Kenduri Rakyat yang berlangsung sempena meraikan Syed Saddiq dan Bella Astillah di Muar, Johor, minggu lalu mencuri perhatian ramai apabila dihadiri lebih 15,000 pengunjung.
Bagaimanapun, satu perkongsian di media sosial oleh Public Health Malaysia menarik perhatian orang ramai apabila membangkitkan beberapa risiko kesihatan dan keselamatan yang perlu diberi perhatian ketika menghadiri majlis berskala besar.
Baca juga: Kerajaan Tak Tolak Kemungkinan Haramkan Waze Sepenuhnya, Mahu Aplikasi Tempatan Jadi Alternatif
KENDURI RAKYAT BASS TERIMA LEBIH 15,000 PENGUNJUNG

Menurut Public Health Malaysia, perhimpunan yang melibatkan ribuan pengunjung mempunyai pelbagai risiko yang mungkin tidak disedari orang ramai, khususnya apabila aspek kesihatan dan keselamatan kurang diberi perhatian.
Antara risiko yang perlu dipertimbangkan ketika menghadiri atau menganjurkan majlis berskala besar termasuk:
1. Keracunan makanan
Makanan yang tercemar berisiko menyebabkan keracunan makanan kepada pengunjung. Jika hidangan yang tercemar dimakan oleh ramai orang, kesannya boleh melibatkan sejumlah besar tetamu dalam satu-satu masa.
2. Strok haba
Pengunjung yang terpaksa beratur lama di bawah cuaca panas berisiko mengalami masalah berkaitan haba, terutama jika kurang minum air atau terlalu lama terdedah kepada panas.
3. Kecemasan melibatkan penyakit kronik
Penghidap penyakit kronik perlu menjaga kesihatan ketika menghadiri majlis yang sesak. Terlupa mengambil ubat, kekurangan air dan keletihan boleh memburukkan keadaan kesihatan mereka.
4. Rempuhan dan himpitan orang ramai
Kehadiran pengunjung yang terlalu ramai dalam ruang terhad boleh meningkatkan risiko rempuhan dan himpitan. Keadaan ini berpotensi menyebabkan kecederaan serta kesukaran bernafas, malah boleh membawa maut.
5. Ambulans sukar memasuki kawasan kejadian
Kesesakan lalu lintas dan laluan yang terhalang boleh menyukarkan ambulans untuk sampai kepada individu yang memerlukan bantuan kecemasan. Dalam situasi kritikal, kelewatan mendapatkan rawatan boleh meningkatkan risiko terhadap keselamatan pesakit.
6. Kanak-kanak hilang dan warga emas terjatuh
Keadaan sesak juga meningkatkan risiko kanak-kanak terpisah daripada keluarga, selain warga emas terjatuh ketika bergerak dalam kalangan pengunjung. Oleh itu, ahli keluarga perlu sentiasa memantau kanak-kanak dan membantu warga emas sepanjang berada di kawasan majlis.

7. Tandas dan kebersihan persekitaran
Jumlah pengunjung yang ramai dengan kemudahan tandas yang terhad boleh menimbulkan masalah kebersihan dan sanitasi. Jika kebersihan tidak dijaga dengan baik, risiko penyebaran penyakit juga boleh meningkat.
8. Kebakaran atau ribut
Kejadian seperti kebakaran atau ribut boleh mencetuskan keadaan panik, terutama apabila ribuan pengunjung cuba meninggalkan kawasan majlis secara serentak.
Justeru, laluan kecemasan yang jelas dan pelan pemindahan yang teratur penting bagi membantu pengunjung keluar dengan selamat sekiranya berlaku kecemasan.
Pengurusan keselamatan penting dalam penganjuran majlis
Public Health Malaysia menegaskan bahawa perkongsian mengenai risiko tersebut bukan bermaksud semua kejadian berkenaan berlaku ketika Kenduri Rakyat di Muar.
Sebaliknya, perkara itu dibangkitkan sebagai peringatan mengenai risiko yang perlu dipertimbangkan apabila sesuatu majlis melibatkan kehadiran orang ramai dalam jumlah yang besar.
Sehubungan itu, pengurusan keselamatan yang terancang serta kehadiran pasukan perubatan amat penting bagi memastikan bantuan dapat diberikan dengan segera sekiranya berlaku kecemasan.
Sumber: Public Health Malaysia
