Percutian

Harga Tambang ECRL Gombak-Kota Bharu Bermula RM125, Ini Senarai Laluan & Diskaun Tiket

harga tambang

Bagi yang merancang perjalanan dari Lembah Klang ke Pantai Timur, harga tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mungkin menjadi antara perkara utama yang ingin diketahui sebelum membeli tiket.

Tambang perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu dilaporkan bermula RM125 sehala bagi perkhidmatan transit kelas ekonomi, manakala kadar pertengahan dianggarkan sekitar RM156.

Baca juga: Selepas 7 Bulan ‘Puasa’, Diana Berjaya Lahirkan 10 Anak! Populasi Anakonda Hijau Di Melaka Kini Lebih 40 Ekor

HARGA TAMBANG ECRL DARI GOMBAK KE KOTA BHARU BERMULA RM125

harga tambang

Gambar fail NSTP: Sebuah tren ERCL yang tiba Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak di Gombak pada 18 September 2026.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, kadar tambang ECRL menggunakan mekanisme harga dinamik. Ini bermakna harga tiket boleh berubah mengikut waktu pembelian, permintaan penumpang dan musim puncak.

“Pendekatan itu yang menyerupai amalan penetapan harga dalam industri penerbangan, membolehkan penumpang yang merancang perjalanan lebih awal atau memilih waktu perjalanan tertentu mendapatkan tambang lebih rendah, tertakluk kepada ketersediaan tiket,” katanya pada sidang media pengumuman kadar tambang ECRL, hari ini.

Senarai harga tambang ECRL mengikut laluan

ECRL menawarkan dua pilihan perkhidmatan, iaitu transit dan ekspres, bagi memenuhi keperluan perjalanan penumpang. Berikut ialah kadar tambang permulaan yang diumumkan bagi beberapa laluan utama:

1. Laluan Gombak-Kota Bharu

  • Transit: Bermula RM125 sehala
  • Ekspres: Bermula RM147 sehala
  • Kadar pertengahan transit: Sekitar RM156 sehala

2. Laluan Gombak-Kuala Terengganu

  • Transit: Bermula RM95 sehala
  • Ekspres: Bermula RM110 sehala

3. Laluan Gombak-KotaSAS

  • Transit: Bermula RM60 sehala
  • Ekspres: Bermula RM68 sehala

Bagi perjalanan Gombak-Kota Bharu yang meliputi jarak kira-kira 523 kilometer, penumpang boleh mempertimbangkan pilihan transit atau ekspres mengikut keperluan masing-masing.

Bagaimanapun, kadar yang dinyatakan ialah harga permulaan. Memandangkan tambang menggunakan mekanisme dinamik, penumpang disarankan merancang perjalanan lebih awal bagi meningkatkan peluang mendapatkan tiket pada harga lebih rendah.

harga tambang ECRL

Infografik: BERNAMA

Siapa layak menikmati diskaun tambang ECRL?

Selain kadar tambang biasa, ECRL turut menyediakan potongan harga untuk beberapa golongan penumpang.

Antara yang layak menikmati diskaun 50 peratus ialah:

  • Kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun
  • Warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas
  • Pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU)
  • Pesara kerajaan

Diskaun 40 peratus pula layak untuk:

  • Pelajar berumur 13 hingga 24 tahun.

Dengan adanya potongan harga ini, golongan yang layak boleh menikmati tambang lebih rendah berbanding kadar biasa, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh pihak pengendali.

ECRL tidak menerima subsidi tambang ketika mula beroperasi

harga tambang ECRL

Gambar Facebook ECRL: Berikut adalah harga tambang Kelas Ekonomi bagi Perkhidmatan Transit ECRL untuk perjalanan antara Gombak dan destinasi-destinasi di sepanjang laluan ECRL.

Dalam perkembangan sama, ECRL menyasarkan seramai 1.4 juta penumpang pada tahun pertama operasi komersial pada 2027. Perkhidmatan itu dijadualkan mula beroperasi pada Disember ini tanpa subsidi tambang tiket.

Darwis berkata, perancangan awal projek mengambil kira faktor muatan sekitar 60 peratus, namun jumlah itu berpotensi meningkat sekiranya permintaan menggalakkan.

“Pada masa ini, tiada subsidi dan apa yang penting ialah sasaran faktor muatan sekitar 60 peratus. Bagaimanapun, kita jangkan ia mampu mencapai 90 peratus dan itu lebih baik,” katanya.

Menurut beliau, hasil daripada penjualan tiket diharapkan dapat menampung sekurang-kurangnya kos operasi perkhidmatan tersebut. MRL juga melihat pengangkutan kargo sebagai satu lagi sumber pendapatan yang berpotensi membantu menampung kos operasi dan penyelenggaraan dalam jangka panjang.

Projek ECRL hampir siap, ujian diteruskan

Setakat Oktober ini, kemajuan keseluruhan projek ECRL dilaporkan mencapai 98.16 peratus, manakala ujian penerimaan tapak dan ujian integrasi sistem telah selesai sepenuhnya.

Pengujian tren yang bermula pada 25 Ogos lalu turut merekodkan jarak terkumpul melebihi 50,000 kilometer.

Ujian perjalanan tanpa penumpang pula dijadualkan bermula pada 23 Oktober ini sebelum operasi percubaan dilaksanakan sepanjang November.

Perkembangan ini menjadi antara persiapan menjelang pembukaan perkhidmatan ECRL yang bakal menghubungkan kawasan di Pantai Timur dengan rangkaian pengangkutan rel negara.

harga tambang

Infografik: BERNAMA

Sumber: Berita Harian / ECRL

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×