Diskaun tol sebanyak 50 peratus bakal dinikmati pengguna lebuh raya selama dua hari sempena sambutan Deepavali 2026.
Inisiatif kerajaan ini pastinya memberi kelegaan kepada orang ramai, khususnya mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman atau menziarahi ahli keluarga sepanjang musim perayaan.
Baca juga: Isi Rumah Berpendapatan RM750 Hingga RM5000 Layak Mohon Rumah Mesra Rakyat, Jangan Terlambat!
DISKAUN TOL 50% SEMPENA DEEPAVLI 2026 SELAMA DUA HARI

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun berkenaan akan bermula pada jam 12 tengah malam, Jumaat, 6 November 2026 dan berakhir pada jam 11.59.59 malam, Sabtu, 7 November 2026.
Menurut beliau, kerajaan menganggarkan peruntukan sebanyak RM20.11 juta diperlukan sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat. Bagaimanapun, jumlah berkenaan tertakluk kepada pengesahan data trafik.
Menerusi pelaksanaan inisiatif tersebut, potongan tol diberikan kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol.
Pengguna Jambatan Pulau Pinang pula turut menikmati kemudahan sama bagi kenderaan Kelas 2.
Walau bagaimanapun, diskaun berkenaan tidak melibatkan dua plaza tol di laluan sempadan negara, iaitu:
1. Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
2. Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Alexander berkata, keputusan memberikan potongan tol itu merupakan antara usaha Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan kepercayaan.
Inisiatif tersebut juga diharap dapat menggalakkan semangat perpaduan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan, khususnya dalam kalangan masyarakat Hindu yang mengambil kesempatan pulang ke kampung atau menziarahi saudara-mara sempena Deepavali.
Pengguna lebuh raya perlu rancang perjalanan

Dalam pada itu, pengguna jalan raya turut disaran membuat persediaan sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang musim perayaan.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.
Pemandu juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan lain dan mendapatkan rehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu.
Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan trafik dan insiden di lebuh raya menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Baca juga: JAWI Mula Laksana Pengebumian Kubur Bertingkat Di Kepong, Jenazah Diturunkan Sedalam 8 Kaki
Sumber: MalaysiaGazette
