Orang ramai yang merancang untuk pulang ke kampung atau bercuti ke Pantai Timur menggunakan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menikmati penjimatan, apabila tiket kelas ekonomi ditawarkan pada harga diskaun 30 peratus sepanjang bulan pertama operasi perkhidmatan tren berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ECRL disasarkan mula beroperasi pada pertengahan Disember ini, dengan 12 Disember ditetapkan sebagai tarikh sasaran.
Baca juga: Harga Tambang ECRL Gombak-Kota Bharu Bermula RM125, Ini Senarai Laluan & Diskaun Tiket
DISKAUN 30% TIKET KELAS EKONOMI ECRL SEPANJANG BULAN PERTAMA OPERASI

Gambar NSTP/Aizuddin Saad: Sebuah tren ERCL yang tiba Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak di Gombak.
Menurut beliau, penjualan tiket dijangka dibuka tidak lama lagi sebelum pelancaran rasmi perkhidmatan berkenaan.
“Penjualan tiket dijangka dibuka tidak lama lagi sebelum pelancaran.
“Sempena pembukaan ECRL, diskaun 30 peratus akan diberikan kepada orang ramai bagi semua tiket kelas ekonomi selama sebulan bermula dari tarikh operasi,” katanya selepas merasmikan Transport Expo Asia 2026.
Diskaun khas untuk kanak-kanak, warga emas dan pelajar

Gambar Facebook ECRL.
Selain promosi sempena pembukaan ECRL, beberapa golongan turut layak menikmati potongan harga tiket berdasarkan kelayakan masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, sebelum ini memaklumkan bahawa Kabinet meluluskan diskaun khas untuk golongan berikut:
- 50 peratus: Kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berusia 60 tahun ke atas, pemegang kad OKU dan pesara kerajaan.
- 40 peratus: Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun.
Kemudahan ini memberi peluang kepada lebih ramai penumpang untuk merancang perjalanan menggunakan pengangkutan rel, khususnya bagi perjalanan antara Lembah Klang dengan destinasi di Pantai Timur.
Harga tambang ECRL dari Gombak ke Kota Bharu
Bagi penumpang yang ingin mengetahui anggaran kos perjalanan, tambang ECRL berbeza mengikut destinasi serta jenis perkhidmatan yang dipilih, sama ada transit atau ekspres.
Berikut ialah kadar tambang sehala yang dilaporkan:
- Gombak – Kota Bharu (523 kilometer): Bermula RM125 bagi transit dan RM147 bagi ekspres.
- Gombak – Kuala Terengganu (378 kilometer): Bermula RM95 bagi transit dan RM110 bagi ekspres.
- Gombak – KotaSAS (209 kilometer): Bermula RM60 bagi transit dan RM68 bagi ekspres.
Penumpang boleh mempertimbangkan pilihan perkhidmatan berdasarkan destinasi dan bajet perjalanan masing-masing.
ECRL mampu bawa sehingga 425 penumpang
ECRL turut menyediakan pilihan perkhidmatan transit dan ekspres bagi memenuhi keperluan perjalanan pengguna.
Dari segi kapasiti, tren berkenaan boleh membawa sehingga 425 penumpang bagi konfigurasi yang menggunakan kelas ekonomi sepenuhnya. Bagi konfigurasi yang menggabungkan kelas perniagaan dan ekonomi pula, kapasiti maksimum ialah 409 penumpang.
Dengan sasaran operasi pada pertengahan Disember ini, orang ramai boleh mengikuti pengumuman rasmi berkaitan pembukaan jualan tiket dan maklumat perjalanan sebelum merancang perjalanan menggunakan ECRL.
Sumber: Berita Harian
FT Image:
