Ramai wanita mungkin tertanya-tanya sama ada kelembapan faraj yang keluar secara semula jadi boleh membatalkan wuduk, terutama ketika hendak menunaikan solat. Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, kelembapan faraj dan keputihan perlu dibezakan kerana kedua-duanya mempunyai hukum yang berbeza dari sudut taharah atau bersuci.
Perbezaan ini penting supaya wanita dapat melaksanakan ibadah dengan lebih yakin tanpa mengabaikan ketetapan hukum yang berkaitan.
HUKUM KELEMBAPAN FARAJ & KEPUTIHAN
Apa beza kelembapan faraj dengan keputihan?
Lembapan faraj (رطوبة الفرج) ialah cairan putih jernih yang diragukan sama ada sifatnya antara mazi dan peluh. (Lihat al-Majmu’, 2/570). Cecair ini keluar daripada kawasan faraj yang zahir apabila wanita duduk mencangkung. Kawasan faraj zahir yang sampai kepadanya had zakar ketika berjimak mengikut pendapat yang paling sahih. ( Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (1/108)
Keputihan ( الإفرازات/ رطوبة جوفية ) adalah cecair yang keluar daripada bahagian batin faraj seperti air mazi, air wadi dan sebagainya. Had batin faraj iaitu tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak (Lihat Hasyiyah Jamal (1/178). Hasil kajian beberapa wanita mendapati cecair keputihan menyerupai warna gam pekat yang berwarna putih atau hingus yang berwarna putih dan kadang-kadang bercampur warna kekuningan dan sedikit hijau. ( Lihat Tuhfah al-A‘izza (242)
Hukum kelembapan faraj, adakah membatalkan wuduk?
Dalam perbahasan fiqh mazhab Syafie, terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai status kelembapan faraj.
Sebahagian ulama berpendapat cecair tersebut najis, manakala pandangan yang dianggap lebih sahih oleh al-Baghawi dan al-Rafi‘i ialah ia suci. Penjelasan itu turut merujuk kepada perbahasan dalam kitabal-Majmu Syarh al-Muhadzzab, (2/570) yang menyebut:
رُطُوبَةُ الْفَرْجِ مَاءٌ أَبْيَضُ مُتَرَدِّدٌ بَيْنَ الْمَذْيِ وَالْعَرَقِ فَلِهَذَا اُخْتُلِفَ فِيهَا ثُمَّ إنَّ الْمُصَنِّفَ رَحِمَهُ اللَّهُ رَجَّحَ هُنَا وَفِي التَّنْبِيهِ النَّجَاسَةَ وَرَجَّحَهُ أَيْضًا الْبَنْدَنِيجِيُّ: وَقَالَ الْبَغَوِيّ وَالرَّافِعِيُّ وَغَيْرُهُمَا الْأَصَحُّ الطَّهَارَةُ وقال صاحب الحاوى في باب ما يوجب الغسل نص الشافعي رحمه الله في بعض كتبه علي طهارة رطوبة الفرج
Lembapan faraj itu cairan keputihan yang meragukan antara cecair mazi atau peluh. Oleh itu, para ulama berbeza pendapat mengenai hukumnya. Kemudian, penulis (al-Syirazi) dalam kitab ini (al-Muhadzzab) dan kitab at-Tanbih, cenderung berpendapat bahawa hukumnya najis. Pendapat ini dipilih juga al-Bandaniji. “Telah berkata al-Baghawi dan al-Rafie yang paling sahih adalah suci. Pengarang kitab al-Hawi mengatakan dalam bab apa yang menyebabkan mandi wajib, Imam Syafie menegaskan dalam sebagian kitab-kitabnya bahawa lendir faraj wanita hukumnya adalah suci.”
