Ayam merupakan antara sumber protein yang sering menjadi pilihan dalam penyediaan hidangan harian. Namun, ada kalanya daging ayam yang sudah dimasak masih menunjukkan kesan kemerahan seperti darah pada bahagian urat, daging atau tulangnya.
Baca juga: Anak Bakal Duduki SPM 2026? Ini Doa ‘Pasti Jadi’ Untuk Ibu Ayah Amalkan Demi Ketenangan & Dimudahkan
DAGING AYAM BERDARAH SELEPAS DIMASAK, BOLEH MAKAN KE

Keadaan ini mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam, khususnya mengenai hukum memakan ayam berkenaan. Adakah ayam itu masih halal dimakan atau perlu dibuang kerana terdapat kesan darah?
Menurut penjelasan hukum yang dikongsikan, darah yang diharamkan dalam Islam ialah darah yang mengalir, manakala darah yang masih terdapat pada daging dan tulang selepas penyembelihan mempunyai perbahasan tersendiri dalam kalangan ulama.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am, ayat 145:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor…”
Berdasarkan ayat tersebut, darah yang diharamkan ialah darah yang mengalir atau mencurah, termasuk darah yang keluar ketika proses penyembelihan haiwan.
Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa pengharaman darah merujuk kepada darah yang mengalir, bukan darah yang masih berbaki pada bahagian lain.
Imam al-Baghawi dalam kitab Ma’alim al-Tanzil turut menghuraikan bahawa darah yang tidak mengalir, termasuk yang terdapat pada daging dan urat, tidak termasuk dalam kategori darah yang diharamkan berdasarkan ayat berkenaan.
Dalam mazhab Syafie, terdapat dua pandangan ulama berhubung hukum darah yang masih berbaki pada daging selepas penyembelihan.
Pandangan pertama menyatakan bahawa darah tersebut adalah suci. Pandangan ini dikaitkan dengan Imam al-Nawawi dan Imam al-Subki.
Pandangan kedua pula menyatakan bahawa darah tersebut adalah najis, tetapi dimaafkan dalam keadaan tertentu. Ini merupakan pandangan muktamad dalam mazhab Syafie seperti yang dirujuk dalam kitab I’anah al-Talibin (1/100).
Ada kesan darah selepas dimasak tetap boleh makan?

Berdasarkan penjelasan tersebut, pandangan yang dipilih ialah darah yang masih terdapat pada daging, urat dan tulang ayam selepas dimasak adalah suci dan halal dimakan.
Hal ini kerana darah yang diharamkan berdasarkan nas ialah darah yang mengalir. Darah yang masih berbaki pada daging selepas penyembelihan pula tidak mengalir seperti darah ketika haiwan masih hidup.
Selain itu, sukar untuk memastikan setiap sisa darah pada urat, daging dan tulang dapat dibuang sepenuhnya ketika menyediakan makanan.
Oleh itu, kesan darah yang masih kelihatan pada bahagian berkenaan tidak semestinya menjadikan ayam itu haram dimakan.
Walaupun kesan darah yang berbaki pada daging, urat dan tulang ayam dihukumkan suci serta halal berdasarkan pandangan tersebut, aspek keselamatan makanan tetap perlu diberi perhatian.
Pastikan ayam dimasak sehingga benar-benar masak bagi mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan. Jika ayam masih mentah atau tidak cukup masak, khususnya pada bahagian tulang, elakkan daripada memakannya sehingga proses memasak selesai.
Baca juga: Waktu Zuhur Dah Masuk Tapi Belum Bertolak Balik Kampung, Boleh Ke Solat Jamak & Qasar Di R&R?
