Kes Zaharif Affendi kembali menjadi perhatian selepas keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie tampil berkongsi luahan hati susulan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak, selepas pertuduhan membunuh dipinda kepada pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat.
Baca juga: Terlepas Hukuman Mati, Pegawai Polis Dipenjara 7 Tahun 6 Bulan Kes Langgar Pelajar Hingga Maut
KES ZAHARIF AFFENDI, KELUARGA TERIMA KEPUTUSAN MAHKAMAH

Menerusi satu kenyataan, keluarga Allahyarham memaklumkan bahawa mereka memilih untuk menerima ketentuan tersebut dengan hati terbuka serta reda terhadap keputusan yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
Menurut keluarga, mereka memahami bahawa hukuman berkenaan mungkin dianggap terlalu ringan oleh sesetengah pihak. Bagaimanapun, mereka percaya bahawa setiap perbuatan mempunyai perhitungan di sisi Allah SWT.
“Pada sesetengah orang mungkin dirasakan hukuman ini terlalu ringan, akan tetapi kami percaya kifarah Allah itu wujud. Mungkin di sini hukumannya ringan, di akhirat kelak menjawablah dengan Yang Maha Esa,” luahnya.
Dalam kenyataan sama, keluarga Allahyarham menegaskan bahawa penerimaan mereka terhadap keputusan mahkamah bukan bermaksud mereka menyimpan dendam atau melupakan tragedi yang telah berlaku.
Sebaliknya, mereka memilih untuk berdamai dengan ketentuan takdir demi memperoleh ketenangan hati dan meneruskan kehidupan.
Keluarga turut menyatakan bahawa mereka menerima qada dan qadar Allah SWT serta berharap agar kejadian seumpama itu tidak menimpa keluarga lain pada masa hadapan.
Mereka juga berharap kes berkenaan dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tragedi yang sama tidak berulang.
Hargai semua pihak yang membantu
Pada masa sama, keluarga Allahyarham merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan mendoakan mereka sepanjang melalui ujian berkenaan.
Penghargaan turut ditujukan kepada hakim, pihak pendakwaan, pasukan guaman yang mewakili keluarga serta semua saksi yang tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Keluarga secara khusus menyebut pelajar-pelajar yang tampil sebagai saksi dan membantu proses siasatan kes berkenaan.
Mengakhiri kenyataan itu, keluarga mendoakan agar Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi ditempatkan dalam keadaan tenang dan damai, selain menzahirkan harapan untuk bertemu semula dengannya pada suatu masa nanti.
“Semoga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi tenang dan damai di sana. Insya-Allah kita bertemu lagi di suatu masa nanti. Al-Fatihah,” tulisnya.
View this post on Instagram
Baca juga: “Ini Sahih”- Buku Teks Digunakan Daiyan Trisha Ketika Tingkatan 5 Viral, Warganet Kongsi Reaksi Lucu
Sumber: Instagram fitri_zrl
