Harga emas yang semakin turun memberi peluang kepada peminat barangan kemas untuk menambah koleksi pada harga lebih rendah. Situasi itu turut menyaksikan beberapa kedai emas di sekitar Pasar Siti Khadijah, Kelantan, dipenuhi pengunjung selepas harga emas dilaporkan jatuh kepada RM503 hingga RM504 segram.
Tinjauan Harian Metro mendapati orang ramai mengambil kesempatan membeli emas ketika harganya disifatkan antara yang paling murah setakat ini, berbanding harga sebelum ini yang hampir mencecah RM600 segram.
JATUH RM503 SE GRAM, ORANG RAMAI PAKAT SERBU KEDAI EMAS

Gambar Nik Abdullah Nik Omar: Tinjauan di sekitar Pasar Siti Khadijah mendapati, kebanyakan kedai emas dikunjungi pengunjung dan mereka mengambil kesempatan untuk membeli ketika harga disifatkan paling murah.
Harga emas jatuh, peminat gelang ambil peluang membeli
Seorang pengunjung, Halima Osman, 45, berkata dia tidak menyangka harga emas boleh turun dengan begitu ketara selepas memerhatikan pergerakannya sejak beberapa minggu lalu.
Menurutnya, setiap kali harga emas turun, dia akan mengambil peluang untuk membeli bagi menambah koleksi sedia ada.
“Saya seorang penggemar emas dan sudah beberapa minggu melihat harga makin jatuh dan rasanya ini paling murah apabila RM503 per gram.
“Setiap kali harga turun saya akan mengambil kesempatan untuk membeli bagi menambah koleksi sedia ada.
“Macam hari ini saya membeli gelang memandangkan harga murah. Waktu murah kita membeli, manakala waktu mahal pula kita boleh menjual, barulah ada untung,” katanya.
Halima berkata, pembelian ketika harga lebih rendah memberi peluang kepadanya mendapatkan barangan kemas yang diingini, selain berpotensi menjualnya apabila memerlukan wang pada masa hadapan.
Baca juga: Tips ‘Reapply Makeup’ Selepas Wuduk, Jimat Masa & Wajah Pun Segar!
Bukan gelang sahaja, rantai leher dan gelang kaki turut dibeli
Seorang lagi pengunjung, Nur Ain Abdul Manaf, 30, turut mengambil kesempatan membeli rantai leher dan gelang kaki ketika harga emas menurun.
Katanya, dia sudah lama menjadikan emas sebagai salah satu bentuk simpanan kerana beranggapan pembelian emas perhiasan boleh memberikan manfaat dalam jangka panjang.
“Sejak dulu hingga sekarang saya seorang yang penyimpan emas kerana merasakan tidak rugi apabila melabur dengan membeli emas perhiasan.
“Sekarang harga murah kita beli, mungkin akan datang apabila perlukan duit, kita jual. Alhamdulillah harga rasanya paling rendah setakat ini.
“Apabila harga murah, boleh la kita tambah koleksi sedia ada. Sepanjang saya berada di kedai emas, semua datang untuk membeli, bukannya untuk menjual,” katanya.
Keadaan itu menunjukkan penurunan harga emas menarik perhatian pembeli yang mahu menambah koleksi masing-masing.
Bagaimanapun, harga emas boleh berubah mengikut pasaran dan kadar yang ditawarkan juga berbeza mengikut jenis emas, upah pembuatan serta polisi setiap kedai. Pembeli disarankan menyemak harga semasa dan kos keseluruhan sebelum membuat pembelian.
Sumber: Harian Metro

