Seorang guru besar dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 11 sebatan oleh Mahkamah Rayuan selepas rayuannya dalam kes melibatkan seorang murid perempuan berusia 12 tahun ditolak.
Tertuduh, Anuar Kintan, 59, sebelum ini didapati bersalah menghasilkan bahan pornografi melibatkan mangsa. Dalam keputusan terbaharu pada Rabu, mahkamah turut mensabitkannya atas satu pertuduhan amang seksual secara fizikal yang sebelum ini menyaksikannya dilepas dan dibebaskan.
Baca juga: Sorok iPhone Dalam Seluar Dalam Ketika Percubaan SPM, Bekas Pelajar Gagal Rayuan Saman RM400,000
GURU BESAR DIPENJARA 20 TAHUN 11 SEBATAN HASILKAN PORNOGRAFI MURID TAHUN ENAM

Gambar Mohd Fadli Hamzah (NSTP): Istana Kehakiman, Putrajaya.
Mahkamah Rayuan Tolak Rayuan Guru Besar
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Noorin Badaruddin, bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, sebulat suara menolak rayuan Anuar terhadap sabitan menghasilkan bahan pornografi.
Bagi pertuduhan amang seksual secara fizikal pula, mahkamah mengetepikan keputusan terdahulu yang melepas dan membebaskannya, sebelum menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun serta tiga sebatan.
Hakim Noorin turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan secara berasingan. Waran pemenjaraan dikeluarkan bagi membolehkan tertuduh memulakan hukuman pada Khamis.
Sebelum keputusan itu, Anuar dibebaskan dengan ikat jamin RM14,000 bersama seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan keputusan melepas dan membebaskannya daripada dua lagi pertuduhan, masing-masing berkaitan amang seksual secara fizikal terhadap mangsa dan mengeluarkan kata-kata dengan niat supaya didengari mangsa bagi tujuan seksual.
Keterangan Mangsa, Bukti Forensik Jadi Pertimbangan
Dalam penghakimannya, Datuk Noorin berkata mangsa memberikan keterangan secara langsung dengan mengenal pasti tertuduh sebagai individu yang mengambil gambar-gambar berkenaan. Keterangan itu turut disokong hasil pemeriksaan forensik yang menemukan imej berkenaan dalam telefon bimbit Realme milik Anuar.
Mahkamah juga menolak hujah pembelaan bahawa keterangan alibi yang dikemukakan telah menimbulkan keraguan munasabah.
Sebelum ini, isteri tertuduh memberikan keterangan bahawa Anuar berada di rumah bersamanya dan bukannya di sekolah ketika kejadian berlaku. Namun, keterangan rakan mangsa menyokong kes pendakwaan berhubung kehadiran tertuduh di sekolah pada 3 April 2021 serta pergerakannya bersama mangsa.
Kesalahan itu dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Perak pada pertengahan Mac 2021 dan 3 April 2021.
Hukuman Berubah Selepas Beberapa Prosiding Mahkamah

Gambar hiasan.
Pada 19 April 2024, Mahkamah Sesyen mensabitkan Anuar atas pertuduhan menghasilkan bahan pornografi dengan mengambil gambar mangsa.
Ketika itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama, selain hukuman penjara tambahan satu tahun serta dua sebatan mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kedua-dua hukuman tersebut pada asalnya diperintahkan berjalan serentak. Mahkamah Sesyen bagaimanapun melepas dan membebaskan Anuar daripada pertuduhan kedua, ketiga dan keempat.
Pada 15 Ogos 2025, Mahkamah Tinggi meningkatkan hukuman bagi pertuduhan pertama kepada penjara sembilan tahun dan lapan sebatan, namun mengekalkan keputusan pembebasan bagi tiga pertuduhan berkenaan.
Keputusan terbaharu Mahkamah Rayuan, kemudian mengubah kedudukan kes apabila tertuduh turut disabitkan atas satu pertuduhan amang seksual secara fizikal, sekali gus membawa kepada hukuman penjara 20 tahun dan 11 sebatan secara keseluruhan.
Di mana, Anuar diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, manakala Timbalan Pendakwa Raya Azlina Mahmod dan P. Sarulatha hadir bagi pihak pendakwaan.
Sumber: Berita Harian
