Asuh

Tendang & Jentik Anak Dalam Lif Kerana Berebut Stroller, Rakaman CCTV Cetus Kemarahan Warganet

BEREBUT STROLLER

Gara-gara berebut stroller, sepasang ibu bapa didakwa mengasari anak mereka dalam sebuah lif mengundang perhatian dan kemarahan pengguna media sosial.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perebutan tempat duduk dalam kereta sorong bayi atau stroller apabila seorang kanak-kanak didakwa mahu duduk di dalamnya.

Baca juga: Pelumba Cilik Ayden ‘BamBam’ Raih Pingat Perak Di China, Terus Harumkan Nama Malaysia Dalam BMX Flatland

ANAK BEREBUT STROLLER, TULAR VIDEO IBU AYAH KASARI

BEREBUT STROLLER

Menerusi rakaman yang tersebar di media sosial itu, si bapa dilihat menendang kereta sorong yang sedang diduduki anaknya. Si ibu pula dilihat menolak dan menjentik anak mereka.

Kejadian tersebut mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan kanak-kanak berkenaan, lebih-lebih lagi apabila tindakan yang didakwa dilakukan oleh ibu bapanya sendiri itu dirakam di dalam lif.

Rakaman tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang meluahkan rasa sedih dan kecewa melihat layanan yang diterima kanak-kanak berkenaan.

Ada yang menyifatkan tindakan kedua-dua ibu bapa itu sebagai keterlaluan, selain mempersoalkan mengapa seorang anak kecil perlu dilayan sedemikian rupa hanya kerana berebut tempat duduk dalam kereta sorong.

“Allahu, mak ayah sama naik. Kesian anak itu keseorangan. Adakah ibu bapanya cuba menanamkan rasa benci anak terhadap adiknya? Sebaknya melihat kejadian itu,” komen seorang warganet.

Seorang lagi pengguna media sosial turut menyuarakan rasa simpati terhadap kanak-kanak berkenaan yang mungkin sudah penat berjalan dan mahu berehat.

“Mungkin abang itu sudah penat berjalan. Dia pun mahu duduk juga. Bukan mementingkan diri sendiri, tetapi dia masih kecil dan belum mampu berfikir seperti orang dewasa. Sedihnya. Mereka yang mempunyai adik sahaja tahu dan pernah merasai keadaan seperti ini,” tulisnya.

BEREBUT STROLLER

Pihak berkuasa perlu jalankan siasatan

Selain meluahkan rasa simpati, terdapat juga pengguna media sosial yang mendesak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan siasatan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak terbabit terpelihara.

Dalam masa sama, seorang lelaki yang kedengaran dalam rakaman berkenaan turut mendakwa wanita terbabit merupakan warga Indonesia.

Setakat maklumat yang dikongsikan, belum ada pengesahan rasmi mengenai identiti individu terbabit atau tindakan lanjut pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut.

Orang ramai diingatkan agar tidak membuat kesimpulan atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Baca juga: Bayi 10 Bulan Meninggal Dunia Sebelum Tiba Di Klinik, Pengasuh Ditahan Bantu Siasatan

Sumber: Threads amirah_zaiful_

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×