Sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor pada 25 Oktober lalu bukan sahaja menjadi detik bersejarah buat negeri itu, malah turut menarik perhatian ramai terhadap adat istiadat diraja yang masih dipelihara hingga hari ini. Antaranya ialah gerakan unik ketika mengangkat sumpah dan menjunjung duli yang dikenali sebagai Siku Keluang.
Baca juga: Kes Sambung Semula Dua Tangan Putus Bukan Mudah, Hospital Selayang Catat 3 Kejayaan Luar Biasa!
GERAKAN UNIK KETIKA ISTIADAT MENGANGKAT SUMPAH & MENJUNJUNG DULI DI SAMBUTAN JUBLI PERAK SULTAN SELANGOR

Tangkap layar: Orang Besar Istana, Yang Mulia Tengku Ezrique Ezzuddean bin Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Alhaj, yang dikurniakan gelaran Yang Dimuliakan Tengku Orang Kaya Menteri Diraja
Gerakan tersebut dilakukan oleh Orang Besar Istana, Yang Mulia Tengku Ezrique Ezzuddean bin Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Alhaj, yang dikurniakan gelaran Yang Dimuliakan Tengku Orang Kaya Menteri Diraja.
Menerusi perkongsian di Facebook, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan bahawa gerakan berkenaan merupakan sebahagian daripada warisan adat dan protokol diraja dalam Kesultanan Selangor.
Apa Itu Istiadat Mengangkat Sumpah Dan Menjunjung Duli?
Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli ialah warisan turun-temurun yang diamalkan sejak pemerintahan Sultan-Sultan terdahulu di Selangor.
Dalam adat diraja Melayu, setiap pergerakan tubuh, kedudukan ketika berdiri, cara menghadap serta perbuatan tunduk mempunyai tertib tersendiri sebagai tanda hormat kepada Sultan.
Gerakan ini bukan sekadar pergerakan fizikal, sebaliknya melambangkan sembah hormat, sikap merendah diri dan pengiktirafan terhadap kedudukan Sultan sebagai Ketua Negeri.
Menurut penjelasan tersebut, individu yang dikurniakan gelaran tertentu juga perlu meninggalkan negeri itu selama tujuh hari sebelum kembali untuk menghadiri Istiadat Menghadap dan Menjunjung Duli. Mereka kemudiannya menyembahkan persembahan sebagai tanda menjunjung kasih atas kurniaan Sultan.
Kenapa Gerakan Ini Dipanggil Siku Keluang?

Tangkap layar.
Nama Siku Keluang diambil daripada bentuk sayap keluang, iaitu sejenis kelawar besar, yang mempunyai bentuk menyerupai siku apabila dibengkokkan. Gerakan tersebut mempunyai beberapa ciri yang menjadikannya berbeza daripada pergerakan biasa.
1. Kedudukan tangan dibengkokkan pada siku
Kedua-dua belah tangan dibengkokkan dengan ketara ketika individu berkenaan berjalan menghadap Sultan. Kedudukan ini membentuk gaya yang menjadi identiti gerakan Siku Keluang.
2. Langkah kaki perlahan dan teratur
Pergerakan kaki dilakukan secara berhati-hati dan bertertib bagi mengekalkan kestabilan badan sepanjang berjalan. Setiap langkah mencerminkan disiplin serta kesopanan ketika berada di hadapan Sultan.
3. Susunan jari ketika menjunjung duli
Gerakan ini turut melibatkan susunan jari yang rapat dan dikuncupkan ke atas ketika mengangkat sembah, sebagai sebahagian daripada tertib adat menjunjung duli.
Gabungan pergerakan tangan, langkah kaki dan susunan jari tersebut menjadikan Siku Keluang satu amalan istiadat yang mempunyai identiti tersendiri.
Lambang Warisan Diraja Kesultanan Selangor
Walaupun institusi beraja di Malaysia berkongsi akar budaya Melayu, setiap kesultanan mempunyai adat dan protokol tersendiri yang diwarisi sejak turun-temurun.
Gerakan Siku Keluang menjadi antara identiti tradisi Kesultanan Selangor yang membezakan tatacara menjunjung duli di negeri itu daripada amalan istana yang lain.
Pendedahan mengenai adat ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami bahawa setiap gerakan dalam istiadat diraja mempunyai tertib dan makna tersendiri, bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya.
Warisan seperti ini penting untuk terus dipelihara agar generasi akan datang dapat mengenali serta memahami keunikan adat istiadat yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan identiti negeri Selangor.
Sumber: Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
FT Image: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