al-Mawardi menjelaskan,
قوله وفي رطوبة فرج المرأة روايتان إحداهما هو طاهر وهو الصحيح من المذهب مطلقا
“Pendapat mengenai lendir daripada faraj wanita ada dua pendapat salah satunya adalah suci dan inilah yang shahih dalam mazhab kami secara mutlak” (Lihat al-Majmu Syarh al-Muhadzzab, 2/570)
Basahan atau kelembapan faraj yang disebabkan oleh cecair yang datang dari had zahir faraj wanita dihukumkan suci dan tidak membatalkan wuduk. Basahan ini disebabkan oleh lembapan peluh daripada had zahir faraj wanita dan tercapai zakar ketika jimak pendapat paling sahih adalah suci. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (1/108). Hal ini lembapan keluar di kawasan faraj yang wajib dibasuh, maka tidak menajiskan zakar ketika berjimak kerana ia dihukumkan suci (Lihat Hasyiyah Jamal (1/178)
Muzakarah Tabung Haji membincangkan bahawa lembapan faraj terhasil daripada mukosa faraj (selaput lendir daripada lapisan kulit dalam) untuk mengelakkan kulit daripada melekat dan kering. Lembapan faraj tersebut tidak membatalkan wuduk kerana sama keadaannya dengan seseorang yang menjulurkan lidahnya, kemudian memasukkan kembali dan menelan air liur yang terdapat dalam lidahnya. Sekiranya lembapan faraj membatalkan wuduk. Nescaya wuduk akan sentiasa batal pada setiap masa kerana basahan tidak terpisah daripada had zahir wanita.
Bagi wanita yang sentiasa keluar najis keputihan ketika melaksanakan solatnya tidak perlu mengulangi wuduknya kerana diluar kawalan selain dihukumkan seperti wanita istihadah. Namun, satu wuduk hanya sah untuk satu fardu solat dan beberapa amalan sunat.
Keputihan dari bahagian dalaman faraj pula bagaimana?
Menurut Imam Syafie dalam Kitab al-Umm (1/72), keputihan yang keluar dari bahagian dalaman faraj selain air mani dihukumkan sebagai najis dan membatalkan wuduk.
Keputihan adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak). Apabila cecair keluar daripada kawasan faraj yang tidak wajib dibasuh dinamakan ( رطوبة جوفية). (Lihat Hasyiyah Jamal (1/178), Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (1/108).
Syeikh Muhammad Shalih Al-‘Utsaimin berpendapat,
Keputihan membatalkan wuduk seperti angin dan kencing yang keluar daripada dalam. Akan tetapi jika keputihan keluar terus-menerus, maka tidak membatalkan wuduk. Oleh itu, tidak mengambil wuduk melainkan setelah masuk waktu dan wuduk bagi setiap waktu dan amalan lain seperti membaca al-Quran (Lihat Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin : (1/284 – 285)
Apa perlu dilakukan jika keputihan keluar berterusan ketika solat?

Gambar hiasan: Gemini AI
Bagi wanita yang mengalami keputihan berterusan sehingga sukar dikawal, keadaan tersebut dihukumkan seperti orang yang sentiasa berhadas (da’im al-hadath), dengan panduan yang menyerupai hukum wanita istihadah.
Antara langkah yang perlu dilakukan ialah:
- Membersihkan bahagian faraj daripada najis keputihan sebelum menunaikan solat
- Menggunakan pelapik seperti pantyliner untuk menghalang cecair daripada mengalir keluar
- Mengambil wuduk selepas masuk waktu solat fardu
- Menggunakan satu wuduk untuk satu solat fardu serta beberapa amalan sunat dalam waktu yang sama
Kaedah ini berdasarkan beberapa riwayat berikut.
Fatimah binti Hubaisy datang menemui Rasulullah SAW untuk menceritakan tentang darah istihadahnya, lalu Baginda bersabda:
ثم اغتسلي ثُمَّ يَتَوَضَّي لكل صلاة و وصَلِّي
Maksudnya: “Mandilah, kemudian berwuduklah bagi setiap waktu solat dan solatlah” (Hadis riwayat Abu Daud, 298)
Ringkasan hukum kelembapan faraj dan keputihan
Secara ringkas, berikut ialah perbezaan hukum yang perlu diketahui:
- Kelembapan faraj dari bahagian zahir: Suci dan tidak membatalkan wuduk.
- Keputihan dari bahagian dalaman faraj: Najis dan membatalkan wuduk.
- Keputihan yang keluar berterusan: Dihukumkan seperti keadaan sentiasa berhadas, dengan panduan wuduk khusus bagi satu solat fardu dan beberapa amalan sunat.
Sumber: Portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: Gemini AI

