lebih Kerap Dipeluk

Berikut adalah manfaat pelukan bagi anak lelaki yang ibu bapa perlu tahu.

1. Kajian Menunjukkan Anak Lelaki Perlu Lebih Kerap Dipeluk

Puan Noor Afidah Abu Bakar melalui Parent Connect menggesa ibu dan ayah agar teruskan memeluk anak lelaki apabila mereka meningkat remaja kerana kajian School of Sociology, Social Policy and Social Work, Queens University, Belfast mendapati anak lelaki perlu dipeluk 2-3  lebih kerap berbanding anak perempuan untuk menghasilkan paras hormon oksitoksin yang sama.

Hormon oksitoksin yang juga dikenali sebagai the bonding hormone kerana ia mengeratkan lagi sesebuah hubungan. Apabila berlakunya pelukan, sel saraf pada tubuh akan memberi isyarat kepada otak untuk berada dalam keadaan relaks. Dalam keadaan sebegini, berlakunya attachment dan hubungan antara mereka menjadi lebih erat.

aktiviti untuk anak di rumah

Foto Kredit: quietrev.com

2. Ia Mengawal Sifat Agresif

Sekiranya ibu bapa menunjukkan reaksi tidak selesa atau rimas apabila dipeluk, lama-kelamaan mereka akan berhenti dan menganggap ianya sebagai perbuatan yang tidak wajar. Walaubagaimanapun, anak ini tidak menyedari bahawa sebenarnya mereka tetap memerlukan sentuhan fizikal tersebut, seperti yang dinyatakan dalam Psychology Today. Jika keperluan fizikal ini tidak dipenuhi melalui pelukan, mereka mungkin akan mendapatkannya melalui perlakuan agresif seperti memukul, menumbuk, dan sebagainya.

Anak lelaki yang agresif jika sering dipeluk juga akan menjadi lebih tenang, kelihatan lebih matang, tidak panas baran, dan mampu bertindak rasional.

pengalaman mengandung anak kedua

Foto Kredit: mamaetagarela.com

3. Kesan Positif Kepada IQ Anak

Men’s Health turut menekankan cara bonding yang paling baik untuk hubungan bapa – anak lelaki adalah melalui pelukan. Ia bukan saja memberi kesan positif kepada kesihatan diri dan emosi, tetapi juga kepada perkembangan IQ kanak-kanak lelaki.

Kajian dari Washington University School of Medicine mendapati bahawa IQ kanak-kanak lelaki semakin tinggi skornya dan otak mereka kelihatan lebih besar apabila sering dipeluk.

www.brainbalancecenters.com

4. Penting Untuk Persediaan Emosi Semasa Remaja

Apabila anak lelaki meningkat usia remaja, ramai yang mula berasa ‘malu’ untuk dipeluk ibu bapa kerana dianggap ‘manja’ dan kurang ‘hero’. Semua tanggapan ini tidak sepatutnya mempengaruhi ibu bapa dalam menunjukkan kasih sayang kepada anak.

Menurut pakar psikologi, pelukan demi pelukan akan memainkan peranan penting dalam perkembangan emosi anak lelaki. Jika keperluan emosi dan fizikal anak lelaki ini sering ditahan-tahan, sampai satu masa ia akan ‘meletus’ dan sukar dikawal. Tambah beliau, ini merupakan salah satu sebab mengapa remaja lelaki begitu mudah terlibat dengan masalah sosial apabila berkawan dengan perempuan. Malah, mereka juga lebih mudah kecewa dan frust ‘menonggeng’ apabila putus cinta berbanding wanita.

ego lelaki

Foto Kredit: usefullink.info

5. Percayalah, Anda Juga Memerlukannya!

Pelukan yang erat akan meningkatkan aras hormon serotonin dalam badan yang menaikkan paras kegembiraan. Kesannya, bukan anak-anak saja akan berasa ceria dan aktif tetapi ibu bapa juga boleh mengurangkan stres, berfikiran lebih positif, dan tidak mudah meradang.

Tanpa mengira usia, tanpa mengenal jantina, pelukan adalah sejenis keperluan yang amat mustahak bagi setiap manusia yang bernyawa. Sesetengah bapa mungkin berasa kekok untuk selalu memeluk anak-anak, terutamanya anak lelaki. Tetapi, terlalu banyak manfaatnya yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik dan psikologi. Jadi, berusahalah untuk memenuhi keperluan fizikal ini dan lakukannya secara berperingkat jika anda terasa susah untuk memulakannya.

manfaat pelukan

Foto Kredit: dnatesting.com

Pelukan Ibu Bapa Amat Bermakna

Benar, sekalipun anak lelaki anda sering dipeluk semasa kecil, sampai satu masa mereka mungkin akan melalui fasa di mana mereka tidak mahu lagi dipeluk. Jika ianya berlaku, ahli psikologi menasihatkan agar ibu bapa tidak terus mengalah dan membiarkan anak lelaki mereka ‘menjadi lelaki’.

Sebaliknya, keperluan fizikal ini mungkin boleh diisi dengan sentuhan positif seperti menepuk belakang mereka, mengusap kepala, perbualan hati ke hati, serta eye contact yang secukupnya. Dengan sokongan ini, anak lelaki akan melepasi fasa peralihan dan berasa lebih konfiden dengan diri mereka. Akhirnya, sifat kelelakian dan gentleman akan terserlah dengan sendirinya.

Yang Popular

To Top