Percutian

Itinerari Lengkap ‘Percutian Halal’ Kami Ke Hong Kong Selama 4 Hari 3 Malam

Kalau sebut sahaja negara Hong Kong pasti ada di antara korang yang akan terbayang keseronokan berada di Disneyland. Namun, ramai juga sebenarnya tak tahu bahawa negara metropolitan ini mempunyai banyak lagi tarikan menarik yang tak kurang hebatnya. Paling menyedihkan, ramai beranggapan Hong Kong sebuah negara yang tidak mesra dengan pengunjung muslim. Sebenarnya korang silap besar tau!

Baru-baru ini kami diberi peluang untuk mengikuti trip ke Hong Kong bersama Hong Kong Tourism Board (HKTB) selama 4 hari 3 malam. Paling best, pihak HKTB bakal membawa kami jelajah kota HK seperti penduduk tempatan. Yeah!

Media Mega Family ke Hong Kong

Family media dari Malaysia di Disneyland

Untuk trip kali ini, pihak HKTB telah membawa seramai 10 orang media dari Malaysia termasuk kami dari Sirap Limau. Yang penting, segalanya ditanggung penuh oleh pihak HKTB. Terima kasih HKTB! 

Sebelum berangkat, pihak HKTB telah memberikan kami jadual perjalanan sepanjang berada di sana. Seperti budak kecil mendapat coklat, begitulah perasaan teruja kami semua. Tidak dinafikan, jadualnya agak padat memandangkan kami akan berada di sana hanya 4 hari, namun segalanya berbaloi dengan keseronokan yang bakal kami nikmati.

Penerbangan dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) – Hong Kong International Aiport (HKG) mengambil masa lebih kurang 3 jam. Setibanya di sana, kami terus dibawa untuk menikmati makan tengahari di salah sebuah restoran yang terkenal dengan menu nasi itik. Ya, yang penting halal! 

Nasi Itik Wai Kee

Nasi Itik wajib cuba!

4/5 bintang untuk nasi itik yang sedap ini! Tak sama langsung macam dekat Malaysia. Untuk mereka yang tidak makan banyak, elok cuba satu pinggan dulu yer. Kalau habis, baru boleh tambah.

Selepas kenyang menikmati makanan tengahari, kami dibawa pula melawat kawasan sekitar ‘Old Town Central’ dan sekaligus menunaikan solat di salah sebuah Masjid pertama dibina di HK. 

Masjid Jamia

Masih mengekalkan binaan Islamik 

Seronok-seronok juga, jangan dilupakan kewajipan utama kita kepada sang pencipta. Alangkah bertuahnya kami apabila dapat menjejakkan kaki ke masjid pertama dan tertua di Hong Kong yang dibina sekitar tahun 1849. Walaupun struktur bangunan lama, namun masih selesa untuk menunaikan solat fardhu. Perasaan mengerjakan solat di negara orang, lebih-lebih lagi di negara bukan Islam pasti membuatkan korang lebih rasa bersyukur.

Old Town Central

Antara tempat menarik di lorong Old Town Central

Selesai menunaikan solat, kami terus berjalan menyusuri kawasan Old Town Central yang sebenarnya berdekatan sahaja dengan Masjid Jamia. Di kawasan ini, korang dapat melihat banyak hasil seni di dinding-dinding bangunan sekitar. Memang kreatif sungguh. Walaupun hasil seni ini mungkin terdapat banyak di Malaysia namun perasaan melihat seni di negara HK sungguh berbeza. Dengan angin yang nyaman, kepadatan bangunan di sekeliling, pasti korang akan teruja menyusuri lorong lorong di Old Town ini.

Habis sahaja membakar kalori, kami terus dibawa check-in ke hotel penginapan kami di Harbour Grand Hong Kong. Memang mewah habis hotel ini, pemandangan pula menghadap harbour. Fuhh terasa seperti orang kaya bermalam di hotel ini.

Masa untuk berehat

Harbour Grand Hong Kong

Memandangkan kami tidak mempunyai masa yang banyak, kami terus bersiap untuk ke malam Gala Night Dinner anjuran HKTB.

Di majlis makan malam ini, kami dikumpulkan bersama media lain dari Indonesia dan Singapura. Kami diberikan penerangan mengenai tempat lawatan menarik sekitar HK. Kami turut dihidangkan 4 course makanan yang menarik. Yang penting halal. Selepas kenyang menjamu selera, kami terus rehat kebilik. Masing-masing tidak sabar menanti hari esok walaupun dalam kepenatan.

Sky100

Pemandangan dari kaca bangunan Sky100

Seperti biasa, kami bangun seawal 7 pagi pagi dan sempat meluangkan masa bersarapan di hotel sebelum meneruskan perjalanan ke  SKY100. Menerusi menara tinjau di SKY100 ini, pengunjung boleh melihat secara 360 darjah pemandangan Victoria Harbour yang memukau. Tak sabar nak tengok pemandangan bangunan di HK yang sememangnya terkenal dengan kemajuan dan kepadatan penduduknya. 

