Sihat

Wanita 55 Tahun Tiba-tiba Alami ‘Haid’ & Keluar Seketul ‘Isi’, Dr Kata Ini Puncanya

26
SHARES

Rasa pelik tak kalau seorang wanita yang dah putus haid tiba-tiba mengalami pendarahan dan sampai ada darah ketul yang besar macam dalam gambar tu?

Nak kata keguguran pun bukan, sebabnya suami pesakit ini dah 5 tahun meninggal dunia.

Rupanya inilah angkara produk kesihatan dalaman wanita yang dikatakan boleh membersihkan ‘kotoran’ dalaman.

Ramai antara kita mungkin sering terbaca iklan tentang jus kesihatan dalaman wanita yang sering didapati di media sosial. Katanya menggunakan bahan semulajadi, banyak testimoni dan sebagainya.

Tahukah anda, kebanyakan produk yang berada di pasaran mungkin tidak berdaftar dengan KKM dan boleh membahayakan pengguna.

Dalam sebuah posting, Dr Anna Liza Roslani, Pakar Obstetrik & Ginekologi menceritakan kisah beliau berhadapan dengan seorang pesakit yang mengalami kesan sampingan akibat mengamalkan minuman kesihatan ini.

Jom kita ikuti perkongsian beliau sepenuhnya di bawah ini:

Wanita 55 Tahun Tiba-tiba Alami ‘Haid’ & Keluar Seketul ‘Isi’

Seorang wanita berumur 55 tahun berjumpa dengan doktor. Setelah setahun dia tidak datang haid, tiba-tiba dia mengalami ‘haid’ dan kemudiannya keluar seketul ‘isi’ berukuran 5X4cm bersama darah. “Tak mungkinlah saya hamil/gugur doktor… suami saya dah 5 tahun meninggal.”

Doktor membelek ‘isi’ yang dibawa oleh wanita itu. Hanya dengan ‘membelek’ isi itu, adalah agak mustahil untuk doktor pastikan apakah ‘isi’.

Oleh itu, doktor menghantar ‘isi’ itu ke doktor di makmal histopatologi untuk pemeriksaan di bawah mikroskop.

Tetapi, antara kemungkinan- kemungkinannya, ‘isi’ itu ialah:

  1. Kanser endometrium (selaput dinding rahim)
  2. Kanser choriocarcinoma (kanser berkait dengan kandungan anggur di masa yang lalu) atau ‘persistant gestational trophoblastic disease’.
  3. Decidual cast – penebalan selaput dinding rahim yang disebabkan oleh ‘hormon tidak seimbang’. Kondisi ini jarang berlaku kepada wanita yang diambang menopos. Biasanya ia berlaku kepada wanita muda yang obes dan mempunyai  PCOS.
  4. Pedunculated submucosal fibroid – jenis fibroid yang tumbuh di dalam rongga rahim (bukan di dinding rahim)

Akhirnya Persoalan Terjawab

Seminggu berlalu. Akhirnya persoalan terjawab dengan laporan daripada makmal histopatologi.

‘Isi’ itu adalah ‘decidual cast’ (no 3 dalam senarai di atas).

Aneh! Seorang wanita yang sepatutnya sudah menopos, mengalami penebalan selaput dinding rahim! Wanita itu diberitahu diagnosis itu. Dia bersyukur….. bukan kanser!

Apabila ditanya dengan lebih lanjut oleh doktor, wanita itu menceritakan dia telah mengamalkan minuman produk kesihatan untuk 4 bulan.

Katanya, agen yang menjual produk itu mengatakan produk itu bagus untuk ‘dalaman wanita’ untuk kekal muda & sihat.

Kononnya Produk Ini Baik Kerana Boleh Keluarkan Kotoran Dari Rahim

Apabila wanita itu menceritakan tentang ‘isi’ itu kepada agen itu, agen itu mengatakan, ‘Itulah kebaikan produk itu. Ia akan mengeluarkan semua kekotoran daripada rahim.’

Kononnya decidual cast itu adalah kotoran rahim. Konon!

Sebenarnya, doktor mengesyaki produk itu mengandungi hormon. Hormon itu telah merangsangkan pertumbuhan selaput dinding rahim yang luar biasa. Sepatutnya, wanita menopos sudah tiada selaput dinding rahim.

Jika pengambilan hormon itu berterusan, ada kemungkinan selaput dinding rahim itu berubah menjadi kanser selaput dinding rahim (endometrium)!!!

Nampak tak bagaimana agen ‘produk kesihatan’ akan ‘spin’ (pusing/putar) fakta untuk melepaskan diri dan menipu orang?

Berhenti Ambil Produk Sebarangan, Boleh Bahayakan Nyawa!

Jangan memudaratkan diri dengan mengambil produk yang tidak dikaji dan diiktiraf oleh badan perubatan!

PS. Ironinya, bila berkait dengan vaksin Covid, ramai yang meminta bukti tentang keselamatannya. Tetapi bila membeli ‘produk kesihatan’, kata-kata manis seorang agen sudah memadai untuk meyakinkan anda.

*Sumber:

Dr Anna Liza Roslani
Pakar Obstetrik & Ginekologi

To Top
SKIP THIS AD ×