Asuh

10 Jenis Permainan Yang Akan Buat Anak Anda Bijak & Aktif

838
SHARES

“Hari ni dapat bonus, nak belikan mainan untuk Aishahlah, sesekali buat surprise untuk dia. Tapi banyak betul mainan kat sini, rambang mata dibuatnya. Mainan apa yang bagus untuk dia agaknya ya?”

Naluri anak kecil memang sukakan mainan. Pantang ke kedai, mesti anak-anak akan minta untuk pergi ke seksyen mainan. Bagi sesetengah mereka, dapat tengok saja pun jadilah.

Sebagai ibu bapa, sebenarnya kita boleh menjadikan mainan sebagai alat untuk mengasah kemahiran anak-anak di samping meneroka bakat terpendam mereka. Permainan yang baik bukan sekadar menyeronokkan, tetapi ia juga mampu memberi manfaat sepanjang hayat serta mengukir memori indah.

Memilih mainan yang baik tak semestinya mahal dan baru. Ada juga permainan murah dan klasik yang masih relevan serta tetap mempunyai nilai tertentu – melebihi daripada apa yang kita fikirkan.

10 Mainan Klasik Yang Terbaik Untuk Anak Anda, Menurut Kata Pakar

Beberapa jenis mainan klasik sebenarnya telah terbukti sebagai mainan yang baik kerana ia bertahan sehingga ke hari ini. Walaupun kita sudah melangkah jauh dalam dunia moden, namun ia masih sangat relevan. Antara mainan ini mungkin pernah kita lihat atau mainkan di zaman kecil kita dulu.

Salah seorang Pakar Pendidikan di The Goddard School Educational Advisory, Lee Scott berpendapat bahawa mainan sebeginilah yang membuatkan anak-anak lebih kreatif, belajar menggunakan kemahiran sambil bermain, dan paling penting – dapat turut berseronok. Permainan yang baik juga bukan sekadar cantik dipamerkan sebagai perhiasan, malah tidak akan ‘terperam’ lama di dalam kotak mainan anak-anak.

1. Blok Binaan

Blok binaan adalah sumber inovasi yang mampu mengembangkan kemahiran kejuruteraan dan pemikiran kritikal. Tidak kiralah sama ada blok binaan kayu atau blok yang boleh dicantum-cantumkan seperti Lego, kedua-duanya memberi ruang yang luas untuk si kecil berimaginasi.

permainan pintar lego anak

Foto Kredit: konkero.com.br

2. Board Games

Board Games atau permainan papan seperti dam haji, ular tangga, Monopoly atau yang lebih moden seperti UNO adalah permainan yang sangat menghiburkan. Lagi ramai yang main, lagi meriah dibuatnya.

Apa yang mungkin kita tak perasan, permainan ini sebenarnya menggalakkan anak-anak belajar menunggu giliran, mengira, dan memperkayakan kosa kata. Permainan seperti ini juga membantu anak belajar berkomunikasi serta berunding dengan baik dalam kumpulan. Biasalah, kalau main macam ni mesti ada drama!

3. Puzzle

Bagi ibu bapa yang inginkan sedikit quiet time, permainan seperti puzzle adalah pilihan yang terbaik. Di samping mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah, puzzle juga boleh membina konsentrasi serta membantu pembentukan self-regulation.

Seeloknya mainkan puzzle yang ‘sebenar’ dan bukannya yang maya di dalam tablet atau Ipad. Ini kerana, kemahiran motor halus anak-anak juga boleh dipertingkatkan.

Foto Kredit: istockphoto.com

4. Bola

Kita semua tahu betapa kanak-kanak zaman sekarang perlu lebih banyak bergerak dan menghirup udara luar. Jadi, jangan bosan membelikan anak bola. Ada banyak jenis dan saiz bola yang boleh dibeli dan dimainkan bersama.

Anak kecil boleh berlatih menendang, melempar, melantunkan bola, dan menangkapnya. Semua ini sangat baik untuk perkembangan fizikal mereka.