Paling menarik apabila ianya mengambil masa hanya kurang dari 60 saat untuk sampai ke tingkat 100. Jangan lupa telan air liur saat korang naik ke atas. Untuk rujukan, korang boleh ke layari laman web www.sky100.com.hk

Masjid Kowloon

Masjid Kowloon

Selepas puas menikmati keindahan Victoria Harbour, kami terus menuju ke masjid Kowloon yang terletak di area Tsim Sha Tsui. Kami diberi peluang untuk menemuramah Encik Saeed yang merupakan seorang Pengerusi dalam Komuniti Islam di bandar HK.

Beliau merupakan antara individu yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan sijil halal di negara ini. Selepas diberi penerangan terperinci mengenai komuniti Islam di HK, kami terus langsung menunaikan solat di sini. 

Islamic Centre Canteen

Pelbagai pilihan makanan halal

Seterusnya kami berangkat ke Islamic Centre Canteen untuk menikmati juadah makan tengahari yang lazat. Pelbagai hidangan menarik disediakan termasuklah makanan terkenal negara China iaitu Dim Sum.

Pelbagai menu menarik yang disajikan untuk kami dan semuanya memang sedap! Tidak hairanlah jika restoran ini memang terkenal dalam kalangan orang muslim seluruh dunia. 

HKIYA

Pengerusi Hong Kong Islamic Youth Asscociation (HKIYA)

Di sini juga kami sekali lagi sempat menemuramah Cik Sharifa, yang merupakan Pengerusi Persatuan Pemuda Islam Hong Kong. Pelbagai cerita dan info menarik dikongsikan. Tak sangka HK masih ramai penduduk Islam iaitu dianggarkan seramai 200 ribu orang.

Belum sempat kami legakan perut yang penuh, sekali lagi pihak HKTB membawa kami ke tempat makanan halal. Kali ini, kami menikmati pastri yang terletak di Shun Tak Centre. 

Chrisly Inn

Roti nenas, tart telur

Untuk pengetahuan korang, restoran ini tidak mempunyai sijil halal namun beberapa menu makanan seperti tart telur, roti bun dan kek mempunyai sijil halal.

Walaupun pada awalnya, kami semua agak keberatan untuk makan kerana kekenyangan namun apabila makanan tersedia, kami semua seperti ‘dirasuk hantu’. Tidak lagi hiraukan perut hampir meletup, kami mencuba semua makanan disediakan. Memang sedap! Rugi rasanya jika kami melepaskan peluang untuk mencuba hidangan ini.

Observation Wheel

Observation Wheel

Kami meneruskan perjalanan ke Observation Wheel untuk sekali lagi menikmati keindahan Victoria Harbour dari roda besar. Cuaca pada hari ini cukup indah dan menarik, sekaligus meningkatkan lagi keterujaan untuk berada di dalam roda besar tersebut.

Sejujurnya, pemandangan Victoria Harbour ini sungguh menarik. Buat korang yang ingin mendapatkan info lanjut mengenai tempat ini serta promosi yang ada, boleh layari http://hkow.hk/ 

Feri

Sumber : Google

Tanpa membuang masa, sejurus habis 3 pusingan di atas roda besar itu, kami semua diberi peluang menaiki feri menuju ke Tsim Sha Tsui kembali.

Sejurus tiba di sana, kami menuju ke Shopping Mall LCX yang memang terkenal di HK. Buat pengetahuan korang, Shopping Mall ini memang terkenal dengan barangan mewah dan berjenama. Jadi sempatlah kami semua menghabiskan berguni wang yang dibawa dari Malaysia sementara menunggu Symphony of Light yang bermula jam 8 malam.

Symphony of Light

Pertunjukkan lampu oleh Philharmonic Orchestra Hong Kong

Buat pengetahuan korang, pertunjukkan lampu ini juga merupakan antara tarikan baru oleh HKTB untuk pelancong. Bayangkan gabungan lampu LED serentak diantara bangunan-bangunan tinggi pasti membuatkan korang kagum. Memang cantik! Jangan lepaskan peluang korang jika melancong ke Hong Kong.

Casablanca Restaurant & Cafe

Sumber : Google Casablance Restaurant & Cafe

Sebelum kembali ke hotel, pihak HKTB sekali lagi membawa kami semua menjamu selera di restoran arab. Apa kami boleh simpulkan, HK sangat mesra muslim di mana terdapat banyak restoran halal di sini.

Makan yang sedap, suasana seperti di negara arab dengan variasi pelbagai makanan negara Arab seperti Nasi Beriyani, Kebab Ayam dan banyak lagi. Admin bagi 5 bintang sebab semuanya memang sedap-sedap! Siapa cakap negara Hong Kong tiada makanan arab, jadi tiada sebab untuk merindui makanan Malaysia. Hehe

Sham Shui Po (SSP)

Bangunan padat, sesak

Hari ketiga, kami terus dibawa ke Sham Shui Po (SSP). Di sini pengunjung boleh mendapatkan barangan fabrik dan elektronik antaranya telefon bimbit murah serta kain-kain pasang yang sesuai untuk dibuat baju. Daripada kain murah, sehingga yang berkualiti tinggi. Memang syok sungguh habiskan duit disini.

