Terapi

Menurut Kajian, Ini Kelebihan Bayi Yang Menyerupai Wajah Ayahnya

Percaya atau tidak, bayi yang menyerupai wajah ayah mereka mempunyai satu kelebihan yang unik – berdasarkan sebuah kajian yang diterbitkan melalui  Journal of Health Economics baru-baru ini.

Kajian: Bayi Yang Seiras Wajah Ayah Didapati Lebih Sihat

Sekumpulan pengkaji daripada Binghamton University dan Southern Illinois University telah memfokuskan kajian mereka terhadap 715 buah keluarga yang bermasalah, hampir berpisah, telah bercerai, atau tidak pernah berkahwin – di mana bayi tersebut tinggal bersama ibu masing-masing.

Hasilnya mendapati bahawa bayi yang lebih menyerupai ayah mereka adalah lebih sihat apabila mereka mencapai usia 1 tahun. Tahap kesihatan ini diukur daripada pelbagai aspek, termasuklah penyakit yang dihidapi, berapa kali masuk hospital, dan sebagainya.

Walaupun ia kedengaran seperti tak masuk akal, namun alasannya mungkin tidak begitu mengejutkan anda.

Foto Kredit: fenecie.com

Ayah Lebih Cenderung Meluangkan Masa Dengan Bayi Yang Menyerupai Wajah Mereka

Dalam kajian tersebut, bayi yang seiras wajah ayah dikatakan lebih sihat kerana ayah lebih banyak meluangkan masa dengan mereka. Data menunjukkan bahawa ayah meluangkan kurang 2.5 hari sebulan jika anak tersebut tidak menyerupai mereka.

Perlu diingat bahawa kajian ini menyasarkan kepentingan peranan bapa dalam sesebuah keluarga yang bermasalah atau mengalami perpisahan. Ia membuktikan bahawa karakter seorang bapa adalah faktor yang penting dalam perkembangan fizikal serta pembentukan sahsiah bayi, terutamanya dalam keluarga yang mengalami penceraian atau ibu ayahnya tidak tinggal bersama. Wajah seiras ini juga mampu meyakinkan para ayah bahawa anak tersebut adalah anak mereka.

Realitinya, kita boleh nampak sendiri bahawa ada kes pasangan yang bermasalah atau telah berpisah, seorang bapa tidak mahu bertanggungjawab atas penjagaan anak kerana tidak yakin bahawa anak tersebut adalah anaknya. Ada yang menuduh yang bukan-bukan terhadap si ibu dan tak mahu menerima kenyataan bahawa anak itu adalah miliknya kerana tidak memiliki ciri fizikal yang serupa dengannya.

Foto Kredit: ponila.com

Pentingnya Keseimbangan Peranan Ibu Dan Ayah Dalam Keluarga

Beberapa penyelidikan awal turut menguatkan lagi kenyataan ini di mana pengkaji mendapati bahawa golongan ayah mudah tertarik dengan kanak-kanak yang memiliki wajah seiras dengan mereka, dan secara tidak langsung meluangkan lebih banyak masa dengan mereka.

Apapun, dari sini kita dapat simpulkan bahawa pentingnya mewujudkan keseimbangan peranan antara ibu dan ayah terhadap anak-anak, sekalipun sesebuah pasangan telah berpisah ataupun tidak tinggal bersama.

Secara ringkasnya, apabila ibu dan ayah masing-masing berbagi tugas, ia tentunya akan mendatangkan impak yang positif terhadap perkembangan bayi seluruhnya – tak kiralah sama ada anak tersebut berwajah seiras dengan siapa!

Yang Popular

To Top