Bersalin

Walaupun Mencabar, Ini 7 Sebab Ibu Bertuah Bila Dapat Menyusu Badan

559
SHARES

“Letihnya menyusu badan ni… Tak sangka rupanya mencabar juga. Rasa tak pernah cukup tidur sejak ada baby hari tu.”

Kita mungkin tak pernah tahu bagaimana mencabarnya menjadi ibu yang menyusukan bayi selagi kita belum pernah melakukannya sendiri.

Nampak macam mudah – sambil bayi menyusu, kita pun sama rehat. Tapi, ‘sakitnya’ terasa bila setiap 2-3 jam perlu disiplin mengepam atau menyusukan bayi, tak kiralah siang atau malam. Satu badan terasa sengal. Bila bayi demam, lebih keraplah mereka nak ‘mengempeng’. Puting melecet, luka, bengkak susu, adalah biasa. Sampaikan ada ibu yang demam dan terpaksa menjalani pembedahan akibat mastitis.

Tahukah ibu, walaupun begitu banyak cabarannya, anda sangat bertuah kerana dapat menyusukan bayi. Memang banyak kebaikan susu ibu kepada bayi yang telah dibuktikan secara saintifik. Namun, ia sebenarnya tidak terhenti setakat itu. Ini 7 lagi kelebihan menyusu badan yang dapat memberi manfaat kepada ibu.

7 Keistimewaan Menyusu Badan Kepada Ibu

1. Memulihkan Rahim Dengan Lebih Cepat

Kalau anda perasan, semasa menyusu badan akan terasa sedikit kontraksi pada rahim. Proses menyusu badan tak kiralah waktu siang dan malam selalunya berlaku begitu aktif dan ia sedikit sebanyak akan membantu rahim anda mengecut kepada saiz asalnya dengan lebih cepat secara semulajadi.

Menakjubkan!

2. Dapat Bakar Kalori

Umumnya, penyusuan badan dapat membakar kira-kira 200 hingga 500 kalori setiap hari. Secara tidak langsung, ini membantu ibu untuk mengurangkan berat badan selepas melahirkan bayi.

Kajian menunjukkan ibu yang menyusu badan lebih mudah kembali kepada bentuk badan yang asal berbanding mereka yang tidak menyusukan badan.

Walaubagaimanapun, jangan jadikan ia sebagai alasan untuk kita makan sesuka hati pula ya!

Foto Kredit: weight.sdghealth.com

3. ‘Perancang’ Semulajadi

Menurut penelitian, menyusu badan secara ekslusif mampu membantu menjarakkan kehamilan pada 6 bulan pertama kelahiran.

Tapi jangan salah faham, ia hanya akan berkesan kalau ibu menyusukan bayi secara aktif dan belum datang haid sejak kelahiran. Jika anda perlu menjarakkan kehamilan secara serius atas nasihat doktor, jangan hanya bergantung kepada penyusuan badan sebagai perancang ya.

Pil perancang

Foto Kredit: lifesitenews.com

4. Mengurangkan Risiko Kanser

Kajian menunjukkan bahawa wanita yang menyusu badan kurang terdedah kepada kanser payudara serta kanser ovari.

Ia juga merendahkan kemungkinan untuk kanser terjadi semula selepas proses pemulihan. Teori ini dikaitkan dengan perubahan hormon serta ovulasi, lalu mengurangkan mutasi sel yang menjadi punca kanser.

tanda kanser rahim

Foto Kredit: thelancet.com

5. Mencipta ‘Bonding’ Yang Luarbiasa

Apabila ibu menyusukan bayi, berlakulah perembesan hormon oksitoksin dan prolaktin. Kedua-dua jenis hormon ini membantu ibu berasa lebih relaks dan menyerlahkan lagi sifat keibuan terhadap bayi.

Sebagai bonus, ia turut berfungsi menurunkan paras stres pada ibu, dan sekaligus merendahkan kebarangkalian untuk ibu mengalami masalah tekanan perasaan (postnatal depression) atau ‘meroyan’.

kurang susu badan

Foto Kredit: krokha.ru

6. Mengurangkan Risiko Diabetes Type 2

Menurut artikel dalam Majalah TIME, sebuah lagi kajian pada tahun 2010 membuktikan bahawa proses laktasi didapati mampu melindungi wanita daripada diabetes type 2 kerana sel menjadi lebih sensitif kepada hormon insulin.

Di samping itu, para saintis juga mendapati penyusuan badan mampu memperbaiki metabolisme glukos serta menstabilkan lagi keadaan ibu yang mengalami gestational diabetes sewaktu mengandung.

Tanda kencing manis

7. Menjadikan Ibu Awet Muda

Walaupun kita sering terasa tak cukup tidur macam zombie, tapi sebenarnya ada lagi manfaat jangka masa panjang yang pasti akan membuat ramai wanita teruja – awet muda.

Dengan menyusu badan saja, ia mampu menjadikan wanita awet muda dengan mengurangkan risiko penyakit Alzheimer, penuaan sel, osteoporosis, dan rheumatoid arthritis. Tak perlu pakai produk dan suplemen!

Petua Awet Muda

Banyak Kebaikan Jangka Masa Panjang

Ternyata, kebaikan susu ibu bukan saja tertumpu terhadap khasiatnya kepada bayi, tetapi ia juga memiliki 1001 kelebihan tersendiri kepada ibu.

Maka, anda sebenarnya amat beruntung kerana dapat menyusukan bayi. Anggaplah semua alasan ini sebagai penguat semangat untuk anda meneruskan penyusuan hingga tempoh 2 tahun penuh. Percayalah, ia akan memberi sebuah kenangan yang indah dan tak akan anda lupa. Bila bayi dah nak bercerai susu nanti, kita yang lebih emosional!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×