Di kawasan ini memang terlalu banyak jalan yang mempunyai tarikan tersendiri. Korang boleh menyusuri lorong ke lorong dan menyaksikan kehidupan penduduk tempatan yang sedang berniaga.

Penat menyusuri lorong-lorong di SSP ini, kami dibawa pula ke satu kedai menjual puding tofu yang agak terkenal di situ. Memang tak dinafikan, rasa tofu ini agak berbeza di Malaysia dengan ditambah dengan pelbagai perisa lain. Memang sedap apabila dimakan sejuk setelah penat berjalan.

Ocean Park

Fun Ride

Selepas 3 jam menghabiskan masa di SSP, kami terus di bawa ke Ocean Park. Kali ini, perasaan teruja lain macam sikit. Bayangkan kami akan diberi peluang untuk mencuba permainan yang menjadi tarikan utama pelancong.

Sebelum menikmati keseronakan ini, kami dibawa makan ke restoran halal yang terletak di dalam Ocean Park ini. Boleh tahan rasa Nasi Ayam di sini. Cukup sedap dan menyelerakan. Selesai menikmati juadah tengahari, tiba masanya kami menunaikan kewajipan penting di sini. Jangan risau, pihak Ocean Park menyediakan surau yang selesa untuk kemudahan pengunjung Muslim. Jangan lupa bawa telekung solat untuk kaum wanita. Jadi, tiada alasan untuk orang Muslim tidak datang ke sini okay!

Sealion

Di sini juga kami berpeluang untuk bermesra dengan Sealion. Pada awalnya memang agak kekok memandangkan ini pertama kali buat kami semua menyentuh dan bermain dengan haiwan ini, namun segalanya berubah menjadi terlebih teruja. Tidak sangka rupanya Sealion ini agak manja dan mesra.

Walaupun masa diberikan tidak cukup untuk merasai semua permainan di dalam ini, namun kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing selepas 4 jam menghabiskan masa di sini.

Ma Restoran

Masakan Cina Muslim

Untuk makan malam kali ini, kami dibawa ke Restoran Halal Ma’ yang menyajikan masakan Cina Muslim. Kami sepakat dan bersetuju Restoran Halal Ma’ ini merupakan tempat makan paling best dan terbaik sepanjang kami mengikuti trip ke Hong Kong.

Memang sesuai dengan citarasa, semua lauk pauk malam disediakan sangat sedap. Kami cadangkan korang cuba Veal Goulash. Rasanya buat korang jatuh cinta sehingga ke hari ini.

Ladies Market

Semua barangan murah berjenama boleh dibeli di sini

Masa paling ditunggu-tunggu oleh kami semua adalah masa untuk shopping. Masing-masing tidak sabar untuk ke Ladies Market di Jalan Tung Choi. Suasana meriah di sini hampir serupa dengan night market di negara lain namun apa yang menarik ialah harganya jauh lebih murah berbanding pusat membeli-belah terkenal di Hong Kong. Pelbagai barangan di jual di sini termasuk ole-ole untuk yang tersayang di Malaysia. Jangan lupa singgah ke sini jika korang ke Hong Kong!

Disneyland

Disneyland Hong Kong

Hari terakhir kami di Hong Kong, kami bersiap-siap untuk check-out dengan seribu kesayuan. Terasa sekejap masa berlalu dan masih tidak puas menerokai bumi Hong Kong. Apakan daya, terpaksa juga kami lepaskan.

Kesayuan hanya berakhir sebentar apabila hari terakhir ini kami akan menghabiskan masa ke Disneyland. Kota keriangan buat semua orang tak kira muda atau tua.

Tempat idaman setiap orang

Di Disneyland kami sempat merasai beberapa permainan yang best. Memang seronok sungguh di usia dewasa ini, masih diberi peluang untuk ke taman permainan yang cukup terkenal di seluruh dunia. Buat pengunjung Muslim, pihak Disneyland turut menyediakan restoran halal dan surau.

Percutian halal yang menyeronokkan

Gabungan media dari Malaysia, Indonesia dan Singapura

Berakhir sudah trip kami selama 4 hari 3 malam di bumi HK bersama HKTB. Yang pastinya, negara ini sememangnya antara destinasi pelancongan yang memberikan pengalaman percutian halal yang sangat menyeronokkan buat kami.

Kami di Sirap Limau mengucapkan ribuan terima kasih buat HKTB kerana berjaya mengambil inisiatif untuk memberi banyak kemudahan buat pelancong beragama Islam. Ternyata HK sememangnya destinasi pelancongan dunia mesra Muslim. Jom pergi Hong Kong!

Yang Popular

To Top