Insiden lelaki pukul wanita di sebuah pusat beli-belah di ibu negara mencetuskan perhatian ramai selepas video pertengkaran antara seorang lelaki dan wanita berbaju kuning tular di media sosial.
Namun, kejadian itu dipercayai mempunyai cerita di sebaliknya apabila lelaki berkenaan mendakwa dua anaknya terlebih dahulu menjadi mangsa kekasaran wanita terbabit.
Baca juga: Ayah Cipta Alat Bantu Makan Khas Untuk Anak Hidap Penyakit ‘Rare’, Mahu Lihat Si Kecil Berdikari
TULAR VIDEO LELAKI PUKUL WANITA, INI CERITA SEBENAR

Insiden berkenaan menjadi tular selepas satu rakaman video berdurasi 35 saat memaparkan pertengkaran antara seorang lelaki dipercayai bapa kepada kanak-kanak terbabit dengan seorang wanita berbaju kuning tersebar di platform Threads dan Facebook.
Perkongsian video itu mengundang pelbagai reaksi warganet, malah beberapa individu turut tampil berkongsi dakwaan berkaitan kejadian berkenaan.
Menurut satu tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsikan seorang individu, rakannya yang merupakan bapa kepada kanak-kanak terbabit mendakwa wanita berkenaan terlebih dahulu menolak anak lelakinya sehingga terjatuh.
Wanita sama turut didakwa menampar anak perempuannya dalam kejadian tersebut. Malah, seorang lagi individu mendakwa rakannya juga pernah menjadi mangsa tamparan wanita berkenaan tanpa sebab yang jelas.
Difahamkan, pihak yang terlibat turut mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan premis susulan insiden itu.
Mengulas lanjut, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, polis menerima laporan rasmi daripada bapa kepada kanak-kanak terbabit, seorang lelaki berusia 36 tahun, pada jam 7.39 malam selepas mengesan rakaman video berkenaan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang

Berdasarkan laporan yang diterima, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang ketika lelaki itu sedang berjalan bersama dua anaknya yang masing-masing berusia dua dan tujuh tahun.
Dalam kejadian itu, seorang wanita tidak dikenali didakwa secara tiba-tiba menolak anak lelakinya dari arah belakang sehingga terjatuh.
Wanita berkenaan juga didakwa memukul bahagian belakang kepala anak perempuannya. Ahmad Azwan berkata, pihak polis memandang serius dakwaan tersebut dan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan.
Individu yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau IPD Dang Wangi menerusi 03-2600 2222.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Baca juga: Makan Ayam Tidak Sah Sembelihan Tanpa Sengaja Bukan Satu Dosa – Mufti Pulau Pinang
Sumber: Harian Metro & Miyyoazlan