Foto Kredit : thalitacampedelli.com.br

5. Tali Skipping

Sama seperti bola, tali skipping juga akan memberi banyak manfaat kepada kesihatan serta perkembangan fizikal anak-anak. Selain itu, mereka juga dapat belajar mengimbangkan badan dan meningkatkan lagi kemahiran motor kasar.

Kalau dulu-dulu kita main lompat getah saja. Memang seronok dan lebih mencabar sebab ada banyak level nak kena lepas. Siap ada lagu atau sebutan juga yang perlu kita sebut masa nak lompat tu, kan?

Foto Kredit: shutterstock.com

6. Tanah Liat / Plastisin

Nama moden bagi mainan ini yang lebih dikenali oleh anak-anak adalah play dough. Sambil mencipta bentuk-bentuk menarik dan mengkombinasikan warna tanah liat, mereka akan mempelajari begitu banyak perkara sama ada secara logik mahupun artistik.

Tahukah anda, dengan memicit-micit play dough juga anak-anak boleh menghilangkan stres dan belajar mengekspresikan diri mereka dengan lebih positif. Tak hairanlah, ada yang menjadikan play dough ini sebagai bahan terapi minda.

Apa yang menarik, anda boleh buat sendiri play dough ini dengan hanya menggunakan bahan-bahan biasa di rumah. Nak tahu caranya, boleh semak artikel penuh kami di SINI.

Foto Kredit: shutterstock.com

7. Alat Muzik

Tak kiralah walaupun dengan alat muzik yang ‘olok-olok’, di situlah bermulanya minat anak terhadap muzik. Banyak alat muzik yang boleh dimainkan oleh anak kecil dengan mudah seperti tamborin, marakas, xylophone, harmonika, organ, flute, dram, ataupun gitar / ukulele.

Dah banyak kajian yang mengaitkan muzik dengan 1001 manfaatnya kepada si kecil, terutamanya kepada perkembangan otak. Tindakan ini juga boleh dilihat sebagai usaha mengasah bakat anak dari kecil.

8. Basikal, Skuter, Atau Kasut Roda

Semua permainan yang menggunakan kekuatan kaki untuk bergerak adalah sangat bagus untuk kanak-kanak.

Ia juga menggalakkan outdoor play di samping melatih keseimbangan badan. Daripada main game depan TV dan tablet, lebih baiklah keluarkan peluh, kan?

Foto Kredit: amazon.co.jp

9. Shape Sorter

Sebuah permainan simple ini sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat kepada anak kecil anda.

Bagi bayi 6-15 bulan, mereka dapat melatih kemahiran motor halus dan koordinasi tangan-mata. Anak kecil bawah 3 tahun pula akan belajar mengenal pasti bentuk dan warna, menyelesaikan masalah, serta memahami sebab dan akibat. Bagi anak-anak yang lebih besar, permainan ini turut membantu mereka menetapkan matlamat serta meningkatkan keyakinan diri.

permainan pintar

10. Main Masak-masak

Mainan masak-masak sebenarnya adalah sebahagian daripada pretend play, iaitu aktiviti ‘meniru’ gaya orang dewasa. Permainan seperti ini bukan saja menjadikan anak-anak lebih peka terhadap persekitaran mereka, tetapi ia juga menggalakkan imaginasi dan kreativiti.

Selain masak-masak, si kecil juga boleh bermain macam-macam lagi permainan pretend play dengan permainan set make-up, toolbox, dan doktor. Sesekali mak dan ayah pun kenalah turut berlakon sama ya!

Foto Kredit: walmart.com

Tak Perlu Mahal-mahal, DIY Pun Boleh!

Mainan terbaik untuk anak tak semestinya yang paling mahal. Bahkan, ia mungkin lebih seronok jika dibuat sendiri di rumah dengan DIY saja.

Yang PALING penting, ibu bapa mesti meluangkan sedikit masa berkualiti untuk bermain dengan mereka!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×