Nur

Makan Ayam Tidak Sah Sembelihan Tanpa Sengaja Bukan Satu Dosa – Mufti Pulau Pinang

AYAM TIDAK SEMBELIH

Pendedahan mengenai rampasan kira-kira 6.5 tan ayam tidak sembelih mengikut hukum syarak baru-baru ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna Islam.

Lebih merisaukan, ayam berkenaan mati ketika melalui proses rendaman air panas sebelum disembelih, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status halal daging yang mungkin sudah dibeli dan dimakan orang ramai sebelum ini.

Baca juga: Air Dalam Baldi Dah Hitam Selepas Mop Satu Rumah, Masih Dikira Suci Atau Sudah Bernajis?

AYAM TIDAK SEMBELIH TAK BERDOSA MAKAN JIKA ……

AYAM TIDAK SEMBELIH

Bagaimanapun, umat Islam yang pernah memakan ayam terbabit tanpa mengetahui status sebenarnya tidak perlu berasa bersalah atau bimbang ibadah yang dilakukan selama ini tidak diterima.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan bahawa seseorang tidak menanggung dosa sekiranya memakan makanan yang tidak halal dalam keadaan tidak mengetahui perkara sebenar atau berlaku tanpa disengajakan.

Jelasnya, individu terbabit juga tidak perlu melakukan sebarang bayaran kaffarah, menggantikan makanan yang telah dimakan atau melaksanakan amalan khusus untuk membersihkan diri.

Malah, pengalaman tersebut tidak bermaksud seluruh tubuh seseorang menjadi haram atau ibadah yang pernah dilakukan sebelum ini terbatal.

“Namun, selepas mengetahui dan mendapat pengesahan sesuatu bekalan ayam tidak halal, umat Islam wajib berhenti daripada memakannya.

“Pada masa sama, masyarakat tidak seharusnya terus membuat kesimpulan semua ayam yang pernah diproses premis itu sepanjang tempoh operasinya adalah bangkai.

“Perkara itu perlu dibuktikan menerusi siasatan pihak berkuasa dan masyarakat juga diingatkan supaya tidak terlalu was-was terhadap makanan yang sudah dimakan pada masa lalu,“ jelasnya.

Ayam mati sebelum disembelih dikategorikan sebagai bangkai

AYAM TIDAK SEMBELIH

Menurut Mohd Sukki, Islam tidak meletakkan tanggungjawab kepada seseorang untuk menyemak semula setiap makanan yang pernah dimakan, khususnya jika pembelian dibuat daripada sumber yang pada zahirnya diyakini halal.

Sekiranya haiwan tersebut sudah mati sebelum disembelih, sama ada disebabkan rendaman air panas atau renjatan elektrik, dagingnya dikategorikan sebagai bangkai dan tidak boleh dimakan.

Proses memotong leher ayam selepas haiwan itu mati juga tidak mengubah status daging berkenaan menjadi halal. Perkara ini turut dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat ketiga yang menyatakan larangan memakan bangkai, darah dan daging babi.

Dalam pada itu, Mohd Sukki mengingatkan masyarakat supaya mengambil iktibar daripada kejadian tersebut dengan memberikan perhatian lebih terhadap sumber makanan yang dibeli, terutama ayam dan daging.

Beliau turut menyarankan pengguna mengutamakan pembekal yang mempunyai pensijilan halal yang masih sah serta dapat memberikan maklumat jelas mengenai sumber bekalan mereka.

Pengguna juga tidak sepatutnya membuat andaian bahawa sesuatu makanan semestinya halal hanya kerana peniaga atau pemilik premis beragama Islam.

Baca juga: Tendang & Jentik Anak Dalam Lif Kerana Berebut Stroller, Rakaman CCTV Cetus Kemarahan Warganet

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×