Inspirasi

Tak Pernah Mengalah Meski 8 Kali Gagal, 3 Beradik Kembar Seiras Akhirnya Bergelar Perajurit!

kembar tiga

Bukan sekali dua berdepan kegagalan, sebaliknya lapan kali permohonan mereka ditolak sebelum impian menjadi kenyataan. Namun, semangat kembar tiga dari Seremban ini tidak pernah luntur apabila akhirnya berjaya bergelar perajurit muda Tentera Darat Malaysia (TDM) pada percubaan kesembilan.

Muhammad Nuriman Mohd Irwan, Muhammad Nuramin dan Muhammad Nurnaim, yang kini berusia 21 tahun, mula mencuba nasib menyertai angkatan tentera pada 2023 selepas menamatkan persekolahan. Bagaimanapun, faktor ketinggian menjadi penghalang apabila mereka masing-masing mempunyai ketinggian 158 sentimeter (cm).

Baca juga: Kayuh Basikal 100km Sebelum Lari 30km, Pak Cik Ariffin Berjaya Tamatkan ‘Ultra Trail’ Dengan Berkaki Ayam!

LAPAN KALI GAGAL, KEMBAR TIGA AKHIRNYA CAPAI CITA-CITA BERGELAR PERAJURIT

kembar tiga

Gambar: BERNAMA

Menurut Muhammad Nuramin, daripada lapan percubaan terdahulu, tujuh melibatkan pemilihan Tentera Darat Malaysia (TDM), manakala satu lagi bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Peluang mereka akhirnya terbuka selepas syarat ketinggian minimum bagi pengambilan perajurit muda TDM pada tahun ini diselaraskan daripada 162 cm kepada 157 cm.

Perubahan itu membolehkan ketiga-tiganya melepasi syarat ketinggian dan berjaya dalam pemilihan pada awal tahun ini.

Mereka kemudian menjalani latihan asas ketenteraan selama enam bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, sebelum menamatkannya pada 17 Oktober lalu bersama-sama 1,485 perajurit muda lain.

Minat Jadi Tentera Bermula Selepas Dengar Cerita Datuk

Di sebalik kesungguhan mengejar cita-cita itu, minat tiga beradik berkenaan terhadap dunia ketenteraan sebenarnya bermula sejak di bangku sekolah rendah.

Muhammad Nuramin berkata, mereka tertarik selepas melihat gambar lama datuk mereka, Ismail Ujang, 80, yang pernah berkhidmat dalam TLDM selama 25 tahun, dari 1964 hingga 1989. Datuk mereka bersara dengan pangkat terakhir Pegawai Waran I.

Pengalaman Ismail ketika berkhidmat, termasuk berdepan ancaman lanun di perairan Lahad Datu, Sabah, ketika bertugas di Labuan, turut menyemarakkan minat mereka terhadap kerjaya ketenteraan.

“Minat tercetus daripada cerita-cerita yang atuk kongsi dengan kami. Bila tengok gambar-gambar lama atuk berseragam putih… dari situ tertarik nak iadi askar.

“Atuk juga sering bercerita pengalamannya sebagai anggota tentera laut termasuk ketika bertempur dengan lanun,” kongsinya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum berjaya menyertai tentera, ketiga-tiganya turut melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur dan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3.

Mereka juga menyertai Askar Wataniah serta mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada tahun lalu bagi membina disiplin, meningkatkan ketahanan fizikal dan mental serta mendapatkan pengalaman awal dalam bidang ketenteraan.

Ibu Bapa Tak Pernah Putus Asa Beri Sokongan

kembar tiga

Gambar: BERNAMA

Perjalanan mereka bukan sahaja menuntut kesabaran daripada tiga beradik itu, malah turut memerlukan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa berada di belakang mereka.

Ibu mereka, Yusnizah Mohd Yusof, 52, berkata dia dan suaminya, Mohd Irwan Ismail, 53, sentiasa menyokong cita-cita anak-anak, termasuk menghantar mereka ke beberapa lokasi pemilihan fizikal di Seremban, Kuala Lumpur dan Pahang meskipun berulang kali gagal.

“Sebelum ini kami banyak habiskan masa untuk mereka, menghantar mereka ke kem-kem terlibat untuk mengejar cita-cita mereka,” katanya yang bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah kementerian.

Pengorbanan itu akhirnya membuahkan hasil apabila ketiga-tiga anak mereka berjaya menamatkan latihan asas dan memulakan perjalanan sebagai anggota tentera.

Wajah Seiras Buat Rakan Dan Jurulatih Keliru

Selain berkongsi cita-cita yang sama, wajah ketiga-tiga beradik itu yang seiras turut mencetuskan situasi lucu sepanjang menjalani latihan.

Rakan-rakan dan jurulatih mereka kadangkala sukar membezakan siapa antara mereka, sekali gus menjadikan persamaan wajah itu antara pengalaman menarik sepanjang berada di pusat latihan.

Namun, kejayaan menamatkan latihan turut membawa cabaran baharu apabila mereka perlu berjauhan buat pertama kali untuk menjalankan tugas di penempatan masing-masing.

Muhammad Nuriman ditempatkan di Ipoh, Perak, Muhammad Nuramin di Kuching, Sarawak, manakala Muhammad Nurnaim di Johor Bahru, Johor.

Walaupun terpaksa membawa haluan berbeza demi tugas, jarak bukan alasan untuk mereka berhenti saling menyokong.

“Ada jugalah rasa sedih, tetapi berjauhan ini bukan penghalang kami bertiga untuk maju ke depan,” kata Muhammad Nurnaim.

Sementara itu, TDM dalam maklum balas bertulis kepada Bernama menjelaskan bahawa pelarasan parameter fizikal bagi pengambilan perajurit muda memberi penekanan kepada kecerdasan tempur dan ketahanan mental, tanpa mengurangkan standard ujian kecergasan jasmani yang ditetapkan.

“Kecekalan tiga beradik itu yang tidak berputus asa meskipun lapan kali gagal turut mencerminkan ketahanan mental yang diperlukan seorang perajurit, selaras dengan proses pemilihan yang ketat serta latihan asas di PUSASDA bagi melahirkan anggota tentera berkualiti,” menurut kenyataan itu.

Kisah tiga beradik ini membuktikan bahawa kegagalan bukan penamat kepada sebuah impian. Dengan usaha berterusan, sokongan keluarga dan kesanggupan memperbaiki diri, peluang untuk mencapai cita-cita tetap terbuka walaupun terpaksa melalui perjalanan yang panjang.

Sumber: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×